Tuesday, November 3, 2009

Akhir Piala Malaysia : Cuti Umum Langkah Bijak

Tindakan Kerajaan Negeri Kelantan mengisytiharkan cuti pada Ahad ini 8 November bersempena perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia antara pasukan Kelantan menentang Negeri Sembilan disifatkan sebagai langkah bijak dan prihatin.

Cuti pada Ahad 8 November lebih bermakna kepada peminat bolasepak Kelantan jika dibandingan dengan imbuhan kemenangan kepada para pemain sepertimana dilakukan oleh Pasukan Negeri Sembilan. Kemenangan dan kejayaan pasukan Kelantan layak ke perlawanan Akhir buat pertama kali setelah 39 tahun layak dikongsi bersama antara pemain dan penyokong bolasepak Kelantan. Tanpa sokongan padu peminat Kelantan siapalah pemain dan pasukan Kelantan. Sumbangan penyokong Kelantan amat besar terhadap kebangkitan pasukan Kelantan pada musim ini.

Lebih 50,000 penyokongan Kelantan dijangkakan akan membanjiri Stadium Bukit Jalil sabtu ini untuk memberi sokongan kepada pasukan kesayangan mereka, Kelantan. Perjalanan yang jauh ditambahkan dengan bebanan kerja keesokkan harinya, pasti membebankan dan membahayakan perjalanan. Apalah gunanya Piala Malaysia sekiranya bakal ada anak yang menjadi yatim, isteri menjadi janda, ibubapa kehilangan anak? Mereka mesti diberi kelapangan masa untuk mengatur pemanduan dengan selamat dan dapat melaksanakan kerja dengan sempurna pada hari seterusnya.

Inilah kebijaksanaan kepimpinan Ulama yang berjiwa insan dan prihatin masyarakat. Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan lebih melihat kepada maslahah ammah berbanding membanjiri kelompok kecil pemain yang pasti dinobatkan sebagai wira dengan habuan keduniaan. Pemain Kelantan bermain untuk mengangkat maruah negeri Kelantan melalui bolasepak. Itu sudah menjadi tanggungjawab mereka sebagai pemain bolasepak bukan untuk mencari habuan kekayaan.

Kalau pemain memerah keringat untuk mencari kemenangan, penyokong juga memerah keringat dan kewangan untuk menyokong pasukan. Maka tidak wajarlah keselamatan dan nyawa dipertaruhkan semata-mata untuk memberi sokongan kepada pasukan negeri. Cuti Umum hari Ahad adalah wajar dan langkah keselamatan dalam menjaga kebajikan rakyat.

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008