Thursday, October 12, 2023

SEJARAH PEMBUKAAN KAMPUNG LEGEH

    Sejarah pembukaan Kampung Legeh perlu ditulis dan dicatat sebagai ingatan dan juga untuk mengetahui asal usul penduduk Kampung Legeh yang dimomokkan sebagai orang ulu ataupun orang darat. Adakah benar, penduduk kampung Legeh ini terdiri daripada orang ulu?


Kampung Legeh yang kedudukannya ke dalam 5 kilometer daripada Ayer Lanas sebenarnya lebih awal 2 tahun dibuka daripada Ayer Lanas yang dibuka pada tahun 1957. Kalau Ayer lanas dibuka oleh kerajaan melalui Rancangan Tanah, Kampung Legeh dibuka oleh peneroka yang terdiri daripada mereka dari Kedai Lalat, Kusial, Bukit Marak, Kg Berih dan juga Batu 30 Machang. 


Peneroka awal Kampung Legeh seramai 27 orang yang diketuai oleh tiga saudara dari Kedai Lalat iaitu Raja Ahmad Bin Raja Abdullah (Ayah Mad), Raja Husin Bin Raja Abdullah (Ayah Sin) dan Raja Ismail bin Raja Abdullah (Tok Ku Weil). Selain mereka , turut bersama ialah Haji Nik Mud dan Hj Nik Jid. Ayah Mad dilantik sebagai pengulu pertama kampung Legeh.


Selain mereka daripada Kedai Lalat, Hj Tok Kob dan Megat Chik (Ayahnda Allahyarham Megat Hassan) dari Kusial, Tanah Merah juga turut serta. Allahyarham Megat Hassan menjadi petani yang berjaya di kampung Legeh meninggalkan warisnya yang gagah bertahan seperti Megat Mi dan Megat Mahmud. Hj Mat Yeh (Ayahnda Hj Nasir Mat Yeh yang kini bermaustautin di Tanah Merah) dari Bukit Marak, Bachok turut menjadi tenaga penting dalam pembukaan kampung Legeh dan Sungai Satan.


Sementara itu, Pak Nik Lid (nenda Pak Teh Beri) dan Pak Ngah Man ( Seman Ibrahim) dari kampung Berih, Bachok juga turut menyumbang kepada pertumbuhan kampung ini. Pak Ngah Man telah meninggalkan waris yang ramai di kampung Legeh dan Air Chanal.


Selain mereka yang berasal dari Kota Bharu, Bachok dan Tanah Merah, orang Machang pun tidak ketinggalan turut serta menjadi peneroka dan petani yang menjadikan kampung Legeh sebagai kawasan subur yang menyumbang hasil makanan dan pertanian untuk dipasarkan ke kawasan hilir. Raja Sulaiman dari Batu 30, Machang sepatutnya dibanggakan oleh para warisnya kerana kegigihan, ketekunan dan kesabaran sehingga menjadi salah seorang insan yang membuka kampung Legeh dan memakmurkannya dengan pertanian.


Selepas itu, mereka daripada Kg Kerus Pasir Putih, Pak Su Mad (bapa Allahyarham Ust Ibrahim Fikri Mamat) dan Wan Setapa (WakPo) turut datang. Dalam kalangan 27 orang itu termasuk juga Pak Teh Sof ( Jusoh bin Awang)- ayah Pak Su Che Noh,(baru sahaja meninggal September 2023)


Gabungan pelbagai kampung dan daerah ini telah memunafaatkan kesuburan tanah Legeh yang dikelilingi bukit. Rezeki daripada hasil pertanian khususnya penanaman padi di bendang Legeh semakin mudah dipasarkan bila berlakunya pembukaan Rancangan Tanah Ayer Lanas yang melibatkan 400 orang peneroka awal.



Kampung Legeh makin bertambah penduduknya apabila orang Kg Jubakar, Tumpat yang menjadi mangsa hakisan tanah menjadi laut seramai lebih 20 orang di hantar oleh kerajaan negeri ke kampung Legeh. Penempatan awal mereka di atas bukit di sebelah masjid (tapak Rumah Allahyarham Awang Isa sekarang). Mereka dikumpulkan di rumah panjang sehingga mereka membuka Legeh Baru (alik nnaik).


Penduduk Legeh terus berkembang apabila keluarga dan sahabat handai mereka dihilir khususnya dari kampung asal peneroka awal dan Jukabar turut datang untuk membuka tanah dan menetap di sini. Tidak kurang juga ada di kalangan anak-anak generasi awal kembali ke kampung asal mereka dan meninggalkan tanah yang diterokai oleh ayahnda mereka.


Mudahnya hari bila ada sahabat kita menyebut mereka mempunyai keluarga di kampung Legeh, kita boleh merujuk dari mana asal mereka dan boleh menentukan sama ada waris mereka itu tinggal di kampung Legeh (peneroka asal) dan Alik Nnaik (orang Tumpat).


Catatan : Zaidi Mustafa hasil temuramah dengan Imam Ayah Soh ( Raja Yusof Raja Ismail)

Wednesday, May 10, 2023

DARI MANA REZEKI KITA?

