Monday, December 21, 2009

Tokoh Maal Hijrah : Mus'ab Bin Umair

“Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak merubah (janjinya)”

Al Ahzab : 23

Ketika mana jasadnya hendak disemadikan, tiada kain kafan yang mencukupi untuk menutup tubuhnya, ditutup kepala, kakinya akan terdedah, ditutup kaki, kepalanya pula akan terdedah. Akhirnya ditutup kepalanya dan kakinya ditutupi dengan rumput-rumput kering. Itulah pengakhiran kehidupan dunia buat Mus’ab Bin Umair, belia contoh sepanjang zaman. Allah akan menepati janjinya pada mereka yang berkorban untuk agama seperti ini, bagi mereka, syurga yang tertinggi.

Sebelum menerima cahaya kebenaran, Mus’ab bin Umair adalah seorang pemuda tampan yang digilai oleh wanita-wanita di Makkah. Beliau terkenal dengan pakaian dan minyak wangi yang terbaik ketika itu, hinggakan setiap kali dia lalu di satu jalan, setiap mata pasti akan memandang dengan kekaguman manakala haruman minyak wanginya semerbak menyegarkan dan menyenangkan.

Diserikan pula dengan ketampanan wajah dan keturunan yang baik disamping kekayaan keluarganya, setiap wanita pasti akan bermimpi untuk berkahwin dengan Mus’ab.

Rasulullah juga mengiktiraf hal ini dengan sabdanya “Tiada siapa yang lebih tampan di Makkah daripada Mus’ab, tiada yang berpakaian sebaiknya dan hidup sebaiknya”.

Takdir menentukan bahawa Mus’ab menerima Islam ketika mana zaman penuh cabaran di Makkah. Zaman dimana umat Islam diseksa dengan pelbagai seksaan untuk mengeluarkan mereka dari Islam, bahkan ada yang dibunuh seperti keluarga Yassir. Ketika keluarganya mengetahui akan keislamannya, ibu dan bapanya sangat marah dan memaksa Mus’ab untuk keluar dari Islam dengan pelbagai cara. Mus’ab dikurung dalam penjara yang gelap oleh ibu bapanya namun itu sedikitpun tidak menggugat keimanannya.

Mus’ab akhirnya dapat melepaskan diri dari penjara keluarganya, dan beliau turut sama sama semasa penghijrahan pertama ke Habsyah. Setelah kembali semula ke Makkah, segala kilauan dan gemerlapan keduniaan Mus’ab sebelumnya telah lenyap, digantikan dengan gemerlapan dan kilauan iman. Beliau telah menukarkan segala kemewahan hidupnya dengan iman, hidupnya diabadikan untuk Islam semata-mata. Ketika ibunya melihat Mus’ab yang telah berubah sepenuhnya, ibunya dengan penuh simpati mengajak Mus’ab untuk kembali menikmati kehidupannya seperti dahulu dengan syarat dia menukar agamanya. Apabila Mus’ab enggan menurut kemahuan ibunya, ibunya menjadi marah dan mengancam untuk membunuh diri.

Iman Mus’ab sedikitpun tidak terusik bahkan beliau menjawab dengan penuh keteguhan “Ibu, jika ibu mempunyai sepuluh nyawa sekalipun, dan ianya keluar satu persatu, saya akan tetap tidak akan meninggalkan agama ini”

Melihat keteguhan Mus’ab, ibunya berputus asa dan akhirnya tidak mampu untuk berbuat apa-apa lagi untuk memujuk Mus’ab.

Masa berlalu dan Mus’ab semakin matang dan menjadi seorang pemuda yang bijaksana, hatinya penuh dengan keimanan dan ketaqwaan, jiwanya cerah dengan cahaya hasil didikan dari tangan nabi sendiri.

Selepas dari perjanjian Aqabah, Rasulullah menghantar Mus’ab bin Umair untuk menjadi ejen pendakwah di Madinah. Sesuai dengan kesungguhan, kepintaran dan kehebatan peribadi Mus’ab, ramai penduduk Madinah menerima Islam di tangannya. Beliau bekerja keras, hingga tiada suatu pintu pun yang tidak disinggahinya untuk menyampaikan Islam.

Mus’ab adalah pendakwah yang hebat, penuh kesungguhan dan kebijaksanaan, antara kisah yang masyhur dan telah diriwayatkan dalam kitab muktabar seperti Hayatus Sahabah karangan Sheikh Yusuf Al Kandahlawi dan Raheeq Makhtum, karangan Safiyyur Rahman Al Mubarakfuri berkenaan pengembaraan dakwah Mus’ab di Madinah adalah kisah pengislaman Saad Bin Muadz dan Usaid Bin Hudair, dua tokoh pemimpin dan golongan elit Madinah.

Driwayatkan bahawa suatu hari telah keluar bersama As’ad Bin Zurarah ke sebuah perkampungan Bani Zafar. Mereka duduk di tepi perigi Marq dan Mus’ab mengajarkan tentang Islam kepada golongan yang baru memeluk Islam.

