Sunday, April 24, 2011

Takaful Ikhlas kutip RM1 juta


WAN MOHD. FADZLULLAH (kanan) bersalaman dengan Abdul Rahim selepas memeterai memorandum persefahaman antara Takaful Ikhlas dengan Koperasi MBI di tapak MSAM 2011 di Stadium Indera Mulia, Ipoh semalam.


IPOH – Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. (Takaful Ikhlas) berjaya mengutip lebih RM1 juta nilai sumbangan pelanggan baru sepanjang empat hari penganjuran Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2011 yang berlangsung sejak Rabu lalu.


Naib Presiden Eksekutifnya, Wan Mohd. Fadzlullah Wan Abdullah berkata, pihaknya menyasarkan untuk mencapai jualan sekurang-kurangnya RM4 juta sepanjang penganjuran MSAM.


“Berdasarkan sambutan menggalakkan dan kehadiran pengunjung yang semakin ramai, kami yakin dapat mencapai sasaran itu dalam tempoh tiga hari terakhir ini.


“Antara produk yang mendapat permintaan ialah Takaful Simpanan Ikhlas iaitu pelan berbentuk pelaburan yang menyediakan dana simpanan, memberi pulangan ke atas pelaburan dan menawarkan perlindungan kepada peserta,” katanya kepada pemberita selepas memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara Takaful Ikhlas dengan Koperasi Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini semalam.


Beliau telah mewakili Takaful Ikhlas manakala Koperasi MBI diwakili Timbalan Yang Dipertuanya, Datuk Abdul Rahim Md. Ariff.


Wan Mohd. Fadzlullah berkata, selain berperanan sebagai Rakan Agama dalam penganjuran MSAM 2011, Takaful Ikhlas juga menganjurkan pelbagai program sokongan lain seperti pertandingan mengeja jawi dengan kerjasama Utusan Melayu (M) Bhd.

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008