Friday, June 19, 2009

Kerajaan Perpaduan atau Pecah Perpaduan

Jarang sekali saya mengulas perkembangan atau isu politik melalui blog. Sebagai seorang yang berminat dengan politik dan peka terhadap isu semasa terutama yang melibatkan soal ketuanan Islam dan Melayu, saya rasa terpanggil untuk turut sama memberi pandangan terhadap Isu Kerajaan Perpaduan yang hangat di media sekarang.

Isu perpaduan sepatutnya menjadi antara agenda utama dalam satu-satu perjuangan untuk memartabatkan agama dan bangsa.Perpaduan yang terbaik adalah perpaduan yang diasaskan oleh baginda Nabi SAW. Hasil kejayaan baginda Rasulullah membina perpaduan di antara Aus dan Khazraj, Muhajirin dan Ansor serta Islam dan bukan Islam, telah berjaya membina Negara Islam Madinah. Perpaduanlah agenda awal yang Rasulullah lakukan setelah tiba di Madinah. Ini memperlihatkan, perpaduan adalah perkara pokok dalam pembinaan sesebuah kerajaan.

Persoalannya, apakah konsep dan asas Unity Goverment yang dihebahkan media perdana hari ini sama dengan Kerajaan Perpaduan yang ditegakkan oleh Rasulullah. Rasulullah memperkenalkan Piagam Madinah sebagai perlembangaan Negara Islam Madinah, yakni kerajaan yang berteraskan aqidah dan pelaksanaan syariat Islam. Penganut Yahudi yang anti Islam juga mesti menerima pakai perlembangaan ini. Persoalannya, Adakah Kerajaan Perpaduan agenda Media UMNO ini bersedia membangkulsampahkan perlembangaan Persekutuan yang digubal oleh guru dan tuan kepada golongan sekular? Apakah begitu mudah mereka meninggalkan perlembangaan yang digunakan Lord Reid dan Lord Corbold yang menjadi anutan sekian lama bersedia dipinggirkan atas dasar untuk menyempurnakan Kerajaan Perpaduan?

Mungkin Ya, kerana menyedari kepentingan Umat Melayu dan Islam mesti diselamatkan. Orang Melayu sekarang berpecah belah. Timbul juga persoalan, siapa yang memecahbelahkan orang Melayu? Mereka yang memecahbelahkan orang Melayu ialah

1. Mereka yang menganggap Undang-undang Islam tidak sesuai dilaksanakan di zaman ini dengan berpegang politik suku, agama suku.
2. Mereka yang beranggapan mereka yang berpegang kepada Islam adalah melampau dan tidak boleh dipercayai, jauh sekali untuk memimpin.
3. Di kampung-kampung mereka yang berkuasa
3.1 Mengugut mereka yang menyokong pembangkang tidak layak atau disusahkan untuk mendapat baja, subsidi Kerajaan, baucer tuisyen, guru KAFA, biasiswa, buku teks dan bermacam lagi kemudahan kerajaan yang sepatutnya sampai kepada rakyat tanpa mengira latar belakang politik.

4. Bagi kakitangan Kerajaan, mereka yang cenderung kepada non BN, disukarkan untuk naik pangkat dan sering diainaya sedangkan pro BN diberikan kedudukan selesa sekalipun kemampuan berkerja lemah.

Malah berbagai-bagai lagi penindasan yang berlaku yang menyebabkan dendam dan penderitaan warisan yang memecahbelahkan Melayu. Syukurlah kalau sudah bertaubat dan sedar kesilapan itu. Kita tidak perlu resah dan bimbang taubat dan penyesalan kezaliman tidak akan diterima umat Melayu kerana Melayu Mudah Lupa.....

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008