Sunday, March 22, 2020

RAKYAT KELANTAN PATUT SABAR:SEMPADAN LAUT BUKAN HALANGAN BESAR

Kenyataan media ini merupakan siri ketiga yang dikeluarkan sebagai maklumbalas terhadap Ucapan YB Menteri Hal Ehwal Ekonomi sewaktu menggulung Perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat pada 30 Oktober 2019.

Sejarah Kelantan 

Kedaulatan Kelantan boleh dibuktikan melalui sejarah panjang penubuhannya yang lebih awal dari pembentukan Malaysia.

Secara ringkasnya Kelantan adalah sebuah entiti atau negara berdaulat yang mempunyai kerajaan tersendiri dengan sistem pemerintahan beraja bersama sempadan pemerintahan dan hukum kanun sendiri.

Pada 1499 Kelantan telah menjadi negeri di bawah naungan Kesultanan Melayu Melaka. Kemudian di bawah naungan Kerajaan Pattani Raya (1603) dan pada 1812 Kelantan menjadi negeri "Ufti Siam".

Sempadan Kelantan berubah apabila British dan Siam menandatangani Perjanjian Bangkok pada 1909. Siam menyerahkan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis kepada Britain dan Kelantan menjadi salah satu daripada Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu di bawah kekuasaan Residen British.

Kelantan menjadi sebahagian Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 dan mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Pada 16 September 1963, Kelantan menjadi salah satu daripada negeri-negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia.

Ini menunjukkan  Kelantan adalah sebuah negara yang berdaulat dengan sempadan darat dan laut sendiri sebelum menyertai Malaysia.

Sempadan Kelantan

Garis sempadan Kelantan dengan Thailand dan Vietnam adalah berpandukan garis sempadan Malaysia dengan negara-negara berkenaan. Garis sempadan Malaysia dengan dua negara berkenaan tidak dapat tidak mesti berasaskan garis sempadan Kelantan sebelum Kelantan menyertai Persekutuan Tanah Melayu pada 1948. Garis ini, kali terakhir berubah ialah apabila Thailand memasuki perjanjian dengan British (Perjanjian Bangkok 1909). Perjanjian ini menggariskan garis sempadan Kelantan dengan Siam baik di darat mahupun lautan.

Kawasan pertindihan Malaysia - Thailand diselesaikan melalui perjanjian persefahaman (MOU) pada 21 Februari 1979 dan perjanjian
Malaysia Thailand Join Development Area (MTJDA) pada 30 Mac 1990.

https://images.app.goo.gl/GngafAmpThDkpvTH9

Sempadan Kelantan - Vietnam juga merupakan sempadan Malaysia- Vietnam. Pertikaian tuntutan bertindih di kawasan sempadan iaitu blok PM 3 antara kedua-dua negara telah diselesaikan melalui  Commercial Area Agreement (CAA) pada 5 Jun 1992.

Sempadan Kelantan Terengganu

Kerajaan Kelantan dan Kerajaan Terengganu baharu sahaja memeterai perjanjian sempadan darat antara kedua-dua negeri pada 20 Jun 2019 yang melibatkan pengukuran jajaran sepanjang 198.7km.

Semasa majlis menandatangani perjanjian berkenaan, Dr Xavier Jayakumar, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli telah mengeluarkan kenyataan "dengan termeterainya perjanjian sempadan darat, Kelantan dan Terengganu boleh memulakan rundingan penentuan sempadan maritim antara negeri hingga ke Laut Wilayah dengan tumpukan kepada garis sempadan maritim".

Sempadan laut Kelantan dan Terengganu

Proses penentuan sempadan laut Kelantan Terengganu sebenarnya telah diusahakan melalui beberapa Mesyuarat Sempadan Laut Negeri Kelantan-Terengganu antaranya pada 6 Julai 1981 dan 6 Jun 1987. Peta cadangan sempadan laut kedua-dua negeri telahpun disiapkan.

Peta Sempadan 6 Jun 1987

Cadangan peta tersebut telahpun diserahkan secara rasminya kepada  Ketua Setiausaha Negara (KSN) bertarikh 20 Jun 1987.

