Thursday, July 9, 2009

Buta Al-Quran: Apa Yang Patut Dilakukan???

Dalam kekalutan kita membicarakan PPSMI yang akan dibubarkan pada tahun 2012 dan keutamaan serta kepentingan Bahasa Inggeris terhadap pembangunan masyarakat Malaysia,kita tidak patut lupa kepada masa depan pendidikan Al-Quran.

Pendidikan Al-Quran berkait rapat dengan pendidikan tradisi yang dipertahankan hingga ke hari ini.bahkan melalui pendidikan Al-Quranlah, budaya keagamaan berkembang subur dalam masyarakat. Budaya menghormati orang yang berilmu, mereka yang lebih tua malah kesediaan ibubapa menundukkan egonya kepada seseorang guru Quran kerana mahukan anak mereka di didik dan diajar Al-Quran. Lantaran itu juga, suatu ketika dahulu, Guru-guru Al-Quran mendapat kedudukan yang tinggi dalam masyarakat.Mereka berupaya mempengaruhi keputusan ibubapa dalam bab mendidik anak.Natijahnya, masyarakat hidup rukun damai dan nilai keagamaan sebati dengan budaya dan adat masyarakat.

Budaya dan pendidikan Al-Quran sekarang agak kurang mendapat tempat dalam diri anak-anak kerana pendedahan pelajaran yang semakin banyak dan berkembang. Kalau zaman penulis zaman 80 -an, penulis dipaksa belajar mengaji di surau berdekatan 3 kali sehari iaitu selepas subuh, selepas zohor (balik je sekolah pergi mengaji) dan selepas maghrib. Bukan rajin sangat tetapi dipaksa oleh ibubapa. Sekarang 3 kali seminggu. Itu pun jika tidak sibuk. Ibubapa bukan memaksa sangat kerana kasihan dengan anak-anak. Takut dia letih. Apa lagi selepas tamat waktu P & P, murid dilibatkan dengan aktiviti ko-kurikulum. Petang , sukan pulak, untuk kecergasan fizikal. Malam tuisyen bahasa Inggeris, matematik dan sains. Bimbang tidak lulus tiga matapelajaran pencorak masa depan.

Pendidikan Al-Quran tidak penting sangat. UPSR, mana ada subjek Pendidikan Islam untuk peperiksaan. Bahkan ustaz pun membantu mengajar matematik atau sains untuk kelas tambahan supaya kelulusan UPSR sekolah meningkat. PMR dan SPM, ada Pendidikan Islam tetapi tidak sangat mempengaruhi nilai sijil. STPM, mana ada pendidikan Islam. Hanya Tamadun Islam yang bersifat sejarah. Tidak pandai Al-Quran tidak menjejaskan sangat keputusan peperiksaan mereka.

Maka hari ini kita melihat, rata-rata pelajar Islam yang tidak pandai membaca Al-Quran. Sedangkan dalam masa yang sama tumbuh berbagai kaedah pembelajaran Al-Quran dengan cepat dan mudah. Tidak cukup dengan kaedah Iqra yang disokong Kementerian Pelajaran Malaysia, muncul kaedah Al-Hira' (membaca Al-Quran dalam masa 24 jam), Hattawiyyah, Al-Baghdadi dan bermacam lagi. Sambutannya tetap dingin. Bila ditanya mengapa tidak mengaji, berbagai alasan remeh yang diberikan.

Mudahnya, bila tidak pandai mengaji, maka dia tidak pandai untuk membaca ayat-ayat dan doa-doa solat. Bila tidak pandai kewajipan tersebut, jalan keluarnya, dia tidak sembahyang. Apa yang patut kita lakukan. Terlepaskah dosa kita? Dosa sebagai ibubapa kepada anak-anak, dosa sebagai guru-guru kepada murid-murid, dosa pemimpin masyarakat kepada anggota masyarakat, dosa jiran kepada tetangganya, dosa pemimpin kepada rakyatnya. Sedangkan Allah memerintahkan kita dalam surah At-Tahrim Ayat 6 supaya kita bertanggungjawab atau menyelamatkan mereka dibawah jagaan kita daripada bakaran api neraka. Adakah dengan meninggalkan solat dan doa-doa ibadat dapat melepaskan kita daripada dipertanggungjawabkan? Apa yang patut dilakukan?

Kita berbangga dengan bahasa Inggeris yang cekap, Matematik dan sains yang bijak. Ke mana kesudahannya. Adalah kita wirid dengan menggunakan formula matematik dan sains. Atau mungkin terlepas azab kubur kerana keputusan yang cemerlang atau pakar dalam kajian berteraskan bahasa Inggeris? Penulis akui kepentingan Bahasa Inggeris, matematik dan sains. Akan tetapi janganlah kita mementingan fesyen rambut yang hebat, jam berjenama,kasut ala artis, kereta gaya kerabat diRaja tetapi ianya tidak memakai seluar dan baju (bogel). Ya... meninggalkan pendidikan Al-Quran yang Fardu Ain dan menumpukan kepada ilmu-ilmu alat yang tidak jelas niatnya sepertilah orang berbogel tetapi bersolek.

Hasil dapatan penulis, majoriti asrama sekolah tidak menyediakan guru Al-Quran. Sedangkan penghuni asrama adalah terdiri daripada pelajar yang berumur 12 hingga 17 tahun yang biasanya belum habis Al-Quran diperingkat sekolah rendah. Bahkan ada yang baru Iqra' 3. Bila tidak ada kelas mengaji di asrama, mereka tidak meneruskan pengajian dan berterusan sehinggalah mereka tamat sekolah. Apa yang patut Dilakukan? Ustaz pergi mengajar mengajilah di asrama..., semudah itukah? Sekolah bukan dangar untuk tunggu durian runtuh. Danggar pun kalau duduk sebarang boleh menimbulkan kemarahan tuan punya dangar....

Kita syukur adanya program j-Qaf yang banyak membantu memulihkan Al-Quran dikalangan pelajar. Kita berterima kasih kepada hasil peninggalan Tun Abdullah Ahmad Badawi [semoga Allah memberkati usaha dan program ini]. Namun demikian,ianya jauh daripada mencukupi. Masih terlalu banyak mereka yang tercicir. Apa lagi negeri Sabah yang dipenuhi dengan ladang-ladang sawit dan kawasan pendalaman.Untungnya kiranya kita dapat program makmal atau pusat pemulihan Al-Quran sepertimana bakal tersedianya makmal Bahasa Inggeris. Syukurnya kalau syarat lulus peperiksaan seperti wajib lulusnya Bahasa Inggeris, matematik dan sains. Bertuahnya kiranya guru Al-Quran mendapat imbuhan 15% sepertimana dapatnya guru-guru PPSMI. Mungkin, hari ini, semuanya ini adalah impian tetapi manalah tahu suatu hari nanti, ianya menjadi kenyataan. Apa yang patut dilakukan?

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008