Friday, November 6, 2009

Mampukah Sejarah Terukir

Malam ini pasukan Kelantan akan turun bertarung di Stadium Bukit Jalil untuk mencipta sejarah baru dalam kancah Bola Sepak Piala Malaysia dan Kelantan sendiri. Pasukan Red Warriors akan turun menentang pasukan yang telah dikalahkan dalam separuh Akhir Piala FA, tahun ini, Negeri Sembilan.

Pasukan Negeri Sembilan dilihat lebih mantap kerana mempunyai pemain-pemain yang ternama dan lebih berpengalaman seperti Hairudin Omar, Rizal Zambery, Idris Karim, kembar zakuan dan Shukur Adam serta bakat-bakat muda yang boleh diharapkan. Apatah lagi mereka belum pernah kalah dalam perlawanan piala Malaysia. Pasukan Kelantan dilihat lebih bersemangat untuk mencipta sejarah untuk peminat-peminat negeri Kelantan.

Kejayaan Kelantan ke perlawanan Akhir piala Malaysia bagaikan hadiah besar kepada peminat-peminat bolasepak Kelantan. Hampir 60,000 warga Kelantan akan membanjiri Stadium Bukit Jalil. Mereka sanggup menghabiskan duit dan mengambil cuti untuk memberi sokongan moral kepada pasukan Kelantan yang kali ke 2 mara ke perlawanan akhir sejak diperkenalkan piala Malaysia dan Piala Malaya.

Sokongan ini bukan hanya daripada rakyat Kelantan, bahkan Kerajaan Negeri Kelantan yang turun berbangga dengan pancapaian ini. Cuti hari Ahad 7 November telah diberikan bagi melegakan perjalanan penyokong-penyokong Kelantan pulang daripada memberi sokongan kepada Pasukan kelantan di Stadium Bukit Jalil. Selain itu, hadiah 300,000 telah dijanjikan untuk para pemain dan pegawai KAFA menunaikan umrah sebagai tanda kesyukuran kepada Allah. Skrin besar akan turut dipaparkan oleh Exco belia untuk memberi kemudahan kepada penyokong yang tidak berpeluang ke Stadium Bukit Jalil menyaksikan pasukan mereka beraksi di peringkat final Piala Malaysia. Tajaan tiket oleh ADUN dan individu-individu turut menyemarakan sokongan.

Segalanya bagaikan sudah bersama Red Warriors ini. Cuma tergalas di bahu pemain untuk merealisasikan harapan peminat dan rakyat kelantan untuk pertama kalinya membawa pulang Piala Malaysia ke negeri Kelantan. nama-nama pemain dan pegawai KAFA sekarang akan dikenang dalam lipatan sejarah Kelantan kerana jasa ini. Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz telah menyatakan kesediaannya untuk menjadikan tahun 2010 sebagai tahun bolasepak Kelantan. Sentimen Politik yang selalu menjadi pertikaian antara Tuan Guru dan Datuk Anuar Musa telah dibuang jauh-jauh demi memartabatkan mutu Bolasepak Kelantan dan kejayaan Pasukan Kelantan.

Kepada peminat dan penyokong Kelantan,

Contohilah sikap pemimpin kita yang boleh berkompromi untuk kemajuan dan maruah negeri. jauhilah daripada membawa bendera parti, membakar mercun, mengeluarkan kata-kata kesat dan anasir-anasir buruk. Banyakkan doa supaya segalanya berjalan lancar dan berkesudahan dengan harmoni sesuai dengan semangat kesukanan. Orang Kelantan terkenal dengan budi pekerti dan wara'nya. Buktikan saudara.... selamat berjuang dan selamat maju jaya.

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008