Perlu diingatkan bahawa oleh kerana sebelum daripada ini masih belum wujud apa-apa perjanjian, triti atau dokumen, maka  proses pembentukan peta sempadan laut tersebut telah mengambil kira kesemua faktor yang diperlukan antaranya:

a) Perkara 2 Bahagian 1 Perlembagaan Malaysia
b) Article 15 - UN Convention on Law Of The Sea (UNCLOS)
c) Article 6(2) - Convention On Continental Shelf, Geneva 1958
d) Keputusan International Court of Justice.

Pengesyoran peta tersebut adalah selaras dengan prinsip yang digunapakai di negara ini dalam isu seumpamanya semenjak 1974 iaitu "equitable solution based upon proportionality".

Sepatutnya pihak Kerajaan Persekutuan melalui KSN, Peguam Negara, Unit Perancang Ekonomi serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) mengambil tindakan sewajarnya untuk menyelesaikan isu sempadan dan mengazetkannya agar semua perkara berbangkit berhubung dengannya dapat diselesaikan secara harmoni tanpa menunggu masa lebih 32 tahun (tetapi masih tidak diselesaikan).

Sedikit fakta yang penting berdasarkan keputusan bersama Kelantan-Terengganu tersebut adalah menunjukkan bahawa keluasan pelantar benua Kelantan 23, 407.5km persegi dan Terengganu pula berkeluasan 93,630km persegi.

Malangnya sempadan laut antara negeri-negeri di Malaysia sehingga kini masih tidak lagi digazet secara rasmi yang berpunca dari kelemahan pentadbiran Kerajaan Persekutuan lalu. Namun begitu ketiadaan gazet bukan bermakna hilangnya hak sesuatu negeri termasuk Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak. Agak "pelik bin ajaib" kenapa hanya Kelantan yang tidak dibayar Royalti atas faktor sempadan laut yang belum dimuktamadkan?

Sepatutnya pihak Petronas dan Kerajaan Persekutuan mengeluarkan kenyataan mengaku bahawa mereka telahpun  menggunakan peta sempadan tersebut (Peta Sempadan Kelantan - Terengganu 6 Jun 1987) bersama Peta Baharu Malaysia 1979 dan Peta Zon Maritim Malaysia.
Maka masalah pengiraan jumlah Royalti sepatutnya tidak timbul untuk kedua-dua negeri pengeluar minyak tersebut.

Malahan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan yang lain seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Laut Malaysia, Jambatan Perikanan Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan syarikat-syarikat petroleum turut menggunakan peta-peta tersebut dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi  kepentingan negara dan negeri-negeri.

Sempadan Laut Zon Maritim

Zon Maritim Malaysia bererti perairan laut dalam, laut wilayah, pentas benua, Zon Ekonomi Eksklusif dan perairan perikanan Malaysia serta termasuk ruang udara atas Zon.

https://images.app.goo.gl/e44MpAtAcT59w1oYA

Perairan milik Kelantan ditandakan sebagai DM10 di dalam Zon Maritim Malaysia. Ianya
adalah sama dengan peta cadangan sempadan Laut Kelantan - Terengganu Peta 6 Jun 1987.

Betulkah Sempadan Perairan Negeri Hanya 3 Batu Nautika?

Kelantan telah menolak Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) melalui persidangan Dewan Undangan Negeri pada 5 November 2019.

Ini menjadikan Kelantan bersama Sabah yang tidak terikat dengan had sempadan negeri hanya kepada tiga Batu Nautika (5.556km). Sempadan Laut Kelantan tidak terjejas iaitu sehingga ke sempadan antarabangsa.

Antara asas kukuh Kerajaan Negeri Kelantan dan Sabah menolak Akta Laut Wilayah tersebut adalah ianya jelas berniat untuk merampas hak milikan negeri ke atas kawasan perairan yang amat kaya dengan sumber alam terutamanya petroleum.

Segala hasil mahsul dari bumi (tanah) dan bawah tanah termasuk minyak serta gas adalah milik mutlak Kelantan sebagaimana yang didefinisikan oleh Kanun Tanah Negara.