Setiap manusia yang telah dijadikan oleh Allah telah ditetapkan rezekinya. Sebagai orang yang beriman kepada Allah, kita mesti meyakini kenyataan ini. Cuma, kita disuruh berusaha untuk mencari di mana rezeki kita itu berada. al- Quran mengajar kepada kita bahawa 8 tempat kedudukan rezeki yang telah Allah tetapkan kepada kita. kedudukan itu,

1. Rezeki yang telah dijamin. 

وَمَا مِن دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ إِلَّا عَلَى اللَّهِ رِزْقُهَا وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا وَمُسْتَوْدَعَهَا كُلٌّ فِي كِتَابٍ مُّبِينٍ 

“Tidak ada satu makhluk melatapun yang bergerak di atas bumi ini yang tidak dijamin ALLAH rezekinya.”

(Surah Hud : ayat 6). 


2.  Rezeki kerana usaha. 

وَأَن لَّيْسَ لِلْإِنسَانِ إِلَّا مَا سَعَى 

“Tidaklah manusia mendapatkan apa-apa kecuali apa yang dikerjakannya.”

(Surah An-Najm : ayat 39). 

3. Rezeki kerana bersyukur. 

لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ 

“Sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu.”

(Surah Ibrahim : ayat 7). 


4. Rezeki tak Terduga

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا( ) وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ 

“Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan menjadikan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya.”

(Surah At-Thalaq : ayat  2-3). 


5. Rezeki kerana istighfar

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا ( ) يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا 

“Beristighfarlah kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, pasti Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan memperbanyak harta.”

(Surah Nuh : ayat 10-11). 


6. Rezeki kerana menikah. 

وَأَنكِحُوا الْأَيَامَىٰ مِنكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَائِكُمْ إِن يَكُونُوا فُقَرَاءَ يُغْنِهِمُ اللَّهُ مِن فَضْلِهِ 

“Dan nikahkanlah orang-orang yang masih membujang di antara kamu, dan juga orang-orang yang layak dari hamba sahayamu baik laki-laki dan perempuan. Jika mereka miskin, maka Allah akan memberikan ke- cukupan kepada mereka dengan kurnia-Nya.”

(Surah An-Nur : ayat 32). 


7. Rezeki kerana Anak. 

وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ خَشْيَةَ إِمْلَاقٍ نَّحْنُ نَرْزُقُهُمْ وَإِيَّاكُمْ 

“Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut miskin. Kamilah yang akan menanggung rezeki mereka dan juga (rezeki) bagimu.”

(Surah Al-Israa’ : ayat 31). 


8. Rezeki kerana sedekah 



مَّن ذَا الَّذِي يُقْرِضُ اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا فَيُضَاعِفَهُ لَهُ أَضْعَافًا كَثِيرَةً 

“Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada Allah, pinjaman yang baik (infak & sedekah), maka Allah akan melipat gandakan pembayaran kepadanya dengan lipatan yang banyak.”

(Surah Al-Baqarah : ayat 245).

Tuesday, May 11, 2021

"Vaksin Ketenangan Jiwa Melalui Qiamullail"*

 *USRAH WHATSAPP SIRI3️⃣4️⃣6️⃣*

Dalam kitab Mukhtashar Qiyāmullail karya Abi Abdillah Mohamed bin Nasr Al-Marūzi menyatakan bahawa melalui qiamullail seseorang itu mendapat penawar berkesan bagi jiwa dan hatinya. Dinukilkan kalam seorang Tabien, Atha' Al-Khurasani mengenai kelebihan qiamullail:


*قال عطاءالخراساني: قيام الليل محياة للبدن ونور في القلب وضياء في البصر وقوة في الجوارح. وأن الرجل إذا قام من الليل متهجدا أصبح فرحا يجد لذلك فرحا في قلبه وإذا غلبته عيناه فنام عن حزبه أصبح حزينا منكسر القلب كأنه قد فقد شيئا وقد فقد أعظم الأمور له نفعا*


_"Berkata Àtha' Al-Khurasāni: Qiamullail memberi kesegaran kepada badan, menjadi cahaya dihati dan penglihatan serta memberi kekuatan kepada anggota badan. Bahawasanya apabila seseorang itu bangkit qiamullail lalu bertahajud, dia akan bergembira dan tampak dihatinya kegembiraan itu. Namun apabila matanya tewas lalu dia tertidur dalam hizibnya, kesedihan melanda dirinya, hatinya terasa remuk seolah-olah dia telah kehilangan sesuatu yang paling besar dapat memberi manfaat terhadapnya"._


Sesungguhnya dengan berqiamullail, segala permasalahan disiang hari dapat diselesaikan. Ia adalah vaksin kekuatan kepada jiwa seseorang. Qiamullail ibarat hubungan paling erat dan ikhlas antara manusia dengan Allah SWT lantaran sang hamba sanggup bangkit untuk bertemu Allah dikala manusia lain sedang nyenyak dipembaringan. Ia menjadi amalan teras para Anbiya' dan Solehin yang menuntut umat Islam turut menjadikannya amalan rutin kehidupan mengikut kemampuan diri.


Selalunya orang yang berqiamullail, dianugerah oleh Allah SWT dengan tanda ketenangan dan ketinggian maqam. Allah akan mengurniakan baginya posisi Aulaiya' yang ma'unah Allah datang kepadanya tanpa disangka. Sekiranya dia menerima ujian dan cabaran, Allah akan menganugerahkan kesabaran dan jalan pertolongan pada masa yang telah ditentukan.


〰Asri ed-Diwanie

25 Ramadhan 1442

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008