Sejarah pembukaan Kampung Legeh perlu ditulis dan dicatat sebagai ingatan dan juga untuk mengetahui asal usul penduduk Kampung Legeh yang dimomokkan sebagai orang ulu ataupun orang darat. Adakah benar, penduduk kampung Legeh ini terdiri daripada orang ulu?
Peneroka awal Kampung Legeh seramai 27 orang yang diketuai oleh tiga saudara dari Kedai Lalat iaitu Raja Ahmad Bin Raja Abdullah (Ayah Mad), Raja Husin Bin Raja Abdullah (Ayah Sin) dan Raja Ismail bin Raja Abdullah (Tok Ku Weil). Selain mereka , turut bersama ialah Haji Nik Mud dan Hj Nik Jid. Ayah Mad dilantik sebagai pengulu pertama kampung Legeh.
Selain mereka daripada Kedai Lalat, Hj Tok Kob dan Megat Chik (Ayahnda Allahyarham Megat Hassan) dari Kusial, Tanah Merah juga turut serta. Allahyarham Megat Hassan menjadi petani yang berjaya di kampung Legeh meninggalkan warisnya yang gagah bertahan seperti Megat Mi dan Megat Mahmud. Hj Mat Yeh (Ayahnda Hj Nasir Mat Yeh yang kini bermaustautin di Tanah Merah) dari Bukit Marak, Bachok turut menjadi tenaga penting dalam pembukaan kampung Legeh dan Sungai Satan.
Sementara itu, Pak Nik Lid (nenda Pak Teh Beri) dan Pak Ngah Man ( Seman Ibrahim) dari kampung Berih, Bachok juga turut menyumbang kepada pertumbuhan kampung ini. Pak Ngah Man telah meninggalkan waris yang ramai di kampung Legeh dan Air Chanal.
Selain mereka yang berasal dari Kota Bharu, Bachok dan Tanah Merah, orang Machang pun tidak ketinggalan turut serta menjadi peneroka dan petani yang menjadikan kampung Legeh sebagai kawasan subur yang menyumbang hasil makanan dan pertanian untuk dipasarkan ke kawasan hilir. Raja Sulaiman dari Batu 30, Machang sepatutnya dibanggakan oleh para warisnya kerana kegigihan, ketekunan dan kesabaran sehingga menjadi salah seorang insan yang membuka kampung Legeh dan memakmurkannya dengan pertanian.
Selepas itu, mereka daripada Kg Kerus Pasir Putih, Pak Su Mad (bapa Allahyarham Ust Ibrahim Fikri Mamat) dan Wan Setapa (WakPo) turut datang. Dalam kalangan 27 orang itu termasuk juga Pak Teh Sof ( Jusoh bin Awang)- ayah Pak Su Che Noh,(baru sahaja meninggal September 2023)
Gabungan pelbagai kampung dan daerah ini telah memunafaatkan kesuburan tanah Legeh yang dikelilingi bukit. Rezeki daripada hasil pertanian khususnya penanaman padi di bendang Legeh semakin mudah dipasarkan bila berlakunya pembukaan Rancangan Tanah Ayer Lanas yang melibatkan 400 orang peneroka awal.
Kampung Legeh makin bertambah penduduknya apabila orang Kg Jubakar, Tumpat yang menjadi mangsa hakisan tanah menjadi laut seramai lebih 20 orang di hantar oleh kerajaan negeri ke kampung Legeh. Penempatan awal mereka di atas bukit di sebelah masjid (tapak Rumah Allahyarham Awang Isa sekarang). Mereka dikumpulkan di rumah panjang sehingga mereka membuka Legeh Baru (alik nnaik).
Penduduk Legeh terus berkembang apabila keluarga dan sahabat handai mereka dihilir khususnya dari kampung asal peneroka awal dan Jukabar turut datang untuk membuka tanah dan menetap di sini. Tidak kurang juga ada di kalangan anak-anak generasi awal kembali ke kampung asal mereka dan meninggalkan tanah yang diterokai oleh ayahnda mereka.
Mudahnya hari bila ada sahabat kita menyebut mereka mempunyai keluarga di kampung Legeh, kita boleh merujuk dari mana asal mereka dan boleh menentukan sama ada waris mereka itu tinggal di kampung Legeh (peneroka asal) dan Alik Nnaik (orang Tumpat).
Catatan : Zaidi Mustafa hasil temuramah dengan Imam Ayah Soh ( Raja Yusof Raja Ismail)