Petikan dari jurnal akademik tulisan Zailanni Amit, Universiti Putra Malaysia Vol. 12, No. 2 (2017) 339 - 354, ISSN: 1823-884x "Tindakan kerajaan pusat (Akta 750) juga mempunyai implikasi ke atas sempadan negeri. Ianya jelas tidak sah mengikut Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan kerana mengubah sempadan perairan negeri yang hanya boleh dilakukan dengan persetujuan Majlis Raja-Raja".

Zon Ekonomi Ekslusif

Pada 25 April 1980, Malaysia telah mengisytiharkan kawasan Zon Ekonomi Ekslusif-nya dengan kelebaran 200 Batu Nautika dari garis-garis pangkal melalui pengistiharan P.U (A) 115.

Dari segi sejarah, pembayaran royalti minyak kepada kerajaan Terengganu telah dibuat walaupun pelantar cari gali minyaknya berada di luar dari tiga batu nautika. Pelantar minyak negeri Terengganu terletak 220 kilometer di perairan Laut China Selatan sedangkan pelantar minyak di Kelantan terletak
170 kilometer di Zon Ekonomi Eksklusif di Laut China Selatan.

Professor Madia Dato' Dr Mohammad Agus Yusoff, UKM (2009) dalam analisisnya menyatakan Kelantan mempunyai hak ke atas hasil petroleum yang dijumpai di wilayah perairannya kerana perjanjian UNCLOS 3 (United Nations Convention on the Law of the Sea) 1982 yang ditandatangani oleh Malaysia menetapkan negeri mempunyai hak ke atas Zon Ekonomi Eksklusif yang
menjangkau jarak sehingga 200 batu nautika. Peruntukan UNCLOS ini secara langsung
menolak hujah kerajaan pusat yang menyatakan kawasan tiga batu nautika sahaja dari kawasan pantai. Jika kerajaan pusat menggunakan Ordinan Kuasa Darurat 1969 yang menyatakan
kawasan perairan negeri adalah sejauh tiga batu nautika sahaja dari perairan pantai, hujah ini adalah mengelirukan kerana Ordinan Kuasa Darurat yang digubal pada tahun 1969 itu adalah khusus (isu keselamatan) kerana ketika itu Akta Kemajuan Petroleum 1974 masih tidak wujud.

Akta tersebut yang berkuatkuasa pada 1 Oktober 1974 telah membawa kepada tertubuhnya Petronas dan diserah hak petroleum yang didapati dan diperolehi di daratan atau luar pantai Malaysia kepada Petronas. Tidak dinyatakan sama sekali sama ada di dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974 tentang sekatan hak setiap negeri untuk menerima bayaran tunai bagi pengeluaran petroleum di luar pantainya berdasarkan kepada jarak dari pantai.

Semasa analisa tersebut dibuat, Ordinan Kuasa Darurat masih lagi berkuatkuasa, namun Ordinan tersebut telahpun dimansuhkan pada 2011.

Pemansuhan ini menyebabkan alasan pihak Kerajaan Persekutuan sebelum ini telah tertolak secara automatik dan menjadikan sempadan laut Kelantan serta negeri-negeri adalah sehingga ke sempadan antarabangsa.

Peta Malaysia 1979

Malaysia telah meratifikasikan Konvensyen Undang-Undang Laut 1982 pada 14 Oktober 1996 bagi mengemukakan garis-garis pangkal dan batas luar maritim sebagaimana Peta Baharu Malaysia 1979 kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Peta tersebut, menunjukkan bahawa sempadan perairan Kelantan bersama Thailand dan Vietnam adalah sempadan yang sama di antara Malaysia bersama Thailand dan Vietnam.

Sebagaimana sempadan perairan Sarawak bersama Indonesia dan Brunei. Begitu juga sempadan Sabah bersama Indonesia, Brunei dan Filipina. Sempadan perairan Sabah dan Sarawak merupakan sempadan perairan Malaysia bersama negara-negara jiran berkenaan.

Sebagaimana Sabah dan Sarawak layak menerima  royalti hasil daripada telaga-telaga minyak yang di dapati di dalam perairan negeri masing-masing, maka Kelantan juga sepatutnya dibayar Royalti yang sama.

