Tuesday, November 24, 2009

Yuran PASTI Itu Sadaqah Jariah

Melentur buluh biar dari rebunnya, itulah pepatah yang paling layak untuk ibubapa yang mengharapkan anak-anak mereka menjadi anak yang soleh, anak yang berguna untuk agama, bangsa dan negara. Semestinya, pendidikan yang berteraskan aqidah merupakan acuan yang terbaik bagi mencapai hasrat tersebut. Pendidikan PASTI yang meletakan Aqidah sebagai teras pengajaran dan pembelajaran patut menjadi pilihan utama bagi ibubapa.

PASTI ditubuhkan dengan matlamat melahirkan insan yang faham matlamat hidup dan telah terbukti pelajar PASTI mampu dijadikan contoh oleh pelajar -pelajar lain. Ibubapa yang menghantar anak-anak mereka ke PASTI sebenarnya telah melakukan sadaqah jariah melalui sumbangan yuran PASTI. Ini kerana dengan sumbangan itu menyebabkan pendidikan Islam dapat diadakan dan amalan doa serta amal Islami pelajar PASTI dapat memberkati sesebuah keluarga.Demikian tegas Hj Hamzah Abdullah, Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah di Sandakan.

Ibubapa sepatutnya menjauhi pendidikan yang mengajar menyanyi, menari dan mengutamakan hiburan kerana pendidikan seumpama ini bakal melahirkan benih-benih gejala sosial yang merosakan masa depan negara. PASTI bercadang meluaskan sesi pengajian hingga ke peringkat sekolah Rendah dan sekolah Menengah bagi memastikan kesinambungan Pendidikan Islam. Hasrat ini akan lebih cepat tercapai sekiranya PAS dan Pakatan Rakyat diberi peluang memerintah negara. Tambah Hj Hamzah lagi.

Sekalipun PASTI berjalan dalam keadaan serba kekurangan dan kekangan, namun PASTI telah membuktikan keupayaan dalam pengurusan tanpa penyelewengan dan bukan bermatlamat perniagaan. Mereka yang berkhidmat dengan PASTI secara sukarela dan melakukan dengan mengorbankan kudrat, wang ringgit dan masa demi mencapai hasrat untuk melahirkan qenerasi Al-Quran yang bakal memimpin ummah.

Sunday, November 22, 2009

Al-Quran dan Kematian


Rasulullah (Sallallahu alaihi wasallam) bersabda : 'Bila seseorang lelaki itu mati dan saudaranya sibuk dengan pengebumiannya, berdiri lelaki yang betul-betul kacak di bahagian kepalanya. Bila mayatnya dikapan, lelaki itu berada di antara kain kapan dan si mati.


Selepas pengebumian, semua orang pulang ke rumah, 2 malaikat Mungkar dan Nakir
, datang dalam kubur dan cuba memisahkan lelaki kacak ini supaya mereka boleh menyoal lelaki yang telah meninggal itu seorang diri mengenai ketaatannya kepada Allah. Tapi lelaki kacak itu berkata,

"Dia adalah temanku, dia adalah kawanku. Aku takkan meninggalkannya seorang diri walau apa pun. Jika kamu ditetapkan untuk menyoal, lakukanlah tugasmu. Aku tidak boleh meninggalkannya sehingga aku dapati dia dimasukkan ke dalam Syurga.'


Selepas itu dia berpaling pada temannya yang meninggal dan berkata,'Aku adalah Al-Quran, yang mana kamu membacanya, kadang-kadang dengan suara yang nyaring dan kadang-kadang dengan suara yang perlahan. Jangan bimbang. Selepas soal siasat dari Mungkar dan Nakir, kamu tidak akan bersedih.' Selepas soal siasat selesai, lelaki kacak mengatur untuknya daripada Al-Mala'ul A'laa (malaikat dalam Syurga) tempat tidur dari sutera yang dipenuhi bauan kesturi
Rasulullah (Sallallahu alaihi wasallam) bersabda :'Di hari pengadilan, di hadapan Allah, tiada syafaat yang lebih baik darjatnya daripada Quran, mahupun dari Nabi atau Malaikat

Saturday, November 21, 2009

Ust Al-Yamin: Hilang Sukar Dicari Ganti

Pejuang agama hanya pinjaman Allah kepada ummah. Allah akan menariknya bila masa dia kehendaki. Begitulah nasib yang menimpa masyarakat Kinabatangan. Ust Al-Yamin Abdul Rahman, 51, seorang pendakwah yang gigih, bermotivasi dan hikmah dalam menjalankan dakwah telah menghembuskan nafas yang terakhir di hospital Kinabatangan setelah mengadu sakit dada.

