Monday, October 20, 2008

Program Bela Melayu, Skim Cepat Kaya atau Cepat…..???

Sekadar cetusan rasa
Assalammualaikum….

Wang bukanlah segala-galanya tetapi segala-galanya perlukan wang, ungkapan ini sering kedengaran dan kerap menjadi hujah bagi mereka yang ingin menjana wang. Jana dengan cepat supaya kita jadi senang, kaya dan boleh membantu mereka yang memerlukan. Niat dan tujuan itu murni tetapi jalannya kerap tersasar.

Akhir-akhir ini, kita kerap dimomokan dengan kekayaan segera dengan menyertai beberapa skim. Hanya dengan mengeluarkan modal tertentu dan dapatkan downline...kita akan dapat gandaan wang itu.Skim demi skim akan muncul. Bahkan luka masih berdarah dengan skim yang sebelum ini, datang lagi skim baru. Yang ini lain lagi kononnya. Peliknya,mereka tidak serik menyertainya dan tidak malu untuk mengajak orang ramai, termasuk mereka yang sudah beberapa kali tertipu atau ter...rugi...Alasannya senang...tiada rezeki kita... dah takdir....Mungkin lain kali ada.Sepatutnya umat Islam tidak akan masuk dilubang yang sama dua kali.

Persoalan yang timbul di kepala ana, kenapa pelabur ini begitu yakin sedangkan:-
1. Kita tidak kenal secara jelas empunya penganjur dan operasi perniagaanya meragukan
2. Bank dan syarikat yang besar dan berdaftar secara sah sekalipun hanya memberi keuntungan sekitar 4-8 peratus sahaja tetapi syarikat dan skim nyamuk ini boleh beri jauh lebih dari itu. Tidak pelik kah??
3. Mereka yang tidak arif dalam seluk beluk perniagaan tersebut tetapi sanggup melabur dengan banyak hatta sanggup membuat pinjaman bank untuk diserahkan kepada orang yang membuat kutipan.
4. Untuk kutip derma jogathon dan program amal lain pun memerlukan permit polis. Derma RM10.00 dah rasa banyak. Kenapa mereka yang tiada sebarang kad kuasa yang menyakinkan ini,sanggup diberikan ratusan RM...ribuan ringgit.Apa jaminan pemulangan dan keselamatan deposite itu?
5. Setakat ini, skim yang disertai banyak membawa rebah jika dibandingkan mereka yang jadi jutawan.(mungkin ada segelintir yang terawal)
5. Kontak perniagaan syarikat yang tidak jelas(gharar), boleh dipercayai oleh orang berpendidikan tinggi bahkan ahli agama
6. Akal yang cetek kadang-kadang lebih berfungsi memikirkan munasabah skim itu, kenapa orang yang berpendidikan tinggi juga boleh terlibat.

Mungkin juga...mungkinlah pendekatan ini berkesan...
Menggunakan sentimen agama, bangsa, lokaliti, jemaah, kebajikan dan perkara yang berkait rapat dengan seseorang itu berkesan.
Pendekatan bertemu one by one atau face to face dengan mendahului ahli keluarga, sahabat handai, Al-Malk(orang yang berpengaruh) menyebabkan individu itu menjadi serba salah dan akhirnya menyertai walaupun masih ragu-ragu.
Penglibatan ahli agama (ustaz-ustaz) dan golongan profesional sebagai promoter atau orang perantaraan dapat menyakinkan individu tersebut.
Janji pulangan yang besar dengan modal yang sedikit, kerja yang mudah, dapat mengabui kewarasan aqal seseorang.
Kesungguhan, keghairahan dan keyakinan yang ditunjukkan oleh upline dengan memakai kereta mewah, pakaian yang segak dan cara berbelanja berjaya mempengaruhi pelabur

Ana teringat semasa di bangku sekolah rendah dahulu...selalu ana berbangga sedapnya makan nasi dengan budu (makanan kegemaran rakyat Kelantan). Suatu hari ana disekeh(diketuk) kepala dengan kuat oleh ustaz. Macam mahu pecah kepala. Mutar itik. Bila di tanya....Ustaz menjelaskan buruknya engkau...membesarkan perkara yang makruh. Tetapi, dalam bab melabur skim ini,sebahagian besarnya subhat,gharar dan meragukan. Kenapa disebarkan dengan yakin dan bersungguh-sungguh sehingga sanggup mengelilingi satu semenanjung atau Bornea?

