Saturday, February 20, 2010

Red Warrior: Kami Kecewa Kami Redha

Itulah ketentuan dan itulah keputusan. Pasukan Kelantan yang menyimpan hasrat besar pada tahun ini untuk memiliki tiga piala sudah tercicir apabila gagal ke suku akhir Piala FA selepas Kedah berjaya mengikat kedudukan 1-1 dalam perlawanan pusingan kedua di Stadium Sultan Muhammad ke IV sebentar tadi. Sebelum ini, Red Warrior hanya seri 0-0 dengan Kedah. Kedah berjaya mara ke perlawanan suku akhir menentang Angkatan Tentera Malaysia kerana berjaya menjaringkan gol ditempat lawan melalui pemain penyerangnya Badrol Bakthiar.

Keputusan ini amat mengecewakan peminat-peminat Kelantan sehingga Stadium Sultan Muhammad ke IV sunyi dan penuh debaran menyaksikan serangan bertali arus pemain-pemain Kelantan tetapi hampa kerana tiada gol yang dihasilkan kecuali gol pendahuluan yang dijaringkan Indra Putra. Presiden KAFA telah melahirkan kekecewaan semasa ditemubual oleh wakil RTM1,Hasbullah Awang telah menyatakan kekesalan di atas ketumpulan jentera serangan pemain-pemain Kelantan. Menurut Tan Sri Anuar Musa, ketumpulan berlarutan dari awal musim ini telah menyebabkan Kelantan gagal ke suku akhir.

Mungkin benar apa yang dizahirkan oleh presiden KAFA, tetapi kami redha. Itulah nasib pasukan kesayangan kami. Pemain-pemain telah bermain bersungguh-sungguh, cuma nasib tidak menyebelahi mereka. Buktinya terlalu banyak peluang yang terhidang tetapi penyudahnya yang gelebek. Kami memahami, pasukan Kelantan yang telah digahkan oleh media sebagai sebuah pasukan yang mengerunkan dengan bintang-bintang ternama, lama dan baru, pastinya menimbulkan keazaman pasukan lain untuk mengalahkan Kelantan. Kelantan bagaikan pasukan media. Tengoklah penajanya Sinar Harian. Mana ada pasukan lain yang ditaja media? Promosinya yang banyak bakal melahirkan penyokong fanatik. Penyokong fanatik ini ada baik dan buruknya. Pihak pengurusan patut mengambilkira sikap dan harapan penonton.

Sekiranya pemain terus dipersalahkan atas kegagalan pasukan, saya bimbang akan memberi tekanan dan kecaman terhadap pemain. Tekanan ini tidak akan menguntungkan sesiapa. Pihak pengurusan seharusnya bijak meredakan kekecewaan dan harapan mengunung penonton dan peminat. Kita tidak mahu tragedi membakar mercun dan stadium yang mengakibatkan kecederaan dan kerugian seperti yang berlaku sebelum ini.

Muhasabah dari segi pengurusan dan taktikal perlu dilakukan secara telus dan saksama. Pemain diberi peluang untuk mengemukakan hak mereka. Peminat tidak boleh diberi harapan yang terlalu tinggi sekalipun pihak pengurusan bisa kaya dengan jualan tiket dan cenderamata kerana adanya peminat fanatik. Bersederhana dan nada merendah diri penting dalam mengharungi perlawanan yang masih panjang dalam Liga Super dan Piala Malaysia.

Tahniah pemain-pemain Kelantan. Tingkatkan keupayaan, gemilangkan negeri Cik Siti Wan Kembang, kalianlan harapan setelah sekian ditelan kegelapan. Peminat dan penonton, teruskan sokongan sebagai anak watan dengan budaya oghe Kelate.

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008