Ust Al-Yamin, bekas Pembantu Tadbir Agama Kinabatangan (PTA) yang ditukarkan ke Tongod dan Sandakan telah meninggal dunia jam 9.00 malam, 19 NOV 2009 kerana disyaki komplikasi jantung (semasa berita ini ditulis, penulis belum mendapat punca sebenar kematian Allayarham). Pada siangnya, Allahyarham masih dapat menjalankan tugas di Sandakan seperti biasa. Allahyarham meninggalkan lapan orang anak dan seorang isteri.

Kehilangan Ust Al-Yamin amat dirasakan oleh pencinta-pencinta dan pengerak dakwah kerana sumbangan besar beliau dalam perkembangan dakwah Kinabatangan khususnya. Beliau aktif dalam ceramah dan mengatur program keagamaan melalui Usrah, kursus dan sebagainya. Allahyarham juga mengepalai kumpulan Usrah Kg Nusa Jaya. Turut hadir mengiringi jenazah beliau, Ust Mohd Zaidi Mustafa , pengerusi Guru Agama Kinabatangan dan Ust Ahmad Syufaie Wagiran, pengawai ceramah JHEAINS bahagian Sandakan yang turut mengimami solat jenazah.

Allahyarham juga seorang mualaf telah berjaya mengIslamkan ramai suku kaum Sungai dan melatih mereka ini menjadi pendakwah. Ramai kakitangan JHEAINS dan imam Kinabatangan sekarang ini dikalangan hasil didikan beliau. Muridnya bertebaran dimana-mana. Semoga apa yang diusahakan selama ini dikira Allah sebagai sadakah jariah yang mengiringi roh beliau.Pastinya, kehilangan beliau merupakan kehilangan yang amat besar terhadap pejuang dan pengerak dakwah dan masyarakat. Patah tumbuh hilang berganti tetapi pasti, ia sukar disaingi penganti. Semoga rohnya tenang di alam abadi.

Buat keluarga Allahyarham,
Semoga bersabar menghadapi ujian ini,tabah mendaki hari-hari berbaki. Munafaat segala ilmu dan bekal yang beliau cucuri, semoga nanti, ada anak beliau yang menjejaki tanggungjawab sebagai dai’e.

Buat para pembaca,
Bersama kita sadaqahkan Al-Fatihah untuk Allahyarham setaip kali membaca tulisan ini.

Friday, November 20, 2009

Kota Siputeh Bakal Di Hitamkan??

Tindakan Bekas ADUN Kota Siputeh dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) membuat rayuan ke mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar amat membimbangkan akan menambah parah penghormatan rakyat dan dunia terhadap institusi kehakiman Malaysia. Keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar telah mengesahkan kerusi DUN Kota Siputeh kosong berikutan ADUNnya, Abu Hasan Sharif hilang kelayakan sebagai ADUN setelah gagal hadir ke ersidangan DUN dua kali bertutur-turut tanpa memaklumkan dan kebenaran speaker.

Memperdebatkan perkara berkaitan keputusan speaker DUN dan Parlimen di mahkamah adalah tindakan yang mencabul demokrasi berparlimen ala westen Master dan boleh menggugat kepercayaan awam terhadap mahkamah. Ini kerana mahkamah sebagai badan kehakiman tidak boleh mencampuri urusan badan eksekutif, begitulah sebaliknya. Kedua badan ini dalam kuasa berbeza. Demikian ditegaskan oleh Ahli MPT KeADILan juga bekas Ketua Perhubungan KeADILan Sabah, Tuan Hj Ansori Abdullah yang telah 30 tahun lebih terlibat sebagai pengamal undang-undang.

