Wednesday, February 24, 2010

Takaful IKHLAS terima anugerah Penyedia Takaful Terbaik


Takaful Ikhlas Sdn Bhd (Takaful Ikhlas) berjaya merangkul anugerah Penyedia Takaful Terbaik dalam Anugerah Kewangan Islam 2010 anjuran majalah Euromoney (Euromoney Islamic Finance Awards 2010), di London, baru-baru ini.



Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato Syed Moheeb Syed Kamarulzaman berkata, anugerah itu membuktikan komitmen syarikat sebagai penyedia utama perkhidmatan perlindungan kewangan yang menawarkan pelbagai produk perlindungan inovatif berasaskan prinsip dan nilai Islam.

Menurutnya, anugerah itu secara tidak langsung meletakkan jenama Takaful Ikhlas di posisi kemuncak membabitkan perkhidmatan perlindungan kewangan yang berasaskan prinsip dan nilai Islam.

“Jenama Takaful Ikhlas mempunyai matlamat, destinasi dan imej tersendiri yang bukan mudah bagi syarikat lain dalam industri sama mengadaptasinya.”

“Kejayaan ini tidak akan di capai tanpa sokongan dari pihak kerajaan, para pelanggan, pihak atasan, kakitangan syarikat, semangat kerja berkumpulan dan kesungguhan serta dedikasi dalam etika kerja dari setiap anggota,”katanya selepas menerima anugerah itu.

Anugerah Kewangan Islam Euromoney 2010 (Euromoney Islamic Finance Awards 2010) disifatkan sebagai penghargaan tertinggi dalam kalender kewangan Islam dan pengiktirafan tahunan bagi prestasi luar biasa, kualiti, perkhidmatan dan inovasi dalam sektor berkenaan.

Syed Moheeb berkata, syarikat akan terus gigih berusaha dalam menawarkan produk-produk inovatif dan perkhidmatan yang berkualiti kepada pelanggan kerana pelanggan adalah keutamaan Takaful.

Menurutnya, Takaful Ikhlas akan terus gigih berusaha dalam menawarkan produk-produk inovatif dan perkhidmatan berkualiti serta mempunyai keazaman berterusan untuk membina reputasi syarikat di samping menyebarkan muamalat Islam.

Takaful Ikhlas yang mula beroperasi pada Julai 2003 adalah anak syarikat MNRB Holdings Berhad, sebuah syarikat pemegangan pelaburan yang disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia.

Ia mempunyai dua pusat perkhidmatan pelanggan di Kuala Lumpur dan Selangor serta pejabat wilayah di Kuala Lumpur, Kota Bharu, Johor Bahru, Sungai Petani, Kedah, Kuching, Sarawak, Melaka, Kota Kinabalu, Sabah, Kuantan, Pahang, Ipoh, Perak dan Putrajaya.

Sunday, February 21, 2010

Seminar Rawatan Makhluk Halus

Pihak Persatuan Kakitangan Islam Hospital Kinabatangan (PERKEP) akan mengadakan SEMINAR RAWATAN PERUBATAN ISLAM SIRI KE 3. Tajuk seminar pada kali ini berkaitan dengan Membenteng Diri, Keluarga dan Rumah Dari ganguan Makhluk Jahat dan Pukau. Makhluk jahat ini termasuklah syaitan, jin, manusia dan binatang buas.

Seminar ini akan diadakan dibilik Seminar Hospital Kinabatangan. Maklumat penyertaan adalah seperti berikut:-

Tarikh : 13 hingga 14 MAC 2010
Tempat : Hospital Kinabatangan
Guru : Ust Sharhan Shafie At-Thobibi (Pengamal Perubatan Islam tersohor)
Yuran Penyertaan : RM50.00 seorang
Tarikh Tutup Pendaftaran : 5hb MAC 2010
Cara Pendaftaran : Hantar borang penyertaan bersama yuran penyertaan.
Pendaftaran tanpa yuran adalah tidak sah
Penyertaan : Terhad dan terbatas

