Thursday, March 25, 2010

Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) Anak Tiri Peniaga Bumiputera

Sudah menjadi nasib bumiputera Sandakan menjadi dagang Pak Malau di bumi sendiri. Mereka bagaikan melukut di tepi gantang untuk mencari sesuap rezeki bagi menyara hidup keluarga mereka. Mereka juga hanya mampu meleleh air liur melihat gudang-gudang perniagaan dan kedai-kedai besar menjadi milik peniaga-peniaga Cina. Sudah beruntung sekiranya mereka dapat berniaga di kaki lima gudang perniagaan atau menyewa sekaki dua kedai dengan harga yang cukup mahal.

Persoalannya, lemah atau naif sangatkah peniaga bumiputera sehingga mereka jauh ketinggalan dalam merebut peluang perniagaan di Sandakan? Barangkali peniaga bumiputera hanya layak berniaga di Pasar Minggu atau di Pasar Ikan sahaja. Itu pun terpaksa bersaing dengan peniaga-peniaga Cina.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, juga Yang Dipertua PAS Kawasan Batu Sapi, Hj Hamzah Abdullah ketika mengulas isu tersebut menyatakan rasa kesalnya terhadap Majlis Perbandaran Sandakan yang menganaktirikan peniaga bumiputera yang rata-rata mereka terdiri daripada peniaga-peniaga kecil.

Menurut beliau lagi, beliau kerap menerima aduan daripada peniaga bumiputera yang sukar untuk mendapat lesen perniagaan dan kebenaran untuk mendirikan gerai-gerai perniagaandi tepi jalan dan di kawasan-kawasan perumahan. Mereka yang berketurunan Bugis dikatakan paling sukar untuk mendapat peluang perniagaan.Bahkan, lebih malang lagi, peniaga kecil bumiputera selalu dikejar oleh penguatkuasa-penguatkuasa dari bangsa sendiri kerana cuba untuk berniaga.

Hj Hamzah memberi contoh ketidakadilan MPS yang bertindak menyaman para peniaga bumiputera yang menurunkan barang jualan mereka daripada kenderaan di tempat-tempat tertentu. Akan tetapi peniaga Cina tidak diperlakukan sedemikian. Ketidakadilan ini jika dibiarkan berterusan akan menjadikan bumiputera terus hanyut dalam arus pembangunan Bandar Sandakan yang telah dinobatkan sebagai bandaraya dalam taman. Malah, lebih malang sekiranya bumiputera Sandakan hanya menjadi kutu rayau dan penjual bahai (beg plastik) sepertimana yang berlaku kepada budak-budak hanyut dari Filipina.

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008