Menurut Hj Ansori, apabila badan eksekutif seperti DUN atau Parlimen membuat keputusan, maka SPR kena akur dan hormati keputusan yang telah dibuat oleh Speaker Dewan yang melaksana kuasa di bawah arahan tetap standing order. Beliau kecewa bilamana melihat Speaker DUN Perak dan Kedah terpaksa turun naik mahkamah untuk mempertahankan keputusan mereka. Sepatutnya perkara ini tidak akan berlaku sekiranya semua pihak terutama SPR menghormati bidang kuasa masing-masing.

Namun demikian, beliau menganggap keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar tepat kerana mengembalikan kuasa pemutus kepada speaker DUN dan mengikut undang-undang sedia ada. Hj Ansori juga menyokong penuh kenyataan YAM Tengku Razaleigh Hamzah berhubung tindakan-tindakan yang mencemar institusi kehakiman.

Institusi kehakiman kita terus merudum semenjak pemecatan Tun Salleh Abas pada tahun 1988 dan telah mendapat teguran pedas Bapa kemerdekaan Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra yang menyatakan tahun 1988 merupakan tahun terburuk dalam institusi kehakiman semenjak merdeka. Keputusan-keputusan mutakhir ini juga menunjukan bagaikan ada campurtangan
dalam membuat keputusan. Kes Video Linggam, Menteri Besar Perak, ADUN katak Perak dan Persiangan memperlihatkan keputusan akan menyebelahi BN sekiranya kes dibawa ke mahkamah Rayuan. Tidak mustahil kes Kota Siputeh akan menjadi seperti kes Persiangan dan akan menambah hitamkan lagi institusi kehakiman.

Sunday, November 15, 2009

Bai'ah Talak Tiga, Isu Murahan

Tindakan media massa pro UBN memainkan isu bai'ah talak 3 yang kononnya dijalankan oleh pimpinan PAS bagi menyekat wakil Rakyat PAS melompat parti disifatkan sebagai isu murahan dan tindakan terdesak pimpinan UBN setelah melihat istiqamahnya ADUN dan MP PAS dalam memperjuangkan hasrat parti. Telah terbukti, UBN gagal mempengaruhi dan membeli ADUN dan MP PAS sekalipun dengan habuan jutaan ringgit. Demikian tegas, Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Hj Hamzah Abdullah semasa merasmikan Konvokesyen PASTI ke 20 Zon Sandakan.

Hj Hamzah juga menyifatkan isu Bai'ah ini sebagai usaha fitnah mereka yang tidak suka kepada perjuangan Islam dan Islam tegak di muka bumi ini. Banyak persoalan pokok Islam dibiarkan dan diperlekehkan oleh pemimpin UMNO tetapi sibuk menimbulkan isu-isu yang syubhat dan mengelirukan masyarakat. Beliau hairan bagaimana manusia boleh patuh kepada hukum solat, haji dan sebagainya akan tetapi menolak undang-undang Allah yang hendak ditegakkan oleh perjuangan Islam. "Tindakan manusia menolak hukum Allah seperti hudud dan pemerintahan Islam seolah-olah manusia beranggapan Allah tidak faham akan keperluan hakiki manusia. Bukankah fahaman ini boleh merosakan aqidah seorang muslim?" Soal beliau.

Beliau mengakui, perjuangan menegakkan agama Allah pasti terpaksa merintis jalan kepayahan. Kalaulah Rasulullah yang terkenal dengan "Al-Amin"nya ditolak dakwahnya oleh bapa saudara dan keluarganya. Apalah sangat kita yang tidak sempurna ini. Lagikan Rasullullah pernah disihir, dituduh gila, sukakan perempuan dan segala macam tohmahan yang tidak masuk akal. Kita pejuang biasa yang rendah iman dan serba kekurangan mesti tabah melalui rintangan dan halangan dalam perjuangan menegakkan syiar Islam.

2009 Tahun Gemilang PASTI Sandakan

SANDAKAN ; Setelah 20 tahun PASTI bertapak di bumi Sandakan, Tahun 2009 merupakan tahun yang gemilang bagi PASTI Zon Sandakan. Ulang tahun ke 20 PASTI Zon Sandakan disambut dengan pertambahan empat buah PASTI baru. Pertambahan ini merupakan pertambahan yang paling banyak semenjak PASTI mula beroperasi di Sandakan pada tahun 1989. PASTI Saidina Abu Bakar As-Siddiq yang menjadi PASTI tapak pemula beroperasi di Bangunan Cosy, Jalan Chi Hwa, Batu 1 1/2 , Sandakan. Sepuluh tahun kemudian, iaitu 1999 berdirinya PASTI Umar Al-Khatab di Taman Indah Jaya.


