Thursday, September 16, 2010

Perutusan Hari Malaysia Presiden PAS

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat dalam negara kita bersempena dengan penubuhan sebuah negara yang dinamakan Malaysia pada 16 September 1963 yang lalu.

Sebagaimana yang telah saya nyatakan sebelum ini dalam ucapan saya di Muktamar Agung PAS yang lalu, saya menghuraikan bahawa kita adalah kelompok manusia yang sangat bertuah dan unik, kerana berada dalam negara Malaysia yang mengandungi kepelberbagai etnik, yang berasal dari berbagai bangsa dan datang daripada berbagai negara. Ini pula ditambah dengan kemeriahan etnik yang wujud di Sabah dan Sarawak sejak sekian lama.

Kerencaman ini sekiranya diolah dengan baik akan menjadikan negara kita ini sebagai satu kuasa yang hebat, sebaliknya sebarang kesilapan akan membawa padah yang besar. Inilah yang kita lihat setelah 47 tahun negara Malaysia diwujudkan, dengan kelemahan pimpinan UMNO-BN yang sepatutnya sudah membawa negara tercinta ini berdiri teguh dan mampu untuk menjadi pelindung kepada rakyat.

Asas yang perlu dipertahankan ialah kesemua etnik yang membina negara Malaysia ini perlu dilayan dengan adil dan saksama, kerana Islam menekankan bahawa kecenderungan untuk memperlekehkan orang lain adalah sifat buruk yang mesti dijauhi.

Menceroboh dan menghalang hak seseorang adalah amat bercanggah dengan prinsip keadilan Islam manakala sikap berlaku adil pula adalah merupakan ciri taqwa orang yang beriman. Adalah sesuatu yang janggal apabila seseorang itu mengaku bertaqwa kepada Allah tetapi gagal melaksanakan keadilan yang sebenar.

PAS bukan sahaja akan mempertahankan hubungan baik pelbagai kaum ini dengan berasaskan sikap Islam sebenar yang dinyatakan oleh Al Quran dan ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, bahkan PAS komited untuk menjadikan kewujudan pelbagai etnik ini sebagai rempah yang boleh memperkasakan negara Malaysia itu sendiri.

Allah SWT menyeru agar hubungan seumpama ini sentiasa dibentuk sebagaimana firman Nya dalam Surah al Hujuraat ayat 13 yang bermaksud:

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”

Selamat Hari Malaysia untuk semua rakyat Malaysia.


Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Presiden PAS

16 September 2010 | 7 Syawal 1431 Hijriah

Thursday, September 9, 2010

Takbir Hari Raya

Selamat Menyambut Aidil Fitri yang mulia. semoga kita semua berbahagia dan bercukup dengan apa yang ada.

Salam kemaafan kepada semua sanak saudara, sahabat handai, guru-guru yang telah banyak mendidik dan memengalirkan ilmu dan rohnya dijiwa penulis. Tidak dilupakan kepada seluruh kenalan, pembaca budiman. Halalkan yang termakan dan terminum, atau sebarang tutur kata, ungkapan pena sepanjang hidup yang kita lalui bersama. Terima kasih atas segalanya.

Takbir Hari Raya Aidil Fitri & Aidil Adha
Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Thursday, September 2, 2010

Kemelut BN Sabah

Oleh: Hj Hamzah Abdullah


Kenyataan Presiden LDP, Datuk V.K. Liew yang membidas peribadi Datuk Salleh Tun Said dengan mengatakan kenyataan Salleh berkaitan pakatan dalam LDP yang berkomplot mahu menggulingkan Datuk Musa sebagai 'tak perlu di beri layanan' sungguh mengaibkan! Pemimpin UMNO semacam sudah hilang kehormatan dan harga diri sehingga sebuah parti komponen yang kecil seperti LDP dengan rasa bangga diri memperlekeh kewibawaan mereka. Atau sememangnya pemimpin UMNO sudah tiada wibawa lagi sehingga kenyataan Datuk V.K. Liew " we just have to ignore people like Salleh" boleh dikeluarkan tanpa rasa segan dan adab susila sebagaimana yang dilaungkan oleh para pemimpin UMNO/BN selama ini yang kononnya mereka adalah sebuah keluarga yang besar dimana semua pandangan dan kritikan hendaklah dibuat dalam semangat setiakawan.

Sikap para pemimpin LDP yang terus menerus mempertikaikan kepemimpin Datuk Musa dan segelintir pemimpin UMNO hanya mengesahkan bahawa semangat kekeluargaan BN sedang menuju kehancuran! Ini juga petanda bahawa badi kemenangan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya kecil Sibu baru-baru ini pasti akan menghantui UMNO/BN Sabah. Impian UMNO/BN yang ingin terus menerus menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai 'fixed deposit' bagi mengekalkan penguasaan BN diperingkat Federal akan menjadi igauan ngeri pada PRU kali ini memandangkan kesungguhan rakyat Sabah untuk memberi kepercayaan kepada PR bagi menggantikan BN yang semakin reput dan bernanah.

Setelah lebih 50 tahun memerintah negara ini, berkokok siang malam menyeru rakyat bersatu padu, pemimpin UMNO/BN terus konsisten mempelopori politik adu domba dan penganjur perpecahan sebagaimana dapat kita saksikan sekarang. Rakyat Sabah harus bersikap positif dan bersedia memberikan ruang bagi PR membuktikan kemampuan dan keupayaan mentadbir urus negeri ini dengan matlamat mengembalikan hak dan maruah rakyat Sabah yang telah dirobek dan dirampas oleh kroni dan pemimpin UMNO/BN. Sesungguhnya pemerintahan PR di Pulau Pinang, Kedah dan Selangor adalah manifestasi keupayaan pemerintahan PR menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat...bukan merampas dan merompak hakmilik rakyat sepertimana dilakukan selama lebih 50 tahun di era pemerintahan UMNO/BN dinegeri-negeri tersebut!!

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008