Ana seronok menerima kawan dari jauh datang, yang dah lama berpisah. Dia datang bertandang ke rumah bersama kawan, kadang-kadang bersama keluarga. Malangnya keseronokkan itu sedikit terjejas bilamana kehadiran mereka terpaksa ana bayar dengan berat hati. Bukan setakat dengan duit tetapi juga dengan tekanan kerja untuk mempengaruhi kawan-kawan sekitar. Ada juga kawan tidak mahu datang ke rumah, katanya lebih selesa berbincang di warung...penting untuk meningkatkan ekonomi ummah...Bila masa membayar.....pura-pura sibuk. Bukan niat mengungkit.... tetapi apa sudah jadi dengan nilai persaudaraan, ukhwah dan ketelusan dalam persahabatan. Ziarah sudah bertukar niat.

Ini sekadar luahan rasa, harap sahabat tidak terasa dengan ungkapan-ungkapan di atas.Yakinlah... sahabat yang baik ialah sahabat yang sanggup menegur sahabatnya yang melakukan kesilapan. Bukan sahabat yang menyusahkan dan membawa rebah.Kita sudah keluarga yang perlu dibela dan perlu berusaha untuk menjamin masa depan mereka. Jangan kita bawa sahabat dengan pelaburan yang tak pasti,yang akhirnya menyusahkan mereka dan keluarga mereka. Tidak kasihankah kita,tidak rasa bersalahkah kita, kepada kawan kita, anak isteri mereka, ibubapa serta sahabat handai mereka. Mereka ikut kerana kita...Tak malukah kita untuk berhadapan dengan keluarga mereka. Mungkin wang yang dilabur..leburkan itu, wang simpanan masa depan mereka... wang awasan keluarga mereka, wang tabungan anak-anak mereka, wang ibubapa mereka, wang yang mereka pinjam dan dikenakan interest.

Mudah-mudahan, Allah menyelamatkan kita daripada terlibat dan menyebar perkara yang boleh menyusahkan kawan-kawan dan perkara yang tidak jelas disisi agama. Banyak lagi dosa lain yang kita tanggung. Kita insan yang lemah, insan yang selalu melakukan kesilapan,baik secara sengaja ataupun tidak. Kita juga insan yang mudah terpedaya dan memperdayakan.Budaya tegur menegur dan berlapang dada, perlu kita perkasakan supaya hasrat kita untuk membantu Melayu, Islam,jemaah dan kebajikan beroleh kejayaan.

Saturday, October 18, 2008

Pilihanraya Kampus,Kutiplah Mutiara itu.....

Rasa bangga,puas hati dan bermacam rasa bila ana melayari blog-blog anak didik yang sedang berada di kampus. Kedudukan dan peranan mereka dalam pilihanraya kampus yang akan berlangsung pada 21 Oktober ini cukup membanggakan. SMS demi sms yang ana terima minta doakan ketabahan, istiqamah dan kejayaan mereka dalam pilihanraya kampus kali ini. Ada yang jadi calon dan ramai yang menjadi pendokong setia. Tidak kisahlah apa posisi yang antum pikul,paling penting yang antum lakukan adalah kerana Allah dan menepati kehendak syariat Allah.

Ana faham sekarang antum bergelut dengan suasana kempen pilhanraya kampus yang akan diadakan pada 21 oktober ini. UPSI khususnya yang akan menjadi kampus pertama mengadakan pilihanraya. Apa lagi dengan penggunaan sistem e-voting yang belum menjadi kebiasaan kepada calon dan juga pengundi. Tidak mustahil sistem ini boleh dimanipulasi oleh mereka yang berkepentingan. Apa pun, yakinlah dengan pertolongan Allah. Kita berusaha dengan berperancangan, keputusannya kita serah kepada Allah. Dan yakinlah segalanya ada hikmat disebaliknya.

