Thursday, November 5, 2009

Ketulenan Aqidah Dinding Perkauman

Genghis Khan pernah mengungkap bahawa " Orang-orang Monggol hanya dapat dikalahkan oleh orang Monggul juga".

Kebuasan Tartar Monggol tiada tara bandingannya. Mereka berperang untuk kemegahan, harta dan wanita. Kejahatan dan kebuasan ini menyebabkan mereka menjadikan Islam sebagai pemangsanya. Satu demi satu wilayah kekuasaan Abbasiyyah menjadi ratahan mereka. Akhirnya mereka berjaya meruntuhkan Kerajaan Abbasiyyah yang telah memerintah selama 500 tahun dan membunuh khalifah terakhir Kerajaan Abbasiyyah.

Namun demikian kemaraan mereka disekat oleh bangsa mereka sendiri yang telah memeluk Islam. Berke Khan sepupu kepada Hulagu Khan menjadi ancaman yang cukup besar kepada kebuasan nafsu serakah Monggol. Berke Khan dan Baibar yang telah bergabung dengan pemerintah Mamalik, Saifuddin Qutuz dan bekas ketua perang Abbasiyyah, Rukunuddin Al-Daudar telah menyekat dan menewaskan tentera Hulagu Khan di Ain Jalut.

Kekalahan Hulagu Khan ini merupakan titik tolak kepada kemuraman kemaraan tentera-tentera Monggol. Cubaan membalas dendam Hulagu Khan juga berjaya disekat Berke Khan. Tentera Monggol pimpinan Hulagu Khan tewas sekali lagi di Kaukasus.

Malah sebelum Berke Khan bertindak membantu tentera Islam, baginda telah mengirim ulama kepada Mongke Khan (Pemerintah Mongol selepas kematian anak Genghis Khan, Tolui). Tujuan utusan tersebut adalah untuk memberi amaran tentang bahayanya sekiranya Hulagu Khan menakluk pemerintah Islam di Timur Tengah.

" kami sudah menganut ajaran Islam. Sekiranya saudara kami diperangi , kami akan membantu saudara seagama kami. Bagi mengelak berlaku perang saudara sesama kita, maka jangan memerangi orang Islam."

Utusan ini menyebabkan Mongke Khan, abang kepada Hulagu Khan menangguhkan usaha untuk menakluk wilayah Islam.

Keingkaran dan kerakusan Hulagu Khan yang menyerang dan meragut kententeraman wilayah-wilayah dan umat Islam menyebabkan Berke Khan bertindak terjun ke medan perang. Berhadapan sepupunya Hulagu Khan. Tiada lagi soal kekeluargaan dan kebanggan bangsa Monggol. Persetan semangat dan maruah anak cucu Genghis Khan. Saudara seagama, jauh lebih penting daripada saudara sepupu dan berbangsa yang sama. Persaudaraan Islam membawa ke akhirat. Berke Khan telah membuktikan ketulenan Aqidah pemisah Perkauman.

Tindakan Berke Khan mempertahankan Islam dan mengalahkan Hulagu Khan beberapa kali telah mematahkan semangat dan mengecewakan Hulagu Khan untuk memerangi Islam sehingga dia mengambil keputusan berkubu di Azerbaijan dan melupakan peperangan sekalipun didesak olah anak Abaqa dan isterinya Dokuz Khatun yang beragama Kristian. Ketakutannya juga membuatkan Hulagu Khan berwasiat supaya mayatnya disemadikan di tengah Tasik Urmia.

Sikap mengutamakan saudara seagama dan membelakangkan semangat kebangsaan berjaya menyelamat dan membina ummah. Kita contohi Berke Khan yang bersedia melupakan keagungan datuknya Genghis Khan demi menyelamatkan Islam. Cuba kita bayangkan, apa akan terjadi kepada umat Islam pada ketika itu dan sekarang jika Berke Khan mengambil sikap setia bersama bangsanya dan sama-sama memerangi Islam? Justeru itu, perjuangan sempit perkauman merugikan agama, bangsa dan negara.

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008