PASTI Sandakan terus berkembang pada tahun 2000, 2002,2003 dan 2005. Pada tahun 2008, dua buah PASTI mula beroperasi dan tahun 2009 empat buah PASTI tumbuh. Empat buah PASTI tersebut ialah PASTI Zaid Bin Harithah di Kg Lupak Meluas, Batu Sapi, PASTI Bilal Bin Rabah di Karamunting, PASTI Abdul Rahman bin Auf di Taman Kenari dan PASTI Darul Hikmah di Kg Sentosa Jaya, Kinabatangan. Dalam tempoh 20 tahun PASTI Sandakan beroperasi, sudah wujud 12 buah PASTI yang menabur bakti dan mendidik kanak-kanak Pra sekolah. Tema "membina Generasi Al-Quran" cukup sinonim dengan perjuangan Dewan Pemuda PAS melalui wadahnya PASTI untuk berdakwah bermula daripada rebun. Rebun inilah diharapkan akan menyemarakan perjuangan Islam dan amal Islami di kalangan marsyarakat Sabah. Demikian tegas Izhar Hamka, Pengerusi PASTI Zon Sandakan.


Izhar yang ditemui di Majlis Konvokesyen PASTI Kali ke 20 di SM Yu Yuan disini melahirkan keyakinan PASTI akan terus berkembang sekalipun terpaksa bersaing sengit dengan Pra Sekolah dan Kemas yang percuma. Permintaan masyarakat kepada pendidikan agama semakin tinggi kerana masyarakat semakin sedar bahawa pendidikan Islam sahajalah yang dapat menyelamat anak mereka daripada anasir-ansir buruk yang disebarkan oleh media-media dan juga individu yang berkrisis minda. Ibubapa bersedia mengorbankan wang ringgit demi pendidikan Islam anak-anak mereka.


Konvokesyen ke 20 PASTI Sandakan yang dipimpin Haris Bahar melibatkan 184 orang pelajar PASTI dari kawasan Sandakan, Kinabatangan, Libaran dan Batu Sapi. Tuan Hj Hamzah Abdullah, Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah telah merasmikan dan menyampaikan sijil Konvokesyen kepada para graduan PASTI.

Friday, November 13, 2009

Rumah Pelajar PASTI Dijilat Api

KINABATANGAN: Hasrat Siti Nurhanifah Abdul Rahman, 6 Tahun untuk meraikan Konvokasyen PASTI dengan suasana ceria terencat bila rumahnya hangus dijilat api pada 08 November, jam 2.00 pagi di sini.Siti Nurhanifah , anak kepada Abdul Rahman Hj Salleh merupakan pelajar Tahap II, PASTI Darul Ulum, Kinabatangan bakal menerima sijil Konvokasyen pada 15 November di Dewan SMK Yu Yuan, Sandakan.

Kebakaran yang hampir mengubah hidup keluarga adik Siti Nurhanifah berlaku ketika mereka berada di Kota Kinabalu tidak dapat diselamatkan oleh jiran-jiran. Hanya tinggal rangka tangga rumah dan selainnya musnah dijilat api. Menurut Abdul Rahman, anggaran kerugian berjumlah RM500,000. Dua lori tiga tan dan satu tan setengah yang digunakan untuk mencari rezeki turut hangus beserta 3 mesin penebang.Selain itu, 1000 anak benih sawit disekeliling rumahnya turut hangus dan mati.

Abdul Rahman yang agak terkejut dengan apa yang berlaku, menganggap kejadian ini adalah ujian Allah kepada diri dan keluarganya.Beliau yang turut dicalonkan untuk menerima anugerah Ibubapa Prihatin PASTI Kinabatangan 2009, reda dengan ketentuan Ilahi dan akan terus berusaha.

