Thursday, April 1, 2010

Blog: Ramai Menjadi Tidak Beradab

Kebebasan menulis untuk menyatakan pandangan, luahan perasaan, kritikan dan sebagainya yang dihidangkan melalui blog amat bermakna dan mudah untuk disebarluaskan. Kemudahan ini ada pro dan kontranya. Kontra apabila media baru ini digunakan sewenang-wenangnya dengan membelakangkan etika penulisan dan adab serta akhlak Islamiah. Apa lagi bagi mereka yang mengabungkan diri dalam jemaah Islam yang bertekad untuk menjalankan kerja dakwah serta menegakkan kesyumulan Islam dalam kehidupan diri dan masyarakat.

Hj Zulkifli bersama Timbalannya Hj Kathiran berhenti rehat ketika menyelusuri Jalan Kalabakan- Sepulut- keningau

Profesor Dr Firdaus Abdullah pernah menyebut, kita hendaklah berfikir sebelum berkata dan tidak semestinya berkata setelah berfikir. Apa yang penulis faham daripada kata-kata ini, tidak semua perkara kita perlu luahkan. Kita patut menulis setelah kita memikirkan perkara itu bermunafaat untuk ummah.

Apa yang hendak diutarakan disini, sejak akhir-akhir ini, media baru ataupun blog banyak digunakan untuk menyerang pimpinan terutama pimpinan gerakan Islam. Serangan dan fakta yang diberikan kebanyakkannya tersasar dan tanpa bukti yang kukuh. Tindakan ini mencemar nama baik kepimpinan gerakan Islam dan melambatkan kejayaan gerakan Islam menegakkan roh dan jiwa Islam dalam masyarakat.

Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Hj Zulkifli Muhammad@Omar telah melahirkan kekecewaannya di atas sikap segelintir blogger yang menyerang pimpinan dan keputusan pimpinan jemaah dengan hanya berbekalkan hujah akal sedangkan keputusan pimpinan berdasarkan keputusan syura setelah menimbangkan beberapa fakta dan bukti yang berautoriti.

Beliau juga melahirkan kebimbangan dengan senario blogger yang terlalu bersikap "merdeka" dengan menyerang semua orang yang difikirkan tidak betul disekeliling mereka. Bahkan sanggup menyerang orang yang mereka sanjung sebelum ini. Senario ini agak berbahaya sekiranya tidak dibendung dan dipupuk adab-adab berjemaah dan akhlak Islamiah itu sendiri.

Kenyataan memohon maaf kadangkala tidak cukup untuk membersihkan kembali lumuran najis noda yang telah dilakukan oleh penulisan sebelum ini. Sebaiknya penulisan itu biarlah atas dasar membela kepentingan ummah dan mengenepikan kepentingan peribadi atau puak tertentu. Jauh sekali untuk melemparkan sangkaan jahat terhadap pejuang-pejuang kebenaran yang tahap tsiqah dan pengorban mereka cukup banyak kepada Islam dan Keadilan.

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008