Tuesday, May 11, 2021

Jangan Biarkan Rumah Menjadi Kubur

Dalam kitab Al-Shiyām Wa Ramadhān Fi Al-Sunnah Wa Al-Quran karya Syeikh Abdul Rahman bin Hassan Habannakah Al-Maidani menyatakan bahawa setiap umat Islam mesti menjadikan agenda ubudiyyah secara tersusun di kediaman mereka supaya ianya tidak bertukar menjadi seperti kubur:


*لا تجعلوا بيوتكم مقابر أي لا تجعلوا بيوتكم للنوم وحاجات الدنيا فقط، فإنكم إذا قصرتموها على ذلك كانت بمثابة المقابر. فالمطلوب من المسلمين أن يجعلوا قسما من عباداتهم في بيوتهم ومن ذلك تلاوة القرآن وصلوات النوافل ودروس العلم النافع التي يبتغى بها وجه الله عزوجل ومجالس الموعظة والذكر وفعل الخير*


_"Jangan kamu menjadikan rumah-rumah kamu seperti kubur dengan maksud jangan hanya jadikan rumah kediaman kamu untuk tidur dan melangsaikan urusan keduniaan kamu sahaja. Jika terbatas urusan kamu pada perkara itu sahaja, jadilah rumah kamu seperti kubur. Apa yang dituntut kepada seluruh umat Islam, hendaklah mereka menjadikan agenda pengabdian kepada Allah dirumah mereka antaranya  menghidupkan suasana bacaan Al-Quran, solat sunat, pengajian ilmu bermanfaat ikhlas kerana Allah, majlis tazkirah, majlis zikir dan apa sahaja agenda kebaikan yang lain"._


Rumah yang tidak pernah dihidupkan dengan bacaan Al-Quran dan solat sunat akan hilang keberkatan dan menjadi seperti suasana perkuburan. Keadaan rumah tersebut menakutkan, gersang dan tidak disukai oleh para malaikat. Oleh itu, ia perlu dihidupkan dengan aktiviti-aktiviti amal soleh khasnya sentiasa ada zikrullah termasuklah tilawah Al-Quran. Secantik mana sekalipun kediaman itu, ia tidak dapat menarik keberkatan jika kosong daripada amal soleh. Namun, jika sebuah rumah yang kecil dan tidak cantik akan tetapi penghuninya sentiasa hiasi dengan zikrullah, ia dipenuhi barakah malah menjadi tempat persinggahan para malaikat.


Sekiranya bulan Ramadhan juga masih tiada agenda ubudiyyah dalam kediaman, ini menjadi petanda kegersangan iman dan permasalahan jiwa yang meruncing dalam diri penghuni kediaman tersebut. Akibatnya, sikap negatif dan tidak baik bersarang dalam hati yang menyebabkan seseorang itu tidak dapat mengawal dirinya dan mudah terjerumus ke lembah maksiat dan kemungkaran. Jadikan kediaman sebagai tempat yang boleh mengingatkan kita kepada akhirat, insya-Allah beroleh keberkatan.


〰Asri ed-Diwanie

29 Ramadhan 1442

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008