Sunday, January 11, 2009

Penoreh getah dirompak rugi RM6,000

JELI 14 Dis. - Seorang penoreh getah kerugian hampir RM6,000 apabila barangan berharga miliknya dilarikan tiga lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang serta pisau, di Kampung Legeh dekat sini pagi ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi ketika mangsa, Zuakifli Hamid, 42, dan keluarganya sedang tidur di rumah sebelum suspek menceroboh masuk dalam keadaan hujan lebat.

Menurut Zuakifli, suspek yang dipercayai warga asing dikatakan memasuki rumahnya menerusi pintu belakang selepas diumpil dengan pemotong besi.

"Perompak kemudian bertindak mengejutkan dua anak saya Mohd. Syazwan, 10, dan Mohd. Hisyam Syafiq, 12, yang tidur di ruang tamu dan memaksa Mohd. Hisyam mengejutkan saya manakala rakannya mengawasi Syazwan.

"Perompak mengacukan parang dan meminta dua utas barang kemas yang dipakai oleh isteri saya, Rohayati Mohd. Ariffin, 33 serta menyerahkan telefon bimbit dan sejumlah wang tunai.

"Syazwan yang dipeluk erat perompak itu tiba-tiba meronta-ronta sebelum terlepas dan terus terjun dari rumah dalam keadaan berbogel ke rumah datuknya kira-kira 20 meter dari situ," ujarnya kepada pemberita di sini.

Katanya, mendengar jeritan Syazwan yang meminta tolong, perompak itu bergegas meninggalkan rumah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Supritendan Muhamad Hanifah Abd. Malek ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 iaitu samun berkawan dengan menggunakan senjata merbahaya.

P/s : Kesian keluarga Pok Pin, sampai hari ni perompak itu belum ditangkap walaupun polis dan orang kampung Legeh menyerbu beberapa tempat. Harap penduduk terus berusaha dan polis menambah kecekapan

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008