Pihak pengurusan PASTI Kawasan Kinabatangan yang dipimpin oleh Ust Naim Noh telah menziarahi keluarga Adik Siti Nurhanifah dan menyampaikan sumbangan PASTI kawasan Kinabatangan. Pihak PASTI juga difahamkan setakat ini, keluarga Siti Nurhanifah belum menerima apa-apa sumbangan daripada mana-mana pihak sekalipun rumah beliau berada dalam pekan Kinabatangan.Buat setakat ini, adik Siti Nurhanifah sekeluarga menumpang di rumah datuknya yang tinggal disebelah rumahnya yang terbakar.Tahun depan adik Siti Nurhanifah yang mempunyai 5 orang adik beradik akan menyambung pelajarannya di sekolah rendah.Semestinya, beliau dan keluarga akan melalui saat-saat sukar di awal musibah sebegini.

Sehubungan dengan itu, bagi meringankan bebanan keluarga adik Siti Nurhanifah, pihak Kebajikan dan Prihatin Masyarakat, Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah memohon jasa baik semua pihak untuk menyumbang sebarang sumbangan untuk meringankan keluarga Adik Siti Nurhanifah. Sumbangan boleh disampaikan melalui akan Maybank Ust Zaidi Mustafa 114348082551[Sila SMS ke 019-5850151 setelah memasukkan sumbangan] atau terus kepada Abdul Rahman Hj Salleh. Harapan kita dengan sumbangan yang tuan puan berikan dapat `membantu meringan bebanan dan meneruskan pengajian adik Siti Nurhanifah.

Rombongan PASTI Kawasan KinabatanganLori Sumber rezeki turut hangusSedikit sumbangan PASTI tanda kebersamaan

Tangga tanpa rumah
Semoga Abdul Rahman kuat menerima ujian ini

Empat punca hidup manusia tidak tenteram

SEKUMPULAN bekas pelajar sebuah universiti berkumpul menziarahi bekas pensyarah mereka.. Pensyarah itu amat gembira menerima kedatangan bekas pelajar yang berjaya dalam jurusan dan kehidupan masing-masing. Mereka bertanya khabar dengan penuh mesra dan terus terang. Perbincangan berlanjutan sehingga menyangkut kepada permasalahan berbentuk peribadi. Ada yang mengeluh, mengadu dan meluahkan perasaan yang tertekan dengan pelbagai permasalahan, tekanan hidup berkeluarga, dengan rakan di tempat kerja serta masyarakat sekeliling.


Pensyarah itu hanya tersenyum dan terus menuju ke dapur untuk mengambil cawan pelbagai bentuk dan warna. Ada yang dibuat daripada tembikar, kaca dan plastik. Ada yang cantik, penuh hiasan, kelihatan mahal dan ada yang biasa saja dan murah. Pensyarah itu menjemput semua bekas anak murid itu minum menggunakan cawan pilihan mereka.

Apabila semua bekas pelajar itu mengambil cawan yang terisi air, dia pun berkata: "
Jika kamu perhatikan, semua cawan yang cantik dan mahal itu diambil, yang tinggal hanya cawan yang biasa-biasa dan murah! "Begitulah lumrahnya kita hanya akan memilih yang terbaik (menurut pandangan luaran), sebenarnya itulah punca masalah dan tekanan hidup yang kita semua hadapi!"

Apa yang kita perlukan sebenarnya adalah
air, bukan cawan itu, tetapi kita secara tidak sedar memilih cawan yang cantik saja! Demikianlah kehidupan ini ibarat air. Kerjaya, wang ringgit dan kedudukan dalam masyarakat semuanya umpama cawan yang beraneka warna itu. Semua itu adalah alat atau pemudah cara untuk meneruskan hidup tetapi kualiti hidup tidak berubah. Jika kita hanya menumpukan perhatian kepada cawan, kita tidak ada masa untuk menghargai, merasakan dan menikmati air itu!

Apa yang pensyarah itu katakan bertepatan dengan apa yang al- Quran bentangkan mengenai jiwa manusia yang selalu berkeluh kesah dan tidak pernah rasa cukup. Pelbagai permasalahan kita berpunca daripada empat perkara:


#
Kita hanya memandang dan menginginkan apa yang ada pada tangan orang lain.. Kita tidak nampak atau lupakan nikmat di dalam genggaman kita. Walhal, Allah telah berikan kepada kita. Oleh itu kita tidak rasakan 'keseronokan' atau terasa nikmat dengan pemberian itu.

