Wednesday, May 5, 2010

Abu Mihjan : Peminum Arak Yang Bertaubat

"Sesungguhnya Allah menolong agama Islam ini dengan lelaki yang melakukan dosa". Dalam mengupas hadith ini, kita boleh merujuk kepada peristiwa seorang sahabat Rasulullah s.a.w. yang bernama Abu Mihjan r.a. yang merupakan peminum arak tegar.

Dalam peperangan al-Qadisiyyah melawan tentera Farsi yang dipimpin oleh panglima tenteranya yang terkenal Rostum, Abi Mihjan telah turut sama untuk mengejar shahid. Tentera Islam ketika itu dipimpin oleh Sa`ad bin Abi Waqqas r.a. Setelah berperang beberapa ketika, sewaktu tentera Islam berehat, Abu Mihjan telah mengambil kesempatan untuk minum arak. Lalu beliau ditangkap oleh tentera Islam dan dihadapkan kepada Sa`ad bin Abi Waqqas. Dengan merujuk kepada hukum hudud, Sa`ad telah menetapkan bahawa Abu Mihjan akan dijatuhkan hukuman sebat sejurus dia sedar daripada mabuknya.

Lalu Abu Mihjan telah dikurung sementara menanti hukuman, manakala tentera Islam pimpinan Sa`ad mara ke medan meneruskan peperangan. Peperangan yang meletus begitu hebat sehingga tentera Islam telah terkepung di tengah-tengah tentera Farsi. Apabila Abu Mihjan sedar daripada mabuknya, beliau menyedari tentera Islam telah mara ke Medan, lalu beliau meminta kepada isteri Sa`ad bin Abi Waqqas untuk dilepaskan agar boleh menyertai tentera Islam untuk meneruskan jihad. Pada awalnya isteri Sa`ad berat untuk melepaskannya, tetapi setelah Abu Mihjan berjanji akan kembali semula untuk menerima hukuman, beliau pun dilepaskan.

Di tengah-tengah kepungan tentera Farsi itu, tiba-tiba muncul seorang tentera berkuda yang menutup muka, merempuh kepungan tentera Farsi tersebut. Tentera itu sangat hebat dan pantas, sehingga berjaya memecahkan kepungan tentera Farsi tersebut. Setelah selesai pertempuran hari itu, tentera-tentera Islam yang kembali bercerita antara satu sama lain tentang kehebatan tentera berkuda tersebut. Lalu salah seorang daripada mereka menyebut kemungkinan Allah swt telah mendatangkan pertolongan dari kalangan tentera Malaikat. Apabila Sa`ad mendengar kata-kata tersebut, beliau menyatakan: "dia bukan tentera Malaikat kerana kuda yang ditunggangnya adalah kuda aku".

Sa`ad Ibn Waqqas seterusnya mengkhabarkan bahawa tentera berkuda itu adalah Abu Mihjan yang menanti hukuman hudud kerana meminum arak. Kisah ini dapat dibincangkan oleh para ulama berhubung dengan pelaksanaan hukum hudud semasa perang. Terdapat beberapa riwayat yang menyebut Abu Mihjan kemudiannya telah dilepaskan daripada hukuman itu, dan beliau telah bertaubat untuk tidak lagi meminum arak. Janji Abu Mihjan itu telah ditunaikan, apabila beliau tidak lagi meminum arak sehingga kematiannya. Semoga kisah ini dapat menjadi iktibar kepada kita semua, dan harapan kita Zaid Ibrahim akan mencontohi Abu Mahjan r.a.

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008