Sunday, March 28, 2010

Minyak Sabah Untuk Siapa?

Persoalan royalti minyak kembali menjadi topik hangat setelah Kerajaan Kelantan dinafikan hak untuk mendapat royalti minyak setelah sekian lama minyak disedut diperairan Kelantan. Tindakan Kerajaan Kelantan bagaikan terlambat bila desakan demi desakan yang dilakukan oleh Kerajaan dan rakyat Kelantan hanya menatijahkan RM20 juta Wang Kasihan (IHSAN) dari Kerajaan Persekutuan. Itupun diberikan kepada UMNO Kelantan melalui JPP. Rakyat Kelantan hanya memilih enam orang ADUN (6 jahanam UMNO) untuk bersuara dalam DUN Kelantan. Akan tetapi Datuk Mustapa Mohamad, Ketua Perhubungan UMNO Kelantan yang ditugaskan menerima dan mengagihkan Wang kasihan tersebut. Hina sungguh maruah dan inteletual rakyat Kelantan.

Allah Maha Adil, Allah Maha kaya. Allah menggerakkan hati pemimpin UMNO sendiri untuk tampil menyatakan keadilan buat rakyat Kelantan. Tokoh ini pastilah YAM Tengku Razaleigh Hamzah, Bekas Naib Presiden juga bekas pengerusi Petronas. Sekalipun beliau dicemuh dan dianggapo pengkhianat oleh balaci-balaci UMNO yang pemeras, YAM Tengku Razaleigh hamzah bersedia membongkar ketumpahan hasil minyak Kelantan dan juga negeri-negeri pengeluar minyak seumpama Sabah.

YAM Tengku Razaleigh akan hadir dan berceramah di Sabah sebagaimana berikut :

Tajuk : Minyak sabah Untuk Siapa?
Masa dan Tarikh : 8.00 malam /2 APRIL 2010
Tempat : Dewan KDCA Penampang
Penceramah : YAM Tengku Razaleigh Hamzah
Pengerusi : Tan Sri Simon Sipaun (SUHAKAM)
Anjuran : Gabungan NGO Sabah

Seluruh Rakyat Sabah yang cintakan keadilan dan ketelusan dijemput hadir......

Thursday, March 25, 2010

Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) Anak Tiri Peniaga Bumiputera

Sudah menjadi nasib bumiputera Sandakan menjadi dagang Pak Malau di bumi sendiri. Mereka bagaikan melukut di tepi gantang untuk mencari sesuap rezeki bagi menyara hidup keluarga mereka. Mereka juga hanya mampu meleleh air liur melihat gudang-gudang perniagaan dan kedai-kedai besar menjadi milik peniaga-peniaga Cina. Sudah beruntung sekiranya mereka dapat berniaga di kaki lima gudang perniagaan atau menyewa sekaki dua kedai dengan harga yang cukup mahal.

Persoalannya, lemah atau naif sangatkah peniaga bumiputera sehingga mereka jauh ketinggalan dalam merebut peluang perniagaan di Sandakan? Barangkali peniaga bumiputera hanya layak berniaga di Pasar Minggu atau di Pasar Ikan sahaja. Itu pun terpaksa bersaing dengan peniaga-peniaga Cina.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, juga Yang Dipertua PAS Kawasan Batu Sapi, Hj Hamzah Abdullah ketika mengulas isu tersebut menyatakan rasa kesalnya terhadap Majlis Perbandaran Sandakan yang menganaktirikan peniaga bumiputera yang rata-rata mereka terdiri daripada peniaga-peniaga kecil.

Menurut beliau lagi, beliau kerap menerima aduan daripada peniaga bumiputera yang sukar untuk mendapat lesen perniagaan dan kebenaran untuk mendirikan gerai-gerai perniagaandi tepi jalan dan di kawasan-kawasan perumahan. Mereka yang berketurunan Bugis dikatakan paling sukar untuk mendapat peluang perniagaan.Bahkan, lebih malang lagi, peniaga kecil bumiputera selalu dikejar oleh penguatkuasa-penguatkuasa dari bangsa sendiri kerana cuba untuk berniaga.

Hj Hamzah memberi contoh ketidakadilan MPS yang bertindak menyaman para peniaga bumiputera yang menurunkan barang jualan mereka daripada kenderaan di tempat-tempat tertentu. Akan tetapi peniaga Cina tidak diperlakukan sedemikian. Ketidakadilan ini jika dibiarkan berterusan akan menjadikan bumiputera terus hanyut dalam arus pembangunan Bandar Sandakan yang telah dinobatkan sebagai bandaraya dalam taman. Malah, lebih malang sekiranya bumiputera Sandakan hanya menjadi kutu rayau dan penjual bahai (beg plastik) sepertimana yang berlaku kepada budak-budak hanyut dari Filipina.

Tuesday, March 23, 2010

Jom Heboh di Kelantan ada kelainan

M Faqih

KOTA BHARU, 19 Mac: Apabila disebut program Jom Heboh tentunya kita terbayang aksi artis lelaki dan perempuan terlonjat-lonjat di atas pentas.

Namun, lain pula dengan Jom Heboh yang akan diadakan di sini pada 26 dan 27 Mac ini, tiada artis wanita ditampilkan pada konsert yang akan diadakan.

Sebaliknya konsert itu pada malam 27 Mac hanya menampilkan artis lelaki termasuk Jay Jay, Jamal Abdillah, Kumpulan Raihan dan Megat Nordin.

Selain itu, difahamkan tiada siaran langsung dibuat bagi konsert berkenaan seperti dilakukan TV3 di negeri-negeri lain sebelum ini.

Kelainan juga dapat disaksikan apabila tempat duduk di antara lelaki dan wanita diasingkan pada persembahan konsert terbabit.

Pegawai Khas kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Nasruddin Mahmud Muhaidin berkata, pihak penganjur telah memberi jaminan akan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan kerajaan negeri.

“Mereka bersetuju untuk mematuhi Enakmen Kawalan Hiburan 1998 yang dikuatkuasa di negeri ini.

“Datuk Takiyuddin Hassan sebagai anggota Exco yang bertanggungjawab memberi penekanan mengenai perkara itu pada mesyuarat yang diadakan sebelum ini,” katanya.

Karnival Jom Heboh TV3 sebelum ini lebih dikenali sebagai Sure Heboh diadakan di seluruh negara kecuali Kelantan.

Bagaimanapun, TV9 pernah menganjurkan program Sua Rasa dan Perkampungan Hadhari di Kota Bharu sebelum ini tanpa melibatkan percanggahan dengan dasar kerajaan negeri.

Program Jom Heboh akan diadakan di perkarangan Stadium Sultan Mohammad Ke IV dengan menampilkan pelbagai pameran dan aktiviti jabatan-jabatan kerajaan negeri dan agensinya.

Nasruddin juga berkata, sebuah khemah besar yang dinamakan sebgai Kota Ilmu disediakan pihak penganjur untuk dijadikan tempat solat dan pameran program Jejak Rasul.

“Dijangka Pemangku Raja akan hadir pada program al Kuliyyah yang akan disiarkan secara langsung pada petang 26 Mac yang bakal diadakan di khemah tersebut.

“Selain itu Menteri Besar dan anggota-anggota Exco dijemput untuk mengisi program Talk Show,” katanya.

Program dua itu bermula dari jam 9 pagi hingga 12 malam.

Beberapa jabatan dan agensi kerajaan yang akan terbabit dalam pameran dan aktiviti interaktif iaitu Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Urusetia Pembangunan Ihsan, Belia, Sukan dan NGO, Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan.

Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam dan Pusat Penerangan Pelancongan.

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008