#
Kita terlalu banyak 'komplen' dan komen (mengadu) dan mengeluh serta menyalahkan keadaan sehingga kepada permasalahan sekecil-kecilnya dalam kehidupan dunia ini. Tetapi, kita sering lupa kesusahan dan penderitaan sebenar yang bakal kita hadapi di akhirat kelak.

#
Kita terlalu mengejar kemewahan, kemegahan dan glamor kehidupan sehingga melupakan tujuan hidup kita sebenarnya. Inilah sebenar ujian hidup yang kadang kala kita rasakan amat memeritkan untuk dihindari, pada hal kita tahu ganjarannya adalah syurga daripada Allah.

#
Kita selalu menganggap kehidupan di dunia ini untuk hidup selama-lamanya. Oleh itu, kita menghabiskan seluruh sumber dalam diri semata-mata untuk membina pengaruh, mengumpul harta dan kemasyhuran diri seolah-olah 'kematian' itu untuk orang lain, bukan untuk kita. Kita lupa semua kejadian akan mati dan walhal akhirat adalah kehidupan abadi.

Oleh itu, dari sekarang kita hentikan perangai suka komplen, komen dan berkeluh kesah. Kita hargailah kehidupan ini. Kita jalani kehidupan sebagai khalifah Allah, melakukan yang makruf, melarang perkara yang mungkar. Kita syukuri nikmat yang ada dan panjangkan nikmat ini kepada orang lain dengan memberikan khidmat menolong dan memudahkan kehidupan orang lain.

Pernah suatu ketika Saidina Ali ditanya oleh seorang lelaki: "Jika diberikan pilihan, mana satukah yang kamu pilih?, kehidupan di dunia atau mati? Ja wapan baginda memeranjatkan lelaki itu: "
Saya akan pilih kehidupan di dunia, melalui perjuangan dalam kehidupan ini, saya mendapat bekalan untuk mencapai keredaan Allah di akhirat kelak."

Moga seluruh perjalanan hidup kita diredhai dan dirahmati oleh Allah.
Apa guna hidup seorang hamba tanpa keredhaan penciptaNYA.

Panduan Poligami

Hiduplah di alam realiti yang mampu merealisasikan kesyumulan Islam dan keadilan Islam yang meletakkan tanggungjawab menjaga agama adalah terpikul dibahu mukalaf. Menjaga agama ini termasuk dalam dharurah khamsah yang wajib dijaga. Tugas menjaga agama tidak semestinya dengan berjuang di medan perang dan mengorbankan harta untuk menegakkan kalimah Allah. Dalam keadaan negara yang aman damai ini semestinya cara menegak syiar Islam adalah berbeza dengan negara yang kucar kacir yang terpaksa mengangkat senjata.

Warga Palestin yang dihimpit dengan peperangan dan kebuluran juga telah mengambil pendekatan jihad yang cukup bijak demi menjaga maruah diri, agama dan negara mereka. Pendekatan ini ialah dengan cara meramaikan anak-anak mereka sebagai persediaan untuk menjadi pejuang. Salah satu cara untuk meramaikan anak termasuklah dengan cara berpoligami. Sekalipun cadangan ini dipandang sinis oleh wanita tetapi itulah hakikatnya. Pejuang dan mereka yang faham tentang pentingnya perjuangan dan benih-benih pejuang bagi kesinambungan perjuangan tidak dapat menolak perkara ini.

Kenapa dibiarkan 2000 gadis melayu terjebak dengan skandal bersama" Pak Hitam'? Kenapa sanggup mengorbankan diri sehingga dipenjara dipenjara-penjara dunia kerana menurut kasih kepada lelaki asing? Berapa ramai lelaki yang jahat dan fasik membenih dan membiakkan umat manusia secara haram dan terlarang? Lelaki hidung belang berhati jalang meragut keperibadian insan dengan tanggungjawab songsang.