Pihak kerajaan pusat (Kerajaan sebelum ini) menyatakan hak Sabah dan Sarawak
ke atas tuntutan royalti adalah tidak sama dengan hak Kelantan mempunyai implikasi yang besar dari perlembagaan iaitu dari segi kedudukan negeri-negeri dalam Persekutuan Malaysia. Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan Malaysia menyatakan Persekutuan Malaysia adalah terdiri daripada tiga belas buah negeri. Setiap negeri mempunyai hak yang sama dan telah dijamin oleh perlembagaan.  Dalam hal ini, perjanjian yang sama dan Akta Kemajuan Petroleum 1974 yang sama telah digunakan di seluruh negara. Sekiranya prinsip federalisme yang baik benar-benar dihayati, maka tidak wujud unsur diskriminasi kerajaan pusat terhadap kerajaan negeri disebabkan berbezanya fahaman politik.

Pengukuran Hidrografi

YB Menteri Hal Ehwal Ekonomi dalam ucapan penggulungan bajet 2020 turut menggesa agar isu sempadan laut Kelantan - Terengganu diselesaikan terlebih dahulu sebelum memutuskan pembayaran Royalti bagi sepuluh lagi telaga minyak yang terdapat di sempadan kedua-dua Negeri.

Pada pandangan kami Peta Cadangan Sempadan Laut Kelantan - Terengganu (6 Jun 1987) yang telah lengkap tersebut seharusnya digunakan. Tinggal lagi sedikit usaha untuk mengazetkannya sahaja. Proses ini sepatutnya tidak mengambil masa lama. Isu ini harus diselesaikan dalam tempoh tidak sampai setahun (2020).

Sekiranya pihak Kerajaan Persekutuan memerlukan proses pengukuran Hidrografi bagi mengenalpasti pelbagai perkara yang berkaitan (sempadan, kedudukan pelantar minyak, bilangan telaga dan lain-lain), maka proses tersebut juga boleh dilaksanakan segera dalam tempoh masa yang agak singkat.

Kini, Malaysia telahpun mempunyai kepakaran untuk melaksanakan kerja-kerja ukur di lautan. Sekarang terdapat seramai 17 orang Jurukur Tanah Berlesen (Professional) yang mempunyai pengiktirafan Internatioanal Hydrography Organisation-Sijil Hidrografi Kategori A (yang berpengkalan di Monaco). Ahli professional ini berkeupayaan melaksanakan tugasan tersebut dan boleh menandatangani peta sempadan laut di Malaysia kerana mereka layak membuat kerja kerja pemetaan sempadan laut negara.

Nah, apa lagi, rakyat di negeri-negeri pengeluar minyak dan seluruh Malaysia amat kesal dengan kelemahan pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang lalu kerana gagal menyelesaikan isu sepenting ini. Kepimpinan baharu seharusnya menyelesaikannya segera bagi merungkai segala pertikaian yang tidak berkesudahan walaupun kita telah merdeka lebih 62 tahun.

Komitmen Malaysia Baharu

Kini tanggungjawab menyelesaikan isu sempadan ini perlu diselesaikan oleh Kerajaan Persekutuan. Berdasarkan beberapa tindakan yang diambil, rakyat Kelantan yakin dengan komitmen yang ditunjukkan oleh pihak Kerajaan Persekutuan bahawa isu sempadan laut ini akan dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, YB Dr A Xavier Jayakumar berkata "Kerajaan negeri di Semenanjung diminta mempercepatkan dan memuktamadkan proses penadaan dan pengukuran sempadan negeri masing-masing. Ini adalah bagi memastikan segala tuntutan terhadap pertindihan kawasan dapat dielakkan pada masa akan datang, terutamanya di kawasan sempadan maritim, di mana terdapat kemungkinan sumber minyak dan gas baharu. Sampai sekarang tak ada penyelesaian sempadan maritim. Jadi kita minta negeri untuk mempercepatkan persetujuan, selepas JUPEM buat ukuran di kawasan maritim ini untuk diadakan ketentuan, kawasan ini masuk ke dalam negeri mana. Sebagai contoh, Kelantan dan Terengganu yang mana kita tahu kepentingan mereka adalah minyak dan gas. Sebab itu sempadan maritim ini perlu dipercepatkan proses dan ditentukan dua negeri ini dengan MOU, kalaulah ada kawasan baru kita dapati ada gas dan minyak, maka mereka boleh tentukan ia milik siapa,” Beliau mengeluarkan kenyataan tersebut semasa mengadakan sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Ke-74 Majlis Tanah Negara yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 3 Disember 2018.

