Saturday, July 11, 2009

Manik Urai : Manik Sudah Menjadi Emas

Pagi tadi saya menerima panggilan dari seorang sahabat pengundi Manik Urai. Bila saya bertanya khabar tentang Manik Urai, dia mengeluh. Politik semakin kotor katanya. Cara mendapat kuasa sudah diluar normal. Matlamat sudah menghalalkan cara. Rasuah politik sudah menjadi-jadi. Bukan lagi projek mee segera yang biasa terjadi dalam setiap pilihanraya tetapi habuan wang (pitih) juga turut mengotori pilihanraya kecil Manik Urai yang akan berlangsung pada 14 Julai ini

Masyarakat dikejutkan dengan nilai sewa rumah di Manik Urai yang melonjak sehingga RM5000.00 sebulan. Perkara yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Penyewa sanggup membayar sewa sedemikian rupa. Permintaan terlalu tinggi. Ini membuka ruang untuk penduduk Manik Urai sanggup mengosongkan rumahnya dan tinggal di rumah keluarga yang lain demi merebut peluang emas ini. Ini mungkin rezeki penduduk Manik Urai yang bukan sekali datang. Semestinya peluang ini mesti dimunafaatkan sepenuhnya. Cuma, ada beberapa perkara pelik kepada penyewa rumah ini. Darimana datangnya duit yang begitu banyak untuk menyewa rumah semahal ini dengan banyak? Bukan sebuah dua rumah yang disewa, banyak…. Mungkin duit parti. Kalau duit parti, semestinya rumah itu akan didiami oleh petugas-petugas parti yang ramai jumlahnya atau bertukar ganti orangnya kecuali yang tetap. Anehnya, ada rumah yang disewa itu dihuni oleh beberapa orang individu sahaja. Banyak betul duit mereka. Harapnya bukan duit rakyat yang digunakan.

Kejadian malam tadi mencemarkan lagi sistem pilihanraya negara. Dianggarkan 26 orang pengundi pro PAS dari kampung Budi dan Lata Rek di bawa ke suatu tempat dan dihadiahkan wang untuk mengundi mereka. Pengundi tegar kedua-dua parti bertanding tidak diusik. Kalimah “Minta tolong sekali ni je”.Habuan bernilai RM300 hingga RM500. Jumlah itu mengikut jantina. Ia diserahkan dalam bentuk sampul. Penyerahannya dilakukan dengan teratur. Cepat dan terancang. Ianya diatur oleh orang yang tidak dikenali. Bahkan turut kelihatan seorang ahli parlimen yang tidak berparti.

Mengepung dan mengumpan pengundi selepas jam 12.00 malam adalah strategi biasa parti politik sekalipun masa berkempen tamat selepas jam 12.00 malam. Pengundi dilengah-lengahkan sehingga tengah malam samaada dengan dengan mengajak minum di kedai kopi atau sebagainya. Tindakan ini bertujuan supaya tindakan jahat mereka tidak disedari oleh orang ramai terutama parti lawan.

Mungkin ini hanya debu-debu kotor yang berterbangan ke udara di Manik Urai. Masih banyak debu-debu kotor yang melekat di kaki-kaki dan dibadan ahli politik yang tamak dan gila kuasa. Mungkin kita lupa bahawa kuasa adalah suatu amanah Allah yang mesti dilaksanakan sebaik mungkin. Kenapa kita berebut sampai melanggar tatacara mendapatkan kuasa? Lupakah kepada hari akhirat? Bukan setakat kuasa akan dipersoalkan oleh Allah, cara dapat kuasa juga akan turut dipersoalkan.

Kaedah Usul Fiqh menyebut “tidak akan sempurna perkara yang wajib kecuali dengan menyempurnakan perkara yang wajib”. Tidak akan sempurna sesuatu kuasa kecuali dengan kuasa itu di dapati melalui cara yang menurut syariat. Kalau rosak cara dapat kuasa, maka rosaklah kekuasaan nanti. Rasuah adalah perosak kuasa. Kalau hari ini sanggup menghulurkan rasuah, tidak mustahil bila mereka berkuasa mereka akan menerima rasuah.

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008