Mengapa para ugamawan dan ilmuan berdiam diri? Syurga Allah bukan untuk dihuni seorang diri. Tidak cukup alasan takut berdosa atau kasihankan isteri. Kita mesti melihat kepada prioriti. Antara kepentingan umat atau diri. Salahkan menebuk dinding atau menendang pintu yang terkunci demi menyelamatkan seisi keluarga yang terkepung? Atau awal-awal membuka pintu atau membuka jendela bagi memudahkan keluar masuk udara nyaman. Ugamawan dan ilmuan patut ke depan dan memulakan langkah ini, menghakis persepsi buruk yang telah yang telah dipatri musuh Islam. Lainlah kalau kita beranggapan tidak berdosa membiarkan umat lemas dalam kemaksiatan. Membiarkan bukan ahlinya mengambil tanggungjawab menyebabkan kekalutan dan persepsi buruk itu menjelma kebenarannya.

Sanggupkah kita melihat generasi kita yang akan datang, tumbuh sebagai generasi yang sudah hilang jati diri, membuang pedoman agama, menerus kebejatan dan kesengsaraan akhlak dan moral? Kerja ugamawan dan ilmuan bukan hanya memulih masyarakat yang sudah rosak tetapi memelihara masyarakat daripada rosak. Poligami salah satu jalannya. Tepuk dada tanya iman kerana tanya nafsu akan bawa pada celaka.

Sebagai panduan.


Tulisan ini tiada kena mengena dengan penulis. Ia hanya lontar minda untuk direnung bersama. Takbir!!!!!!!!

Tuesday, November 10, 2009

Cubaan kaitkan Keganasan Penyokong dengan PAS

Biarpun perlawanan akhir bolasepak Piala Malaysia yang menemukan Kelantan dengan Negeri Sembilan sudah berakhir, bisanya masih terasa dan kudisnya dikoyak rabak supaya darah dan lendir keganasan itu terpercik atau meleleh di muka pimpinan Kelantan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, kerugian yang paling besar akibat keganasan penyokong Kelantan. "Kerusi sahaja 224 buah rosak, ada yang terbakar, rosak terus dan 'tumbang', nilai satu kerusi ialah RM500 dan untuk kerusi sahaja nilainya sebanyak RM112,000."Pintu pagar untuk orang kurang upaya (OKU) rosak, pagar merah dan kuning juga rosak, tandas dalam stadium dan tempat letak kereta juga rosak dan jumlah kerosakan pada malam itu sahaja bernilai RM214,000,"

Kalau benar begini, ganas betul penyokong Kelantan. Apa sudah hilang akal ke orang Kelantan kerana bolasepak? Kemaruk kemenangan sangat ke? Jahat sangat ke orang Kelantan? Pada mulanya, penulis seakan menerima keganasan penyokong yang digambarkan media walaupun dilubuk hati tidak mempercayai kerosakan sebegitu besar angkara penyokong Kelantan.

Cuma bila membaca kenyataan Ahmad Shabery, penulis mula yakin. Yakin ada cubaan untuk mencemarkan dan mensabotaj Kelantan. Beliau, tidak menolak kemungkinan kelakuan ganas pada malam itu mungkin disebabkan kerana ada penyokong yang mencampuradukkan politik dan sukan. "Saya lihat penyokong banyak bawa lambang parti politik. Saya rasa pelik kerana ini merupakan sukan yang melibatkan orang ramai dengan semangat kesukanan yang salah satu cirinya ialah menghormati lawan. "Tetapi apabila dikaitkan lambang kelab dengan lambang politik tertentu, itu mungkin sebabkan keghairahan dan kegilaan mereka untuk berbuat demikian seolah-olah kalau menang (perlawanan), menang parti itu," katanya.

Persoalannya, Apa kaitan lambang politik dengan rosakan stadium? Atau menteri menuduh mereka yang membawa bendera itu yang membakar kerusi dan rosakkan stadium? Apakah dengan adanya sentimen politik mereka hilang kawalan dan menjadi penjahat yang merosakkan harta awam? Kita sekian maklum, mereka yang mempunyai kesedaran politik ialah mereka yang bertanggungjawab, apa parti sekalipun. Ini kerana penglibatan dalam politik adalah atas dasar tanggungjawab membela agama,bangsa dan negara. Kenapa penyokong politik pula dipersalahkan. Atau hanya kerana Kelantan di perintah PAS, penjahatnya dari PAS?