Kelibat mereka telah dilihat oleh Saad Bin Muadz dan Usaid Bin Hadhir, lantas Saad mengarahkan Usaid agar menghalau Mus’ab dan halaqahnya dari situ. Saad membentak Usaid dengan berkata :

“Lihatlah dua pemuda itu yang telah memperbodohkan golongan-golongan kita, ayuh kau halaukan mereka dari sini, kalaulah bukan kerana As’ad Bin Zurarah itu anak saudaraku, nescaya aku sendiri yang akan menghalaunya”

Usaid lalu mengambil tombaknya lalu menuju kea rah perkumpulan Mus’ab dan As’ad, sebaik As’ad terlihat kelibat Usaid sedang menuju kearah mereka, As’ad terlihat satu potensi besar dan terus berkata kepada Mus’ab :

“Usaid itu adalah ketua kabilah dan itu dia sedang menuju ke sini, ku harap kau dapat jelaskan tentang kebesaran Allah kepadanya”

Usaid tiba di depan mereka sambil dengan marah membentak keras dan memberi amaran kepada mereka berdua agar segera beredar.

Mus’ab dengan tenang menjawab “Sudikah tuan duduk sebentar dan dengar dahulu apa yang ingin kami sampaikan, sekiranya kau senang dengan kata-kata kami, teruslah mendengarnya dan jika tuan tidak menyukainya, kami akan berhenti dan beredar dari sini”

Usaid lalu berkata “Itu adalah baik dan seadil-adilnya”, lalu Usaid memacakkan tombaknya ke tanah dan memberi perhatian terhadap apa yang ingin disampaikan oleh Mus’ab.

Mus’ab lalu membaca beberapa potong dari ayat Al Quran dan menerangkan tentang Islam kepadanya. Ternyata kalimah kebenaran yang diungkapkan oleh jiwa suci Mus’ab Bin Umair pantas menusuk masuk ke dada Usaid, akhirnya Usaid bertanya

“Alangkah indahnya kalimah yang kau ungkapkan, bagaimana aku hendak memeluk agama ini?”

Mus’ab lalu berkata “Pertamanya, kamu harus bersuci kemudian membersihkan pakaian dan seterusnya mengucap dua kalimah syahadah dan akhirnya hendaklah kau tunaikan solat dua rakaat.

Usaid kemudiannya melaksanakan tuntutan-tuntutan tersebut dan kemudian mencadangkan pula agar mereka mendakwahi Saad Bin Muadz pula, kata Usaid :

“Dibelakangku ada seorang lelaki yang mana jika beliau memeluk Islam, maka tidak seorang pun dari kaumnya yang tidak akan menurutinya”

Usaid kemudian menyusun pertemuan antara Saad dengan Mus’ab dan akhirnya dengan kebijaksanaan dakwah Mus’ab Saad masuk Islam hari itu juga dan seluruh kaumnya juga turut bersamanya memeluk agama kebenaran.

Itulah secebis kisah dari pengembaraan dakwah Mus’ab Bin Umair di Madinah, tiada pintu yang tidak diketuknya, Madinah bercahaya dengan Islam atas usaha dakwahnya.

Berita ini disampaikan kepada Rasulullah dimana Rasulullah ternyata amat gembira dan setelah itulah perintah untuk berhijrah mula dilaksanakan.

Mus’ab Bin Umair juga terlibat secara aktif dan memegang peranan penting dalam aspek pertahanan negara Madinah, beliau telah diberi kepercayaan untuk memegang panji-panji Islam ketika perang Badar dan perang Uhud. Ini membuktikan Mus’ab bukan sahaja pintar malah juga berani dan berkebolehan dalam peperangan.

Kisah keberanian Mus’ab ini terserlah dengan begitu jelas dalam peperangan Uhud, perang di mana taqdir Allah telah menetapkan kesyahidan bagi dirinya.

Bukit Uhud Menjadi Saksi Kepahlawanan Mus'ab

Bukit Uhud Menjadi Saksi Kepahlawanan Mus'ab

Mus’ab bin Umair dalam peperangan Uhud telah menunjukkan kecekalan yang luar biasa. Ketika keadaan menjadi genting dan berkecamuk bagi tentera-tentera Islam, tentera Musyrikin telah mengambil peluang ini untuk memporakperandakan barisan tentera Islam, dan cuba untuk menjatuhkan panji Islam yang dibawa oleh Mus’ab.

Dalam serangan hebat itu, tangan kanannya telah dicantas akan tetapi Mus’ab terus memegang panji itu dengan tangan kirinya pula, serangan demi serangan dilakukan terhadap Mus’ab dan tangan kirinya pula terputus, setelah itu beliau dengan sisa-sisa tenaga yang ada mengepit panji itu di antara dada dan lehernya hingga akhirnya beliau terbunuh syahid dibunuh oleh Ibnu Qami’ah.

Itulah pengakhiran kehidupan Mus’ab bin Umair di dunia ini, beliau tidak mati bahkan hidup disisi tuhannya dengan mendapat rezeki. Namanya harum mekar sepanjang zaman menjadi contoh belia terbaik. Semasa pengebumiannya, tiada kain yang cukup untuk menutup jasadnya, tetapi rohnya terbang tinggi bergembira memperoleh janji yang benar dari tuhannya. Mus’ab Bin Umair telah memilih kehidupan akhirat berbanding kehidupan dunia yang sebentar, masa mudanya dihabiskan untuk dakwah dan perjuangan. Sewajarnyalah kisah Mus’ab Bin Umair ini menjadi inspirasi kepada setiap pemuda Islam hari ini

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008