Ingatlah tugas kepimpinan adalah tugas yang penting dan berat. Tugas ini akan dipersoalkan oleh Allah SWT. Persoalannya adakah kita memimpin ke arah Allah atau kepada syaitan.Bukan itu sahaja,kita juga akan dipersoalkan sekiranya kita membiarkan atau menyerahkan kepimpinan kepada orang yang tidak selayaknya,yakni membawa kepimpinan mereka kepada kedurjanaa.

Selain itu,sekiranya diberi kemenangan oleh Allah. Itu adalah bebanan, bukan kebanggaan. Untuk berkhidmat bukan berhormat. Kabinet yang dibentuk hanyalah bayangan dan medan latihan sahaja. Untuk lesen L. Hakikat kepimpinan sebenar masih jauh. Jangan rasa bangga diri dan sukar mengalah. Sabda nabi yang diriwayatkan oleh At-Tabrani:
ثلتث مهلكات: شح مطاع, وهوي متبع,وأعجاب المرء بنفسه
Maksudnya: Ada tiga perkara yang merosakkan,bakhil yang ditaati, hawa nafsu yang diikuti dan bangga seseorang dengan dirinya.

Biasa juga berlaku,bila leka dengan politik dan bangga dengan kedudukan yang ada,atas alasan itu harapan pengundi dan warga kampus, pimpinan larut dalam suasana yang akhirnya meninggalkan tarbiyyah dan akademik yang menjadi tugasan yang utama.

Selamat berjuang, semoga berjaya menyebar subur Islam di kampus. Kutiplah sebanyak mungkin mutiara emas kampus untuk dibawa dan disemai dibumi bawah Bayu ini. Kalian adalah harapan dan kebanggan kami.
Sekadar kenangan,semasa terlibat dalam kepimpinan kampus, ana sedut nostalgia semasa terlibat dalam politik kampus di Universiti Malaya akhir 90-an. Rujuk laman kempen ini . http://members.tripod.com/kepena20/files/text/sorotan.htm

Monday, October 13, 2008

Warkah Untuk Cikgu Suhainizam

Sudah hampir setahun kita dipisahkan oleh Laut Cina Selatan. Kembalinya kau ke negeri asal meninggalkan aku dan kawan-kawan lama yang masih setia dengan daerah Kinabatangan. Menjalani tugas rutin harian seperti biasa. Khidmat aku dengan jabatan dan tugas dengan masyarakat tetap diteruskan. Kehilangan kawan – kawan sepertimu, Nizam Humaira, Arizan Sumaiyah tetap dirasakan. Namun demikian, takdir mesti diterima. Kenangan, kadang-kadang menganggu kosentrasi harian. Sengaja aku cuba melupakan kenangan lama supaya aku gagah menempuh musafir di negeri orang. Jiwa mana yang tidak terasa untuk pulang ke tempat asal. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik lagi di negeri sendiri. Akan tetapi.. akan tetap kugengam kalimah, disitu bumi di pijak di situ Islam dijunjung.

Zam,
Kita bersama sehingga kita berpisah di KLIA pada Disember 2007. Ini bermakna aku adalah orang yang terakhir di Kinabatangan yang berpisah denganmu. Sebelum itu, kita sama-sama mengawas PMR di SMK Sukau. Itu antara tugasan terakhir kita bersama. Tatapilah gamabar kenangan kita di Sukau.

Zam,

Maafkan aku kerana kerap tidak membalas SMS mu… tentang claim PMR tahun lepas, janganlah kau bimbang…belum dapat… dah kerap kutelefon KK. Hanya minta no telefon, no IC dan janji akan dihubungi kemudian….tidak juga dihubungi. Sekarang aku mengawas lagi PMR di SMK Paris. Apalah nasib kali ini..Tuhan sahaja yang tahu. Itu aje coretan malam peperiksaan PMR daruku buatmu Zam.. Selamat berbahagia di kampong halaman. Jangan lupa doakan juga untuk kami, kami tetap bercita-cita untuk pulang

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008