Tuesday, October 20, 2009

Julanar Srikandi Ain Jalut

Tangan yang menghayun buaian boleh mengoncang dunia. Begitulah ungkapan yang tepat bagi menggambarkan jasa dan sumbangan Julanar, isteri kepada pemerintah Kerajaan Mamalik di Mesir, Saifuddin Qutuz.

Ketika umat Islam berada di dalam kelemasan kerana diasak dan diratah keganasan tentera Monggol pimpinan Hulagu Khan yang dibantu oleh Guo Khan dan Kitbuqa yang beragama Kristian. Kerajaan Mamalik, Mesir menjadi benteng terakhir umat Islam setelah Kerajaan Abbasiyyah pimpinan Khalifah Al-Musta'shim dijatuhkan dan bumi Baghdad bermandi darah.

Saifuddin Qutuz yang baru tiga bulan mengambil alih Kerajaan Mesir menyedari masalah dalam negaranya juga memerlukan komitmennya tetapi bernekad menentang Monggol secara berdepan. Beliau tidak sanggup membiarkan maruah umat Islam dipijak dan diinjak kafir Monggol laknatullah.

Kekuatan Saifuddin Qutuz ditunjangi isterinya tercinta Julanar. Julanar bukan sekadar peniup semangat perjuangan suami bahkan Julanar turut turun ke medan perang sebagai tentera Islam dan bertarung dengan gagah berani.

Dalam kelincahan Julanar bertarung, beliau ditetak dari belakang oleh tentera Monggol menyebabkan dia tewas dan rebah. Suaminya Saifuddin Qutuz membunuh pembunuhnya dan kemudian mendapatkan isterinya yang sedang nazak. " wahai isteriku....... wahai isteriku," rintih Saifuddin Qutuz sambil memangku kepala isterinya.

Apabila mendengar kata-kata itu, Julanar berkata. "Jangan ucapkan begitu wahai suamiku. Ucapkan wahai Islam..... Wahai Islam." Jullanar lalu menghembus nafasnya yang terakhir. Semangat jihad dan syahid Julanar berlonggok dijiwa Saifuddin Qutuz.

Saifuddin Qutuz bangkit dan terus mara memerangi tentera Monggol dengan hasrat mencari syahid sepertimana yang telah diperolehi oleh isterinya, Julanar. Tentera Islam pimpinan Saifuddin Qutuz berjaya menghalau Monggol keluar dan memberi tamparan yang cukup hebat kepada tentera Monggol pimpinan Hulagu Khan yang tidak pernah tewas sebelum ini. Bukan sekadar menang, malah panglima perang Monggol, Kitbuqa turut dipenggal kepalanya.

Begitulah hebat pengaruh srikandi Jihad, Julanar dalam membela Islam yang pada awalnya dalam keadaan terdesak sehingga kembali menguasai pentas kekuasaan di Timur Tengah. Nyawa dan maruah umat Islam dapat diselamatkan dan dipulihkan.

Masih adakah semangat, keimanan dan keberanian Julanar dalam jiwa-jiwa isteri pemimpin Islam hari ini? Srikandi yang sanggup turun ke medan jihad dan mempertaruhkan nyawanya demi maruah dan kesejahteraan umat Islam.

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008