Tuesday, January 19, 2010

Pemuda Pakatan Mesti Kuasai Isu

KOTA KINABALU : Longgokan isu yang memudaratkan akan terus membelenggu rakyat sekiranya tidak ditangani secara hikmah kebijaksanaan oleh pemimpin dan rakyat khususnya pemuda.

Penguasaan isu amat penting bagi pimpinan pemuda kerana orang muda hari ini tidak mempunyai pendirian yang tetap terhadap sesebuah parti politik. Mereka lebih melihat parti mana yang mampu menjaga kebajikan mereka dan telus dalam melaksanakan amanah rakyat. Demikian tegas Ust Azman Sapawi, Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat ketika membentangkan kertas kerja bertajuk "Lonjakan Politik" di Kota Kinabalu.

Masyarakat yang semakin celik dan mengharapkan ketelusan dalam kepimpinan sering diberi maklumat dan gambaran yang salah terhadap sesuatu isu. Baik isu yang menyentuh kepimpinan parti pemerintah dan juga Pakatan rakyat. Penguasaan isu oleh media parti pemerintah menyebabkan mereka dapat bertahan begitu lama di persada pemerintahan sekalipun pemerintahan mereka dicemari rasuah dan penyelewengan.

Sekiranya rakyat benar-benar memahami isu seumpama isu keselamatan yang melibatkan bekas menteri Pertahanan yang kini Perdana menteri, sudah cukup untuk rakyat merasa gusar dan bertekad menukar kepimpinan. Bolosnya ratusan senjata api dari kem tentera di Saouk oleh Al-Maunah, penggunaan Bom C4 yang menghancurkan Altantunya dan kehilangan dua engine jet pejuang bukanlah isu kecil tetapi isu yang boleh menghancurkan negara. Malangnya, rakyat bagaikan tidak terkesan.

Ust Azman juga berpandangan, penguasaan itu juga penting untuk menangkis serangan lawan. Kewujudan empat buah Kerajaan Pakatan Rakyat lebih membuka laluan serangan UBN kepada Pakatan Rakyat. Pemuda yang gagal menguasai isu akan lemas dalam serangan ini dan mungkin bakal mengiakan tuduhan tersebut.

Kewujudan media baru menjadi medan terbaik untuk menguasai golongan muda yang lebih terbuka dan objektif dalam pemikiran. Pastinya, pemuda mesti kuatkan tekad, lengkapkan ilmu dan menyemarak perjuangan sebagai persiapan untuk mengambilalih tapuk kepimpinan daripada UBN yang kian rapuh dan reput.

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008