Pendaftaran boleh dibuat melalui AJK Perhubungan Awam yang dilantik :
1. Hj Abdullah Tahir :019-8038334
2. Ust Fadzilan Rasdi : 019-5819990 (wakil guru-guru)
3. En Azzizie mohd Jeman:019-8770742

Saturday, February 20, 2010

Red Warrior: Kami Kecewa Kami Redha

Itulah ketentuan dan itulah keputusan. Pasukan Kelantan yang menyimpan hasrat besar pada tahun ini untuk memiliki tiga piala sudah tercicir apabila gagal ke suku akhir Piala FA selepas Kedah berjaya mengikat kedudukan 1-1 dalam perlawanan pusingan kedua di Stadium Sultan Muhammad ke IV sebentar tadi. Sebelum ini, Red Warrior hanya seri 0-0 dengan Kedah. Kedah berjaya mara ke perlawanan suku akhir menentang Angkatan Tentera Malaysia kerana berjaya menjaringkan gol ditempat lawan melalui pemain penyerangnya Badrol Bakthiar.

Keputusan ini amat mengecewakan peminat-peminat Kelantan sehingga Stadium Sultan Muhammad ke IV sunyi dan penuh debaran menyaksikan serangan bertali arus pemain-pemain Kelantan tetapi hampa kerana tiada gol yang dihasilkan kecuali gol pendahuluan yang dijaringkan Indra Putra. Presiden KAFA telah melahirkan kekecewaan semasa ditemubual oleh wakil RTM1,Hasbullah Awang telah menyatakan kekesalan di atas ketumpulan jentera serangan pemain-pemain Kelantan. Menurut Tan Sri Anuar Musa, ketumpulan berlarutan dari awal musim ini telah menyebabkan Kelantan gagal ke suku akhir.

Mungkin benar apa yang dizahirkan oleh presiden KAFA, tetapi kami redha. Itulah nasib pasukan kesayangan kami. Pemain-pemain telah bermain bersungguh-sungguh, cuma nasib tidak menyebelahi mereka. Buktinya terlalu banyak peluang yang terhidang tetapi penyudahnya yang gelebek. Kami memahami, pasukan Kelantan yang telah digahkan oleh media sebagai sebuah pasukan yang mengerunkan dengan bintang-bintang ternama, lama dan baru, pastinya menimbulkan keazaman pasukan lain untuk mengalahkan Kelantan. Kelantan bagaikan pasukan media. Tengoklah penajanya Sinar Harian. Mana ada pasukan lain yang ditaja media? Promosinya yang banyak bakal melahirkan penyokong fanatik. Penyokong fanatik ini ada baik dan buruknya. Pihak pengurusan patut mengambilkira sikap dan harapan penonton.

Sekiranya pemain terus dipersalahkan atas kegagalan pasukan, saya bimbang akan memberi tekanan dan kecaman terhadap pemain. Tekanan ini tidak akan menguntungkan sesiapa. Pihak pengurusan seharusnya bijak meredakan kekecewaan dan harapan mengunung penonton dan peminat. Kita tidak mahu tragedi membakar mercun dan stadium yang mengakibatkan kecederaan dan kerugian seperti yang berlaku sebelum ini.

Muhasabah dari segi pengurusan dan taktikal perlu dilakukan secara telus dan saksama. Pemain diberi peluang untuk mengemukakan hak mereka. Peminat tidak boleh diberi harapan yang terlalu tinggi sekalipun pihak pengurusan bisa kaya dengan jualan tiket dan cenderamata kerana adanya peminat fanatik. Bersederhana dan nada merendah diri penting dalam mengharungi perlawanan yang masih panjang dalam Liga Super dan Piala Malaysia.

Tahniah pemain-pemain Kelantan. Tingkatkan keupayaan, gemilangkan negeri Cik Siti Wan Kembang, kalianlan harapan setelah sekian ditelan kegelapan. Peminat dan penonton, teruskan sokongan sebagai anak watan dengan budaya oghe Kelate.

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008