Pihak kami berpendapat isu sempadan laut Kelantan - Terengganu paling penting tetapi paling mudah dan cepat untuk diselesaikan berikutan soal sempadan laut ini telahpun diselesaikan di peringkat kedua-dua Negeri. Pihak  JUPEM hanya perlu membuat semakan dan pengesahan sebelum MOU ditandatangan. Proses ini tidak sukar dan tidak perlu mengambil masa yang lama. Ianya sepatutnya boleh diselesaikan dalam tempoh suku pertama tahun 2020 (selewat-lewatnya Mac)

Sehubungan dengan itu, rakyat Kelantan patut bersabar kerana isu yang tinggal hanyalah soal sempadan perairan Kelantan-Terngganu. Berdasarkan hujah, fakta perundangan, sejarah dan pendangan akademik, pihak Pertubuhan R Kelantan (NGO Royalti) amat yakin isu ini amat mudah dan dapat diselesaikan segera. Seterusnya rakyat Kelantan akan menikmati  hasil perjuangan menuntut royalti petroleum dari perut bumi Kelantan yang amat kaya ini, insyaAllah Biiznillah.

Kini menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri dan Persekutuan mengadakan rundingan lanjut bagi merealisasikan  perjuangan suci ini.

Sekian, terima kasih.

*"Tuntut Royalti Sampai Dapat"*


Hj Nazri Deraman
Presiden R (NGO Royalti)
21 November 2019

Monday, March 16, 2020

AMALAN DOA HINDAR PENYAKIT



✅ اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْبَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الأَسْقَامِ

"Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari penyakit belang, gila, kusta, dan dari segala penyakit yang buruk/mengerikan lainnya"

✅ اللَّهمَّ عافِني في بَدَني، اللَّهمَّ عافِني في سَمْعي، اللَّهمَّ عافِني في بَصَري

"Ya Allah, sejahterakanlah tubuh badanku. Ya Allah, sejahterakanlah pendengaranku. Ya Allah, sejahterakanlah penglihatanku"

✅ بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

"Dengan nama Allah yang tidak akan memberikan apa-apa mudharat selama bersama dengan namaNya segala sesuatu di bumi mahupun di langit. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui"

✅ بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ وَلاَ حَوْلَ وَلا قُوَّةَ إلاَّ بِاللَّه

"Dengan namaMu Ya Allah. Aku bertawakkal kepadaNya. Tiada daya dan upaya kecuali dengan pertolongan Allah"

اللهم امين يارب العالمين

MENANGANI WABAK COVID 19

Minda Presiden PAS


Rasulullah S.A.W bersabda:

وعن أسامة بن زيد عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: إذا سَمِعْتُمْ بالطَّاعُونِ بأَرْضٍ فلا تَدْخُلُوها، وإذا وقَعَ بأَرْضٍ وأَنْتُمْ بها فلا تَخْرُجُوا مِنْها. (متفق عليه)

“Dari Usamah bin Zaid R.A dari Nabi S.A.W: “Apabila kamu mendengar berlakunya wabak taun di suatu negeri, maka janganlah kamu memasukinya. Dan apabila berlaku dalam negeri kamu berada di dalamnya, maka jangan kamu keluar.” (Muttafaqun ‘Alaih)

Rasulullah S.A.W bersabda lagi:

فعن عائشة رضي الله تعالى عنها، قالت: سَأَلْتُ رَسولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ عَنِ الطَّاعُونِ، فأخْبَرَنِي أنَّه عَذَابٌ يَبْعَثُهُ اللَّهُ علَى مَن يَشَاءُ، وأنَّ اللَّهَ جَعَلَهُ رَحْمَةً لِلْمُؤْمِنِينَ، ليسَ مِن أحَدٍ يَقَعُ الطَّاعُونُ، فَيَمْكُثُ في بَلَدِهِ صَابِرًا مُحْتَسِبًا، يَعْلَمُ أنَّه لا يُصِيبُهُ إلَّا ما كَتَبَ اللَّهُ له، إلَّا كانَ له مِثْلُ أجْرِ شَهِيدٍ. (رواه البخاري).

