Wednesday, April 20, 2011

Masjid Al-Ghafar Bantu Mangsa Kebakaran

Masjid tidak hanya dijadikan sebagai tempat untuk mendirikan sembahyang sahaja tetapi mesti lebih daripada itu. Ini sesuai dengan peranan masjid yang telah dijanakan oleh baginda Rasulullah yang menjadikan masjid sebagai tapak membina ummah melalui tautan ukhwah dan dakwah.

Menyedari akan hakikah ini, masjid Al-Ghafar Batu 8 Bukit Garam, telah menggunakan kutipan sekali jumaatnya untuk menghulurkan sumbangan sebagai tanda simpati dan meringankan beban sepasang suami isteri warga emas di Batu 5, Bukit Garam. Rumah mereka hangus dijilap api hanya dalam masa 7 minit sahaja.

Rombongan masjid Al-Ghafar diketuai oleh pengerusinya En Ahmad Amrin berserta empat orang ahlijawatankuasa termasuk pengerusi Biro Kebajikannya telah menziarahi keluarga tersebut dan melihat sisa-sisa arang di tapak rumah yang telah hangus.

Kehadiran ahlijawatankuasa masjid ini amat dialu-alukan oleh keluarga mangsa. Menurut salah seorang menantu mangsa, kehadiran dan ziarahi sebegini memperlihatkan rasa tanggungjawab masyarakat terhadap mereka yang ditimpa musibah. Beliau secara peribadi rasa terharu dan berterima kasih di atas ziarah dan sumbangan kepada mertuanya.

Beliau juga mengharapkan, masjid-masjid lain dapat mencontohi keprihatinan masjid Al-Ghafar yang turun dan mengambil tahu kepayahan masyarakat. Ini kerana, usaha sebegini bakal mendekatkan masyarakat dengan masjid dan masjid tidak hanya berfungsi sebagai tempat penyembahan sahaja.

Setakat ziarah jawatankuasa masjid, mangsa yang masih menumpang dirumah menantunya, hanya mendapat beberapa sumbangan kecil daripada badan kebajikan Kinabatangan dan orang perseorangan.

Menurut En Ahmad Amrin, pengerusi masjid Al-Ghafar, beliau berharap masjid Al-Ghafar dapat terus turun dan mengenali masyarakat terutama masyarakat sekitar. Masih ramai mereka yang terainaya dan kepayahan yang tidak mendapat perhatian dan bimbingan. Fungsi masjid mesti diperkasakan semula. Jemaah masjid mesti ditambahkan setiap hari.

" Sampai bilalah jemaah masjid yang tua-tua ini akan bertahan? Apa lagi masjid semakin sunyi apabila ustaz-ustaz yang kebanyakkan dari Semenanjung pulang bercuti.Sesuatu di luar kebiasaan mesti dilakukan" Keluh Ahmad yang bimbang tentang kehadiaran jemaah masjid.

Selain itu, Ahmad Amrin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penderma yang telah memudahkan pihak masjid Al-Ghafar melaksanakan aktiviti dakwah dan juga pengurusan serta pembangunan masjid.

Ahmad, Ust Baitulmakmur, Ust Fairul dan Abd Sani mendengar dengan sebak
Pengerusi Biro kebajikan, Abdul Sani menyampaikan sumbangan bagi pihak masjid Al-Ghafar

Keratan akbar yang melapor kebakaran tersebut. Ringkas dan tidak jelas. Itu jugakah yang berlaku kepada keprihatinan pemimpin masyarakat kepada mangsa
rumah yang menyimpan 1001 kenangan .. kini hanya menjadi taburan arang

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008