Friday, March 19, 2010

Takaful Ikhlas sasar premium RM625 juta

KOTA BHARU 19 Mac - Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. menyasarkan pertumbuhan premium untuk mencecah RM625 juta bagi tahun kewangan semasanya yang berakhir 31 Mac ini. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman berkata, angka itu berdasarkan pertumbuhan positif yang dicatatkan.

Katanya, syarikat itu yang kini mempunyai 1.4 juta pelanggan, mencatatkan pertumbuhan premium RM580 juta pada tahun lepas.

"Pertumbuhan yang dicapai itu dilihat mampu mengatasi pertumbuhan syarikat insurans besar yang lain, yang telah sekian lama beroperasi di negara ini," katanya kepada pemberita semasa Lawatan Siri Kembara CEO Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. di Semenanjung di sini hari ini.

"Dalam tempoh enam tahun penubuhan Takaful Ikhlas ini, pertumbuhan yang dicapai dilihat begitu pantas di luar jangkaan kami," katanya, sambil menyatakan kejayaan itu jelas membuktikan Takaful Ikhlas mempunyai strategi terutama sistem dalaman tersendiri yang kukuh untuk bersaing dan mengatasi syarikat lain.

Mengenai lawatan siri kembara itu, Syed Moheeb berkata ia merupakan program penjelajahan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas untuk melawat pejabat-pejabat Ketua Agensi Takaful Ikhlas di Semenanjung.

Beliau berkata, objektif kembara terbabit bagi bertemu muka dengan ketua agensi yang mengendali setiap pejabat bagi mengenal pasti permasalahan yang timbul secara lebih terperinci.

"Tujuan utama program kembara ini sebagai pertemuan merapatkan silaturrahim antara kakitangan kanan dari ibu pejabat dengan ketua agensi. Apabila adanya pertemuan dan jalinan rapat seumpama ini, barulah dapat memahami sekiranya ada segala permasalahan yang timbul," katanya.

Selain itu, Syed Moheeb berkata, pihaknya merancang untuk membuka dua cawangan Takaful Ikhlas, yang masing-masing satu di Terengganu dan Klang, Selangor pada pertengahan tahun ini, bagi menjadikan 12 cawangan Takaful Ikhlas di seluruh negara.

Menurutnya, bilangan cawangannya itu meski pun dilihat sedikit untuk menampung jumlah pelanggan yang ramai, pihaknya tidak mempunyai masalah kerana menggunakan sistem internet untuk menjalankan urus niaga dengan pelanggan.

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008