Thursday, December 31, 2020

SELAMAT TAHUN BARU 2021: PERKUKUHKAN INSTITUSI KELUARGA

 Terasa cepat masa berlalu. Hari ini sudah bermula tahun baru 2021 dengan meninggalkan tahun 2020 yang penuh dengan cabaran dan ujian besar buat diri dan rakyat Malaysia. Pandemik Covid 19 menguji negara hampir setahun ini masih membara dengan mencatat kes tertinggi pada hari terakhir dan penutup tahun 2020 sebanyak 2525 kes. Kita mengharapkan awal tahun 2021 merupakan penamat kepada pandemik Covid 2020 dan kita dapat menjalani kehidupan seperti biasa. Kembali kepada norma lama dan meninggalkan Norma baru yang menuntut disiplin, kepatuhan, cakna, pengetahuan dan keterbukaan untuk tegur menegur.


Apa pun setiap ujian Allah pasti ada hikmah kepada hambaNya. Tiada guna kita mengesali takdir yang ditentukan Allah kepada kita. Kita mesti menongkah ujian kehidupan ini dengan menyakini Allah Taala Maha Berkuasa dan Allah Taala bersifat dengan dengan sifat al Rahman Dan Al Rahim. Sifat sifat Allah ini menjadikan manusia yang bersyukur akan berasa nikmat menghirup kehidupan ini walaupun apa jua nikmat yang ditakdirkan.


Ujian pandemik Covid 19 membuka ruang yang luas untuk mengukuhkan institusi kekeluargaan yang merupakan sekolah terbaik untuk melahirkan ummah rabbani, berdisiplin, penyayang, bertanggungjawab dan segala sifat terpuji. Sebelum ini, ahli keluarga sibuk mengejar dunia sehingga melupakan tanggungjawab kepada ahli keluarga, khususnya kepada pendidikan anak anak. Anak anak yang berusia rebun, perlukan perhatian ibubapa dan saudara saudara yang sudah dewasa. Sayangnya, mereka dibesarkan dengan didikkan media masa dan media sosial yang merosakkan. PKP, PKD, PKPP, PKPB dan apa jua peraturan dan langkah- langkah pencegahan covid 19 lebih kepada menggalakkan tinggal di rumah, stay at home bagi mengelakkan jangkitan. Inilah masanya untuk keluarga dan mengukuhkan saliturrahim.


Cuma, kita perlu bertanya pada diri. Sejauhmana kita menggunakan kesempatan stay at home untuk kita mengukuhkan institusi keluarga? Hidupkan Solat berjamaah di rumah selepas kita dihalang berjamaah di masjid? Ramadhan tanpa teraweh di masjid surau merupakan peluang terbaik untuk kita membina keluarga yang Solat berjemaah di rumah yang biasanya kita berteraweh di masjid dan surau. Apa Kita buat bila tidak boleh Solat jumaat pada hari jumaat? Menyalahkan pengurusan masjid kerana kita memilih kita sebagai salah seorang jemaah jumaat? Atau berjumpa pengurusan masjid supaya kita diberi peluang atau melakukan Solat zohor berjemaah di rumah? Atau kita masih dengan norma lama, Solat seorang diri di hujung waktu. Semua jawapan ada pada diri kita.


Bila kita menoleh kepada anak anak kita. Stay at home, apa yang mereka lakukan? Adakan anak anak bersama kita melakukan kerja rumah di sekeliling rumah?  Anak belajar memasak dengan ibu memperturunkan ilmu ilmu masakan tradisi atau bersama sama meneroka resipi baru dengan menjadikan sumber dalam internet Dan sebagainya sebagai rujukan. Adakah anak anak kita bersama sama bapa berkebun, membina keperluan rumah atau kebun? Adakah banyak masa kita bermain main dengan anak khususnya anak remaja di halaman rumah sehingga berkeringat?


Alangkah malangnya jika ujian covid 19 ini dengan anak anak yang sedang tinggal di asrama sekolah dan universiti serta yang berkerja di perantauan balik dan bermukim di rumah tetapi berada di bilik masing masing dengan gaya dan kehidupan tersendiri. Mereka sibuk dengan gajet peribadi, bercakap dan berinteraksi dengan mereka yang jauh secara maya sedangkan Ibubapa dan adik beradik disisi di pandang sepi. Makan pun tidak dapat bersekali dengan alasan ada kerja yang perlu diberesi. Juah sekali untuk bermanja dan memanja saudara sendiri. Boleh ketawa dan tersenyum kepada sahabat maya tetapi menengking dan merasa bosan dengan situasi di rumah yang kononnya tidak memahami situasi.


Insafilah diri, ujian ini bukan trajedi tetapi tajali yang menuntut kita bermuhasabah diri agar apa yang kita lalui hari- hari bakal menyinari kehidupan kita dan masyarakat suatu ketika nanti. Selamat melayari tahun baru 2021 dengan iltizam dan tekad untuk mengubah diri Dan masyarakat. Biar tahun ini lebih baik dari tahun lalu dari segi iman, taqwa, usaha, akhlak Dan saliturrahim. Di doakan diberi kesihatan dan kewarasan akal oleh Allah untuk menjalani kehidupan khalifahnya fil ardh. Selamat tahun baru.


Abu Osama, Pondok Murabithun Air Chanal

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008