Monday, May 17, 2010

Kenapa Dicemari Kerja Suci Ini?

Dalam suasana bara hari guru yang masih menguap, saya antara percaya dengan tidak akan berita yang sebarkan melalui kosmo ini. Terkejut dan merasa amat malu. Paparan tajuk "adegan Seks Ustazah di asrama Pelajar" cukup menjerut hati jantung seorang pendidik yang nadinya melimpah kasih sayang dan mengunung harapan untuk mengislah ummah sekalipun hakikatnya kita manusia serba lemah, serba kekurangan.

Kenapa perkara sekeji ini berlaku? Tidak cukup dengan berzina? dirakam dan dihebahkan kepada awam. Di mana sudah maruah manusia yang dipandang tinggi dimata masyarakat sebagai pendidik? Apa lagi pendidik agama yang sepatutnya menjadi model kepada masyarakat.

Memang benar, nafsu tidak mengenal siapa. Ustazah atau ustaz juga manusia biasa yang ada hati, perasaan dan kecenderungan. Ahli agama lagi kuat diuji. Akan tetapi kita diajar supaya menyegerakan perkahwinan bilamana ada lelaki yang soleh melamarnya. Sabda Rasulullah yang maksudnya : 3 perkara yang perlu disegerakan. Solat bila telah masuk waktunya, jenazah bila siap dikafankan dan berkahwin bila ada lelaki baik melamarnya.

Ikatan perkahwinan jalan terbaik dalam menyalurkan naluri manusia yang normal. Ketidak sediaan untuk berkahwin, tetapi dalam masa yang sama bergaul dan berikthilat antara lelaki dan perempuan merupakan lebuhraya yang menghumban ke lembah zina yang terkutuk dan terkeji.

Sepatutnya sebagai ustazah, kita lebih faham. Lelaki yang sanggup menyentuh wanita bukan muhrim bermakna lelaki itu adalah lelaki yang jahat dan tindak bertanggungjawab. Jauh sekali untuk berlaku jujur. Modal cinta dan bukti kasih sayang adalah jarum iblis yang cukup terkesan untuk wanita-wanita bodoh yang mendambakan kasih sayang di dalam asapan kentut najis yang menyelimuti akal budi yang tohor.

Dengan berzina dan merakam aksi seks bererti sudah melebihi batas kemanusian yang telah disebutkan oleh Al-Quran lebih teruk daripada binatang. Kewarasan akal yang singgah dan menghuni kepala lutut itulah yang telah banyak memesong manusia.

Apa pun kita mesti berlaku adil kepada individu ini. Mungkin mereka terainaya dan diperangkap. Atau kita bersangka baik kepada mereka bahawa mereka adalah suami isteri yang sah, dirakam secara curi di kawasan kediaman mereka.

Sehubungan dengan itu, kita mendesak pihak yang terbabit supaya menyiasat kes ini kerana ianya melibatkan maruah dan tsiqah guru agama, asrama sekolah, sekolah agama dan Kementerian Pelajaran Malaysia serta umat Islam. Sekiranya mereka tidak bersalah, mereka mesti dibersihkan dan sekiranya benar perlakuan mereka ini melampaui batas kebinatangan, hukumlah mereka supaya ianya menjadi pengajaran orang lain. Pastinya, keruh itu, kita halakan ke kuala, jernih itu kita hirup dan kita nikmati demi hidup yang sakinah dan abadi.

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008