Tuesday, March 26, 2013

Bakal Suami dan Bakal Pemimpin


Pernikahan menjadi saat-saat yang amat dinanti-nanti oleh sepasang yang hangat bercinta. Mereka ingin merealisasikan manifestasi cinta mereka melalui ikatan yang sah. Tarikh pernikahan ditunggu dengan penuh debaran setiap saat, setiap ketika, siang dan malam. Pernikahan ini juga meributkan mereka disekeliling  samada mereka ibubapa, adik beradik, anggota keluarga, sahabat handai mahupun jiran sekampung dan sekerja.

Pernikahan ini mendambakan tersirnanya kasih saying, tanggungjawab, keluruhan budi pekerti, kerjasama, hormat menghormati, saliturrahim dan lahirnya anak-anak soleh yang bakal mengimarahkan bumi ini dengan iman dan taqwa. Pastinya, pernikahan ini nanti bakal membahagiakan pasangan ini, membahagiakan anggota keluarga, sekampung dan seluruhnya. Begitulah titipan harapan oleh setiap insane, masyarakat dan Negara. Ini kerana,  daripada keluargalah, terbinanya sebuah masyarakat yang harmonis dan memacu sebuah Negara bangsa yang bertamadun,yang menjamin hak semua.

Dalam kekalutan kita berusaha mencari pasangan yang beriman dan bertaqwa, yang boleh memimpin keluarga menuju redha Allah, pernahkah kita bertanya pada diri, seriuskah kita memilih pemimpin masyarakat dan Negara yang terserlah cirri-ciri pasangan yang ideal, pasangan yang akan membawa kita dan keluarga menuju redha Allah?

Kenapa masih kita menyanjung pemimpin yang terlibat dengan dosa besar seperti pecah amanah, rasuah, kaki botol, tahi judi, kaki betina? Sanggupkah kita bersuamikan suami yang pencuri yang menjadi bualan sekampung? Tentu tidak. Tapi kenapa sanggup bertuankan pemimpin yang mengambil hak rakyat? Sanggupkah kita bersuamikan seorang lelaki yang gagal memimpin keluarganya sehingga anak isterinya hidup tungganglangan, solat entah dimana, aurat tanpa batasnya?

Suami dalam pernikahan diharapkan dapat membimbing keluarga, membentuk keluarga soleh. Adakah boleh diharapkan terbinanya keluarga sakinah sedangkan suami hanya pandai berkareoke, mengaji jauh sekali,kekawannya kaki pemalas, kaki kelentong.

Pada mertua, sanggupkah bermenantukan yang kaya tetapi tidak jelas sumber kekayaannya? Tidak sangsikah mertua terhadap menantu yang kerja sedikit tetapi wangnya berjuta?  Tidak curigakah mertua kepada menantu yang bijak menyusun kata tetapi  penuh nista? Sanggupkah mertua membiarkan anak gadisnya berimam solatkan lelaki yang kolat membaca Al Quran. Bersediakan menerima cucu dari benih lelaki curang, pembohong, kaki maksiat dan pemfitnah?

Justeru itu, memilih kepimpinan Negara lebih besar daripada memilih pemimpin keluarga. Ini kerana tersalah memilih pemimpin keluarga boleh diceraikan, difasakh, dikhuluq, dizihar dan li’ankan. Cuma barangkali anak perempuan akan menjadi janda, cucu terpisah dengan ayahnya. Tempias kesusahan keluarga itu, barangkali berkitar dalam keluarga dan sekitar sahaja. Akan tetapi tersalah memilih dan melantik pemimpin Negara. Rakyat bukan setakat menjadi janda dan terpisah daripada keluarga tetapi jauh lebih sengsara daripada itu. Ianya melibatkan kelompok yang besar, jutaan manusia, masa yang panjang dan melibatkan kerugian yang amat besar. Kesengsaraa ini bukan hanya itu 10 tahun dua tetapi berdekat lamanya dan akan terpahat dalam titipan sejarah.

Marilah bermuhasabah. Letaklah kepentingan orang ramai melebihi kepentingan diri sendiri kerana itulah tanda tingginya nilai peribadi kita. Pilihlah pemimpin secara teliti, lebih teliti daripada memilih calon suami atau isteri, ipar dan mertua.. sekali anda diberi peluang…gunalah sebaiknya..

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008