Thursday, April 8, 2010

Sukaneka PASTI Zon Sandakan Ke 10 Gamit Kemeriahan

SANDAKAN : Setelah sekian lama, padang majlis Bandaran Sandakan menjadi medan anak-anak PASTI Zon Sandakan menampilkan bakat dan keupayaan mereka dalam bidang sukan, kini Komplek Sukan Sandakan menjadikan sukaneka lebih meriah berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Kompleks Sukan Sandakan dipenuhi dengan pelajar PASTI, ibubapa dan para penjual yang menyertai dan menyaksikan sukaneka PASTI yang melibatkan 13 buah PASTI dari Sandakan dan Kinabatangan. Berbagai acara telah diatur oleh pihak penganjur yang melibatkan penyertaan pelajar PASTI, ibubapa dan orang ramai. 7 tahun ke atas disediakan pertandingan melukis dan mewarna, manakala untuk golongan dewasa pula mereka dilibatkan dalam pertandingan menganyam ketupat, menendang bola menggunakan tumit, menimbang takraw dan pertandingan tarik tali.

Pertandingan tarik tali dewasa telah dimenangi oleh pasukan ibubapa PASTI Darul Ulum, Kinabatangan manakala pelajar PASTI Darul Ulum muncul naib johan pertandingan tarik tali setelah tewas kepada PASTI Saidina Osman.Tuan Hj Hamzah Abdullah, Timbalan pesuruhjaya PAS Sabah ketika merasmikan sukaneka PASTI Sandakan ke 10 mengucapkan terima kasih atas sokongan ibubapa yang sanggup hadir atas usaha sendiri untuk menjayakan sukaneka PASTI kali ini.

Menurut beliau lagi, sukaneka dan PASTI itu sendiri telah berjaya menyatukan pelajar dan ibubapa sekalipun berbeza latar belakang, sosial ekonomi, politik dan sebagainya.

" Program sukan yang mengutamakan budaya Islam patut diterapkan sejak rebun(kanak-kanak pra sekolah) lagi bagi membuktikan Islam agama yang lengkap dan menyeluruh. Penekanan dan pembudayaan diharapkan akan terbawa-bawa hingga ke sekolah rendah ".

Sementara itu sdr Haris Bahar selaku Pengarah Program mengharapkan sukeneka ini akan dapat mengukuhkan ukhwwah dan jalinan saliturrahim yang erat antara seluruh warga PASTI. Program ini juga diharapkan dapat dimunafaatkan demi menjana kualiti diri anak-anak PASTI.

perarakan kontigen-kontigen PASTI-PASTI Sandakan
Warna hijau Tunas pelapis pejuang
selesai pembarisan dan tabik hormat
sebahagian daripada penonton dan ibubapa
sedikit kalut bila hujan turut mengiringi kemeriahan
mempersiapkan pasukan memburu juara
Sebahagian daripada kontigen KinabatanganMenjaringkan Gol menggunakan tumit, 39 orang peserta, hanya 4 orang yang berjaya

Acara membawa bola ping pong dalam sudu
wakil juara tarik tali

Friday, April 2, 2010

Ijtima' Unit Kebajikan Profesional (UKP) Sabah

Di Salin daripada http://aburedha.blogspot.com

Kota Kinabalu, 28 Ogos - Alhamdulillah Ijtima' UKP Sabah telah berjaya diadakan di Surau An Nur berhampiran bandar Kota Kinabalu dengan dihadiri hampir 20 orang ahli alumni dari sekitar Sabah dan Labuan.


Majlis Ijtimak ini diadakan bagi melancarkan Jawatankuasa UKP Sabah di samping mengeratkan hubungan silaturahim di antara alumni UKP.


Majlis turut diserikan dengan kehadiran YB Ustaz Nasir Zakaria dan YB Ust Mat Husain serta Sdr Radzi, Presiden UKP dari Semenanjung. Majlis yang dipengerusikan oleh Ust Mahisan itu bermula jam 4.00 petang dan diakhiri dengan jamuan bersama Pemuda PAS Sabah.


Antara yang hadir Ust Zulwaqar (T32), Ust Murtadha (T36), Hamsah Dyama (T26), Ust Mahisan (T28), Ust Abu Bakar (T30), Ust Wan Mohd Amran (T24), Ust Mohd Ali Jaafar (T27), Ust Zaidi Mustaffa (T19) Ust Yazid (T23), Ust Zulkifli Aling (T24) dan Ust Zulhilmi Haron (T28).