“Daripada ‘Aisyah R.A berkata: “Aku bertanyakan Rasulullah S.A.W berkenaan wabak taun, lalu Baginda memberitahu kepadaku bahawa itu adalah azab Allah yang diutuskan kepada sesiapa yang dikehendaki dan Allah menjadikannya rahmat kepada orang-orang yang beriman. Tiadalah seseorang yang ditimpa bencana wabak ini lalu dia tinggal dalam negerinya dengan sabar dan percaya kepada takdir Allah, tidaklah menimpanya melainkan mengikut ketentuan yang ditetapkan oleh Allah, nescaya dia mendapat kelebihan syahid.” (Riwayat Al-Bukhari)

Hadis-hadis ini hendaklah difahami mengikut Maqasid Syariah (tujuan dan hikmah hukum Allah) iaitu menolak segala perkara yang membahayakan kehidupan dengan wajib mencegahnya dan diharamkan memudaratkan diri sendiri dan orang lain dalam bermasyarakat. Termasuk mencegah daripada wabak penyakit berjangkit, seperti taun yang salah satu daripada contohnya.

Islam adalah petunjuk Allah SWT di sepanjang zaman yang tidak terikat dengan satu jenis dan nama sahaja, maka wabak Covid-19 adalah salah satu daripadanya.

Langkah perubatan seperti mencegah dan rawatan wajib dilakukan terhadap diri sendiri dan masyarakat seluruhnya, kerana manusia itu adalah bersaudara.

Hadis yang kedua menegaskan kepada mereka yang telah ditimpa penyakit itu atau berada dalam kawasannya hendaklah menghadapinya dengan beriman kepada Allah yang wajib bersifat rahmat walaupun ditimpa bencana, kerana itu juga ketetapan Allah untuk menguji keimanan manusia, maka semua ketentuanNya  tetap berhikmah yang memberi kelebihan kepada seseorang yang beriman, termasuk ujian bencana dan penyakit, sama ada kerana maksiat yang berlaku supaya manusia bertaubat atau kejahatan yang dilakukan oleh manusia sendiri yang tidak dicegah dan dibiarkan.

Adapun bagi orang yang tidak bersalah mendapat kelebihan bersabar, maka hilang dosanya. Orang yang berdosa pula menjadi insaf dan bertaubat, maka hilang juga dosanya.

Allah SWT berfirman memberikan amaran:

﴿ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ٤١﴾ 

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah Ar-Rum: 41)

Kini kita menyaksikan negara paling maju berlumba membangunkan teknologi dengan hawa nafsu tanpa peduli terhadap batas kemanusiaan sehingga melampau dalam semua perkara bermula daripada makanan, pakaian, bangunan, perhubungan, teknologi maklumat, sehinggalah persenjataan.

Namun usaha wajib dilakukan bagi mencegah kejahatan dan merawat penyakit tanpa menolak takdir Allah SWT yang mewajibkan manusia menggunakan akalnya dengan insaf.

Khalifah Umar bin Al-Khattab R.A membatalkan hasrat melawat Negeri Syam yang ditimpa wabak taun, memberikan jawapan kepada Abu Ubaidah R.A yang berada di Syam dalam kawasan wabak taun: “Adakah kamu melarikan diri daripada takdir Allah?”. Umar membalas: “Menyelamatkan daripada wabak yang ditakdir Allah, menuju kepada takdir Allah yang menyelamatkan daripada wabak dengan takdirnya juga.”

Islam menegaskan dalam kesungguhan menghadapi wabak supaya mencegah dan merawat, sehingga para ulama’ menulis di dalam kitab feqah semua mazhab supaya membaca Qunut Nazilah (doa meminta perlindungan daripada Allah) dalam solat, khutbah dan lain-lain apabila berlakunya bencana wabak. 
 
