Wednesday, August 19, 2009

Zakat Fitrah Sabah RM6.60

Bagi mereka yang difardukan zakat fitrah dan juga mereka yang ingin membayar fidyah puasa, Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) mengumumkan kadar Zakat Fitrah bagi tahun ini (1430 Hijrah) ialah RM6.60 sen ke atas setiap orang Islam yang bermastautin di negeri ini.

Pengerusinya, Datuk Syed Abas Syed Ali yang mengisytiharkan kadar zakat itu berkata, kadar zakat fitrah yang ditetapkan itu adalah berasaskan sukatan 1 gantang Bahgad atau 2.7 kilogram) beras yang dimakan oleh majoriti penduduk di negeri ini.


Tahun lalu kadar zakat fitrah di negeri ini ialah RM7.70 sen setiap seorang Islam yang bermastautin di Sabah.

“Pada tahun ini, Muis telah melantik 35 Amil dan 2,000 Wakil Amil di seluruh negeri ini untuk menyelaras dan mengutip Zakat Fitrah sepanjang bulan Ramadan,” katanya pada sidang media pengisytiharan kadar Zakat Fitrah dan taklimat Zakat Fitrah oleh Pusat Zakat Sabah (PZS)di sini, kelmarin.


Syed Abas berkata, mereka yang dilantik sebagai Amil dan Wakil Amil Zakat Fitrah terdiri daripada Pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains), penjawat awam, Imam-Imam Kariah, ketua-ketua kampung, pemimpin masyarakat dan orang perseorangan yang memiliki sifat amanah serta berbudi pekerti mulia.


Menurutnya, kesemua mereka akan dibekalkan kad kuasa bagi mengelakkan masyarakat Islam mengeluarkan fitrah kepada orang-orang yang tidak bertanggungjawab dan tidak mempunyai tauliah.


Terdahulu itu, Syed Abas berkata, pada tahun lalu, Muis telah berjaya memungut zakat keseluruhannya berjumlah RM23.8 juta, iaitu meningkat RM6.3 juta berbanding tahun 2007 yang hanya berjumlah RM17.5 juta.


Pada tahun lalu Muis berjaya memungut Zakat Fitrah berjumlah RM 7.4 juta dan Zakat Harta RM16.4 juta, jumlah itu merupakan yang tertinggi pernah direkodkan oleh Muis sejak ia ditubuhkan pada tahun 1972.


“Jumlah pembayar Zakat Fitrah tahun lalu ialah seramai 958,325 orang iaitu menurun 18,296 pembayar atau (1.88 peratus) berbanding tahun 2007 iaitu berjumlah 976,621 orang,” katanya.


Beliau juga berkata, jumlah agihan Zakat dan Fitrah mengikut Asnaf tahun lalu ialah RM19,3 juta dengan jumlah penerima keseluruhan ialah seramai 25,135 orang, iaitu 1,513 orang Asnaf Fakir, Asnaf Miskin (22,715 orang) dan Asnaf Mualaf (907 orang).


Syeda Abas juga berkata, sepanjang bulan Ramadan tahun ini, Muis telah memperuntukkan sebanyak RM5.5 juta untuk diagih-agihkan kepada Asnah Fakir, Miskin dan Mualaf bagi menggembirakan hati para penerima dan sebagai persediaan mereka menyambut 1 Syawal.


Sementara itu, pada majlis yang sama Public Islamic Bank Berhad turut menyampaikan penyerahan zakat perniagaan kepada Muis. -NST

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008