Saturday, November 21, 2009

Ust Al-Yamin: Hilang Sukar Dicari Ganti

Pejuang agama hanya pinjaman Allah kepada ummah. Allah akan menariknya bila masa dia kehendaki. Begitulah nasib yang menimpa masyarakat Kinabatangan. Ust Al-Yamin Abdul Rahman, 51, seorang pendakwah yang gigih, bermotivasi dan hikmah dalam menjalankan dakwah telah menghembuskan nafas yang terakhir di hospital Kinabatangan setelah mengadu sakit dada.

Ust Al-Yamin, bekas Pembantu Tadbir Agama Kinabatangan (PTA) yang ditukarkan ke Tongod dan Sandakan telah meninggal dunia jam 9.00 malam, 19 NOV 2009 kerana disyaki komplikasi jantung (semasa berita ini ditulis, penulis belum mendapat punca sebenar kematian Allayarham). Pada siangnya, Allahyarham masih dapat menjalankan tugas di Sandakan seperti biasa. Allahyarham meninggalkan lapan orang anak dan seorang isteri.

Kehilangan Ust Al-Yamin amat dirasakan oleh pencinta-pencinta dan pengerak dakwah kerana sumbangan besar beliau dalam perkembangan dakwah Kinabatangan khususnya. Beliau aktif dalam ceramah dan mengatur program keagamaan melalui Usrah, kursus dan sebagainya. Allahyarham juga mengepalai kumpulan Usrah Kg Nusa Jaya. Turut hadir mengiringi jenazah beliau, Ust Mohd Zaidi Mustafa , pengerusi Guru Agama Kinabatangan dan Ust Ahmad Syufaie Wagiran, pengawai ceramah JHEAINS bahagian Sandakan yang turut mengimami solat jenazah.

Allahyarham juga seorang mualaf telah berjaya mengIslamkan ramai suku kaum Sungai dan melatih mereka ini menjadi pendakwah. Ramai kakitangan JHEAINS dan imam Kinabatangan sekarang ini dikalangan hasil didikan beliau. Muridnya bertebaran dimana-mana. Semoga apa yang diusahakan selama ini dikira Allah sebagai sadakah jariah yang mengiringi roh beliau.Pastinya, kehilangan beliau merupakan kehilangan yang amat besar terhadap pejuang dan pengerak dakwah dan masyarakat. Patah tumbuh hilang berganti tetapi pasti, ia sukar disaingi penganti. Semoga rohnya tenang di alam abadi.

Buat keluarga Allahyarham,
Semoga bersabar menghadapi ujian ini,tabah mendaki hari-hari berbaki. Munafaat segala ilmu dan bekal yang beliau cucuri, semoga nanti, ada anak beliau yang menjejaki tanggungjawab sebagai dai’e.

Buat para pembaca,
Bersama kita sadaqahkan Al-Fatihah untuk Allahyarham setaip kali membaca tulisan ini.

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008