Antara Muslimat yang hadir Siti Khairiah Parmin (B13), Zaihan Hairuziani (B14), Norazlina Abdullah, Khairul Bariah (B16), Ferizah Ibrahim (B19), Rohana (B20) dan Dayang Hairani (isteri Hamsah) dan Masriwatty.

Meskipun senarai asal hampir 50 orang akan hadir namun, atas masalah2 yang tidak dapat dielakkan. Majlis tetap berjalan dengan lancar dan ceria dengan ucapan dan tasji' dari kedua-dua YB untuk UKP Sabah bergerak untuk manfaat ahli-ahli UKP dan jemaah di Sabah.

Diakhir pertemuan, majlis telah bersetuju membentuk jawatankuasa penaja UKP Sabah yang diketuai oleh Ust Zaidi, Ust Yazid (Timbalan), Ust Murtadha (Setiausaha) dan Ust Zulhilmi (Bendahari).


UKP Sabah berazam untuk mengumpulkan lebih ramai ahli-ahli UKP di sekitar Sabah di masa akan datang untuk mengeratkan lagi ikatan silaturahim di samping membantu merancakkan aktiviti kerja Islam di sekitar negeri Bawah Bayu

Thursday, April 1, 2010

Blog: Ramai Menjadi Tidak Beradab

Kebebasan menulis untuk menyatakan pandangan, luahan perasaan, kritikan dan sebagainya yang dihidangkan melalui blog amat bermakna dan mudah untuk disebarluaskan. Kemudahan ini ada pro dan kontranya. Kontra apabila media baru ini digunakan sewenang-wenangnya dengan membelakangkan etika penulisan dan adab serta akhlak Islamiah. Apa lagi bagi mereka yang mengabungkan diri dalam jemaah Islam yang bertekad untuk menjalankan kerja dakwah serta menegakkan kesyumulan Islam dalam kehidupan diri dan masyarakat.

Hj Zulkifli bersama Timbalannya Hj Kathiran berhenti rehat ketika menyelusuri Jalan Kalabakan- Sepulut- keningau

Profesor Dr Firdaus Abdullah pernah menyebut, kita hendaklah berfikir sebelum berkata dan tidak semestinya berkata setelah berfikir. Apa yang penulis faham daripada kata-kata ini, tidak semua perkara kita perlu luahkan. Kita patut menulis setelah kita memikirkan perkara itu bermunafaat untuk ummah.

Apa yang hendak diutarakan disini, sejak akhir-akhir ini, media baru ataupun blog banyak digunakan untuk menyerang pimpinan terutama pimpinan gerakan Islam. Serangan dan fakta yang diberikan kebanyakkannya tersasar dan tanpa bukti yang kukuh. Tindakan ini mencemar nama baik kepimpinan gerakan Islam dan melambatkan kejayaan gerakan Islam menegakkan roh dan jiwa Islam dalam masyarakat.

Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Hj Zulkifli Muhammad@Omar telah melahirkan kekecewaannya di atas sikap segelintir blogger yang menyerang pimpinan dan keputusan pimpinan jemaah dengan hanya berbekalkan hujah akal sedangkan keputusan pimpinan berdasarkan keputusan syura setelah menimbangkan beberapa fakta dan bukti yang berautoriti.

Beliau juga melahirkan kebimbangan dengan senario blogger yang terlalu bersikap "merdeka" dengan menyerang semua orang yang difikirkan tidak betul disekeliling mereka. Bahkan sanggup menyerang orang yang mereka sanjung sebelum ini. Senario ini agak berbahaya sekiranya tidak dibendung dan dipupuk adab-adab berjemaah dan akhlak Islamiah itu sendiri.

Kenyataan memohon maaf kadangkala tidak cukup untuk membersihkan kembali lumuran najis noda yang telah dilakukan oleh penulisan sebelum ini. Sebaiknya penulisan itu biarlah atas dasar membela kepentingan ummah dan mengenepikan kepentingan peribadi atau puak tertentu. Jauh sekali untuk melemparkan sangkaan jahat terhadap pejuang-pejuang kebenaran yang tahap tsiqah dan pengorban mereka cukup banyak kepada Islam dan Keadilan.

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008