Saturday, October 9, 2010

PAS Sabah Rakam Takziah Kepada Keluarga Datuk Edmund Chong

PAS Sabah merakamkan ucapan takziah dan turut bersedih diatas kemalangan maut yang menimpa Datuk Edmund Chong yang juga Ahli Parlimen Batu Sapi. Timbalan Pesuruhjaya I PAS Sabah yang juga Yang Dipertua PAS Batu Sapi, Tuan Hj Hamzah Abdullah mengharapkan keluarga Datuk Edmund Chong khususnya Datin Linda Tsen Thau Lin, dan empat anak bersabar di atas musibah ini. Beliau menganggap berita ini amat mengejutkan tetapi kita diajar untuk mempercayai dan menerima takdir yang melebihi kuasa yang ada pada manusia.



Datuk Edmund Chong Ket Wah, 54, terbunuh apabila motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kota Kinabalu kelmarin.

Kejadian berlaku pukul 11.40 pagi ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Kawasaki 750cc terbabit dalam kemalangan di Jalan Coastal Tanjung Aru-Kota Kinabalu, berhampiran Apartmen Graceville di sini.


Berikutan kemalangan itu, wakil rakyat tersebut tercampak kira-kira lima meter ke laluan bertentangan selepas dipercayai merempuh besi penghadang jalan.Edmund dikatakan mengalami kecederaan serius di muka dan kepala berikutan kemalangan itu.


PAS Sabah dan PAS Batu Sapi juga mengharapkan pihak-pihak yang berwajib memberi perhatian dan menjaga kebajikan keluarga Datuk Edmund di atas khidmat bakti beliau sebagai ahli parlimen Batu Sapi selama dua penggal semenjak 2004. selain itu mendiang juga merupakan Pengerusi Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan juga Bendahari Parti Bersatu Sabah (PBS) .

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008