Tuesday, May 11, 2021

Puasa Menyingkap Hijab Antara Hamba Dengan Allah


Dalam Risalah bertajuk Min Risālah Al-Shaūm tulisan Syarif Qasim menyatakan bahawa melalui puasa hijab yang ada antara seseorang manusia dengan Allah dapat dibuka dengan mudah:


*ويكون الصوم سلاحا ذا أثر فاعل للانتصار على العدو البغيض للإنسان ألا وهو الشهوة المحرمة التي تكون حجابا بين العبد وربه سبحانه وتعالى. ويكون الصوم موسما للاستعداد بقبول مكارم الأخلاق للنفس، فبها يكون الإعمار للمجتمع الإنساني الذي يريده الإسلام على وجه الأرض*


_"Puasa boleh menjadi senjata yang berkesan lagi efektif untuk mengalahkan musuh yang dibenci manusia, iaitulah nafsu syahwat yang terlarang yang dengannya menjadi hijab antara seseorang hamba dengan Allah SWT. Puasa pada hakikatnya adalah musim untuk mempersiapkan penerimaan akhlak yang baik kepada diri seseorang. Melalui berpuasa juga, ia mampu mengendalikan pembinaan teguh sebuah masyarakat manusia yang dikehendaki oleh Islam di muka bumi ini"._


Seseorang yang sedang berpuasa hakikatnya berada dalam satu tamrin diri yang sangat dikasihi Allah kerana terdapat latihan ikhlaskan diri kerana-Nya. Dalam kitab Mirqāt Al-Mafātih dinyatakan bahawa pengendalian nafsu yang paling berkesan dan dapat menundukkan keegoannya ialah ketika seseorang itu berpuasa. Dengan sebab itu, doa orang yang berpuasa lebih mudah diterima daripada doa orang yang tidak berpuasa. Hijab dapat disingkap antara orang berpuasa dengan Allah SWT yang menjadikan doanya lebih mustajab.


Begitu juga dalam urusan seharian, peratusan sifat mahmudah seseorang itu lebih tinggi daripada mazmumah diri. Dengan demikian, gejala mungkar dan perkara negatif terelak dengan sendirinya dan masyarakat Islam mampu membangunkan akhlak terbaik. Dengan akhlak dan qudwah terbaik itu, sudah tentu sesebuah negara umat Islam akan membangun dengan penuh kesejahteraan dan keberkatan.


〰Asri ed-Diwanie

28 Ramadhan 1442

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008