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 20 Rajab 1440 / 15 Mac 2020

R GERAK MASSA TUNTUT ROLAYTI PETROLIUM

KOTA BHARU: Pertubuhan Royalti (R) Kelantan sekali lagi akan mengerakkan massa bagi menyokong tuntutan kerajaan negeri untuk mendapatkan royalti petroleum daripada kerajaan persekutuan.
Presidennya, Nazri Deraman berkata, program yang dirancang tahun ini termasuk larian untuk royalti dan ‘fun ride for royalti’.
Katanya program itu diadakan dengan kerjasama bersama agensi kerajaan negeri termasuk Urus Setia Belia dan Sukan (U-bes).
“Kerajaan negeri menyambut baik cadangan kami untuk mengadakan kerjasama dengan Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO untuk menganjurkan beberapa program melalui U-Bes,” katanya selepas mengunjungi hormat anggota Exco Ustaz Wan Roslan Wan Hamat di Mabna MBI semalam.
Seramai tujuh orang Ahli Jawatankuasa Royalti Kelantan yang baru dipilih pada tahun lepas turut menyertai pertemuan tersebut. – HARAKAHDAILY 14/1/2020

Sunday, March 15, 2020

ROYALTI : HARAPAN KEPADA MENTERI- MENTERI ASAL KELANTAN

Oleh : Dato Nazri Deraman
           Presiden R

Kelantan ibarat mendapat 'durian runtuh' malahan lebih tepat lagi, kami mendapat "durian runtuh jenis musang king yang telah masak" apabila lapan ahli Parlimen dan dua senator dari negeri ini menyertai barisan Kabinet baharu kerajaan Persekutuan yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 9 Mac yang lalu.

zahirkan hasrat seusai mesyuarat R

Wakil rakyat Kelantan tersebut diberikan amanah sebagai Menteri Pendidikan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri - Ekonomi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri - Parlimen dan Undang-undang, Menteri Alam Sekitar dan Menteri Wilayah Persekutuan.

Manakala jawatan Timbalan  Menteri yang diwakili oleh pemimpin dari Kelantan pula adalah  Timbalan Menteri Pertahanan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri - Hal Ehwal Agama, Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan dan Timbalan Menteri Alam Sekitar.

Selain itu, Timbalan Menteri Luar juga merupakan "Ore Kelate" walaupun mewakili kawasan Parlimen di luar Kelantan (Ahli Parlimen Bandar Tun Razak).

Kesemuanya sebelas pemimpin dari Kelantan sebagai ahli kabinet pastinya menjadi harapan besar kepada rakyat Kelantan untuk merasai suatu perubahan besar dalam sejarah.


Negeri Termiskin

Fokus kini terarah kepada isu pembangunan di Kelantan yang didakwa sebagai antara negeri termiskin di negara ini.

Menurut YB Dr Mohd Radzi Md Jidin, bekas Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, yang kini telah berubah portfolio sebagai Menteri Pendidikan.

"Kelantan dicatatkan sebagai negeri yang mempunyai statistik tertinggi miskinnya antara negeri di Semenanjung Malaysia. Merupakan negeri ketiga tertinggi statistik kemiskinan selepas Sabah dan Sarawak.

Statistik kemiskinan bagi bulan Jun 2019 menunjukkan miskin tegar di Kelantan adalah seramai 6,218 orang, manakala miskin adalah seramai 31,217 orang," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Kongres Sosioekonomi Kelantan 2019 anjuran Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Kota Bharu pada 27 ogos 2019.

Kini menjadi tanggung jawap besar barisan kepimpinan kerajaan Perikatan Nasional terutama sekali dari kalangan "Menteri Ore Kelate" untuk bersama Kerajaan Negeri mengubah taraf hidup rakyat Kelantan kepada yang lebih baik.


Bukan Lagi Negeri Pembangkang

Kelantan selama ini umpama dipinggirkan dari pelbagai aspek terutama apabila rakyat Kelantan memilih untuk tidak sehaluan dari sudut politik dengan parti pemeritah di peringkat Pusat semenjak diperintah oleh PAS pada 1990 (hampir 30 tahun) dan 1959-1978 (selama 19 tahun termasuk semasa tempoh Pas memerintah Kelantan pada 1973-1978  semasa dalam parti Perikatan).

Justeru, pelantikan lima menteri dan lima timbalan menteri diharap dapat menjadi titik tolak terhadap kerancakan semula pembangunan negeri Kelantan dalam pelbagai sektor sosioekonomi bagi menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan untuk rakyat negeri itu.

