Dalam kitab Al-Shiyām Wa Tafāsīr Al-Ahkām karya Abdul Qudus Al-Anshari menyatakan bahawa puasa adalah wasilah untuk penyucian diri yang sangat berkesan:
*فإذا طغت جسدية الإنسان على روح الإنسان هبط من علياء السمو إلى حضيض الحيوان وإذا قوي الجانب الروحي فيه سمت شخصيته وارتفعت عن الأوضار وتطهرت نفسه وتزكت*
_"Apabila tubuh badan seseorang itu melampaui (dengan sifat mazmumah) ke atas ruhnya, dia tersungkur jatuh daripada kedudukan yang tinggi ke lembah kebinatangan yang hina. Sebaliknya apabila sudut ruhnya memiliki kekuatan (dengan berpuasa), dirinya akan melonjak dan kedudukannya lebih tinggi daripada segala keburukan serta dirinya menjadi bersih lagi suci"._
Tazkiah Al-Nafs atau penyucian diri akan berjaya apabila disertakan dengan amalan ikhlas hanya semata-mata kerana Allah. Syeikh Said Hawwa melalui karyanya Al-Mustakhlas Fi Tazkiyah Al-Nafs menegaskan bahawa apabila nafsu mulai lemah khasnya melalui berpuasa, ruh akan menjadi tenang. Apabila ruh tenang, anggota tubuh akan turut menjadi tenang dan berada dalam kawalan.
Namun, jika sifat mazmumah telah mendiami diri seseorang, ia teramat sukar untuk melorongkan jalan ke arah penyucian rohani. Salah satu wasilah yang ampuh lagi berkesan untuk tujuan Tazkiah Al-Nafs ialah melalui puasa. Semoga puasa kali ini menjadi wasilah untuk kita mencapai kasih sayang dan keredhaan Allah SWT.
〰Asri ed-Diwanie
27 Ramadhan 1442