Thursday, September 17, 2009

Kita Bakal di tinggalkan Ramadhan

Mungkin sehari sahaja lagi kita akan berpuasa bersama madrasah Ramadhan Al-Mubarak. Ramadhan bakal meninggalkan kita. Pergi dengan penuh kebaktian, keberkatan, kerahmatan dan kesejahteraan. Itulah hakikat hidup dan resam dunia. Tiada suatu pun yang kekal akan kita miliki. Apa yang penting bagi kita, sejauhmana kita memunafaatkan kedatangan Ramadhan dalam kehidupan kita. Rahmat dan keberkatan ramadhan yang menyamai seribu bulan melalui Lailatul Qadar telah singgah atau tidak pada jiwa dan iman kita?

Madrasah Ramadhan yang mendidik jiwa-jiwa kita melalui tadarus Al-Quran, berpuasa dari perkara-perkara yang membatalkan puasa atau yang boleh mengurangkan pahala berpuasa, solat Teraweh, tazkirah Ramadhan, solat berjemaah, bersadaqah, zakat fitrah, iftar jamaie, sahur dan aneka lagi program-program Ramadhan bermatlamat mendidik jiwa-jiwa supaya mengabdikan diri kepada Allah.

Ganjaran yang besar kepada penderma bagi mengikis sikap bakhil seterusnya membuang sikap cintakan dunia dan pentingkan diri sendiri serta tamak haloba sehingga mengetepikan soal-soal adat dan ibadat dalam mencari rezeki.

Zakat fitrah bakal memastikan diri kita mengingati kepayahan orang lain walaupun kekadang kita merasakan kita juga layak menerima zakat. Tetapi utamakan orang lain adalah sikap para sahabat Nabi SAW. Keluarkan juga zakat walaupun dalam kepayahan. Suatu paksaan yang menjadikan manusia lebih berdikari dan berusaha untuk menyumbang bagi yang miskin. manakala bagi yang kaya, ianya merupakan suatu pembersihan dan penyuburan terhadap rezeki yang diraih selama ini. Semoga dalam kesibukan kita, kita tidak memandang remeh atau terleka dengan zakat fitrah.

Kesimpulannya, kita mengharapkan Ramadhan kami ini mencapai matlamatnya ataupun sekurang-kurangnya melonjak biarpun sedikit iman kita jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelum ini. Sesuai dengan ayat yang mewajibkan berpuasa supaya kita bertaqwa kepada Allah SWT. Mudah-mudahan Ramadhan ini mendatangkan seribu erti dan kesan madrasah Ramadan dan kita masih dapat bersua lagi dengan Ramadhan yang akan datang.

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008