Kini, PAS yang mentadbir Kelantan
telah menjadi sebahagian jentera pentadbiran Kerajaan Pusat, malah melakar sejarah tersendiri bagi Kelantan apabila tidak lagi menjadi negeri pembangkang selepas 30 tahun.

Situasi itu dianggap menjadi mimpi indah atau umpama "durian Musang King Runtuh" buat rakyat Kelantan memandangkan negeri ini sudah sekian lama dianaktirikan.


Perjuangan Royalti

Tuntutan royalti minyak yang diperjuangkan sekian lama oleh rakyat Kelantan semakin nampak sinarnya. Bunga harapan rakyat Kelantan semakin kembang dan pastinya kepada Menteri dan timbalan Menteri inilah pokok sandarannya.

Situasi kini dikira sebagai peluang terbaik untuk pihak Kerajaan Persekutuan memberikan hak royalti petrolium rakyat Kelantan yang tergendala dibawah dua kerajaan Persekutuan sebelum ini.

Harapan rakyat Kelantan agar mereka tidak lagi dikecewakan dengan
pelbagai alasan ciptaan sebagaimana di bawah Kerajaan Persekutuan sebelum ini.

Sebenarnya tuntutan royalti ini mempunyai asas yang amat kukuh dari sudut perundangan. Perjanjian royalti yang ditandatangani oleh Kerajaan Negeri dan Petronas bertarikh 9 Mei 1974 dan Akta Kemajuan Petroleum 1974 seharusnya diikuti sepenuhnya sebagaimana layanan yang telah diberikan kepada negeri-negeri pengeluar minyak yang lain.

Persoalan perbezaan politik dan negeri pembangkang sudah tidak sesuai lagi untuk terus digunakan. Rakyat Kelantan amat yakin, sekiranya fakta perundangan digunakan, Kelantan pasti akan dibayar royalti tersebut.

Kini rakyat Kelantan tidak mampu lagi untuk kecewa dan dikecewakan lagi.

Ahli Kabinet yang berasal dari Kelantan khususnya amat diharapkan dan diyakini mampu meneruskan usaha-usaha yang baik yang telah diambil oleh Kerajaan Persekutuan sebelum ini. Kami yakin usaha-usaha tersebut telah berada di peringkat akhir dan hanya menunggu untuk dibuat keputusan dan dilaksanakan sahaja.

R Kelantan yakin dengan keupayaan, pengetahuan dan pengalaman yang ada pada menteri kabinet sekarang kerana ada antara mereka sebelum ini adalah pembahas utama isu yang berkaitan tuntutan royalti semasa sesi perbahasan di Parlimen (dari sisi dan kerusi pembangkang), kini mereka semua adalah pihak yang membuat keputusan mengenai tuntutan royalti tersebut.

Kesempatan ini pastinya akan dan telah diambil oleh kepimpinan kerajaan Negeri untuk memudahkan dan mempercepatkan proses sehingga pembayaran royalti menjadi realiti. Malah Pihak R sendiri sentiasa bersedia untuk memberi kerjasama bagi memastikan tuntutan royalti ini ditunaikan.


Tahniah dan Harapan

Ucapan tahniah dan harapan dari aktivis royalti dan seluruh rakyat Kelantan untuk barisan kepimpinan Kerajaan Persekutuan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama saf kepimpinan kabinet dari Kelantan. Sesungguhnya kami amat bersyukur dan gembira dengan kepercayaan yang diberikan kepada wakil-wakil dari Kelantan tersebut.

Kami semua doakan agar Allah memberikan kekuatan, petunjuk dan hidayah dalam menjalankan amanah besar sebagai kepimpinan negara.

Seluruh rakyat Kelantan dipohon untuk terus berdoa untuk kejayaan perjuangan menuntut royalti dan doa agar negara kita dapat mengatasi ujian besar serangan Covid-19 sebaik mungkin dan dapat keluar dari situasi bahaya ini dalam masa terdekat, insyaAllah, Biiznillah.


*"Bayar Royalti; Kelantan Maju Negara Sejahtera"*

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008