Bolasepak Kelantan disokong dan didokong oleh PAS dan UMNO. Sekalipun pimpinan KAFA dikemudi UMNO tetapi Kerajaan PAS Kelantan memberi sokongan penuh. Hampir kesemua exco Kelantan termasuk Timbalan Menteri Besar hadir ke Stadium. Pimpinan Teringgi UMNO Kelantan juga hadir. Datuk Mustapa dan Awang Adek siap berposing di sebelah Tengku Mahkota Kelantan lagi. Usah pukul anak sindir menantu. Nanti anak derhaka, menantu kahwin lagi.

Persoalan kedua, Dimana kawalan keselamatan oleh pihak keselamatan? Kalau ceramah politik Pakatan Rakyat, polis beribu. Stadium yang mana penyokongnya telah mencatat sejarah keganasan (konon) yang memenuhi hampir keseluruhan stadium, kenapa tidak dikawal rapi? Adakah pihak keselamatan yakin dengan keselamatan yang sedia ada? Sikap liar penyokong dan sikap bias pemimpin tidak akan menguntungkan mutu bolasepak kita. Sikap profesional pengurusan dan peminat bolasepak semestinya digabungjalinkan demi membangunkan bola sepak tanah air.

Saturday, November 7, 2009

Bai'ah Talak isteri bertentangan Dengan Islam?

Kaedah Fiqh yang mendahului hak umat atau jemaah dari hak individu telah dipertegaskan oleh Imam Ghazali dan orang selainnya mengharuskan menyerang orang-orang Islam jika mereka dijadikan perisai oleh musuh dengan syarat-syarat tertentu, walaupun sudah merupakan satu ketetapan bahawa memelihara darah seorang muslim adalah wajib. Tidak dibenarkan menumpah darah orang Islam tanpa hak. Lalu, bagaimana Al-Ghazali mengharuskan memerangi orang-Orang Islam yang menjadi perisai musuh yang kafir?

Sesungguhnya Al-Ghazali dan orang yang sependapat dengannya berani mengharuskan yang demikian adalah untuk memelihara umat dari kebinasaan. Seorang individu boleh diganti, tetapi suatu umat tidak ada tukar ganti.

Syarak mengutamakan jemaah dari individu. Menjaga umat Islam lebih utama dari menjaga seorang muslim. Ini adalah maksud syarak yang sudah muktamad.Al-Ghazali memberi dalil:
" Tentu kita tahu bahawa jika bertemu dua keburukan (mudarat) maka syarak menyuruh supaya menolak mudarat yang lebih besar".

Isu Bai'ah Talak isteri telah dipolitik dan ditafsirkan secara salah. Allah telah menjelaskan tentang perkara yang halal tetapi dibenci oleh Allah ialah talak. Hadis Abu Daud dan Ibnu Majah menyebut:

Ini bermakna talak bukanlah haram secara qati'. Akan tetapi mengkhianati jemaah Islam seum pama lari dari medan perang. Ia adalah dosa besar. Ianya akan memberi implikasi yang besar kepada ummah. Ummah lebih besar daripada keluarga. Ummah perlu didahulukan berbanding dengan keluarga. Tercerai itu hanya ikatan suami isteri yang tidak semestinya rosak segala institusi rumahtangga itu kecuali bagi mereka yang tidak beriman dan berpedomankan cara hidup Islam.

Jemaah mesti diberi keutamaan sebagaimana ditegaskan oleh Rasulullah melalui Riwayat Ahmad menyebut :
قال النبي -صلى الله عليه وسلم- : ((الجماعة رحمة والفرقة عذاب))
"Jemaah itu adalah rahmat dan perpecahan itu adalah azab"

Hadis Riwayat Abu Dawud juga menegaskan :" tetaplah dalam jemaah dan hindarilah perpecahan, maka sesungguhnya syaitan bersama yang bersendirian, dan jauh dari yang berduaan. Siapa yang ingin masuk syurga maka hendaklah ia tetap dalam jemaah".

Bia'ah talak isteri hanya untuk mereka yang memimpin (kalau tidak sanggup jangan jadi pemimpin) bagi mengelak mudarat yang lebih besar seperti lompat parti yang menyebabkan masalah besar kepada negeri dan jemaah Islam. Meninggalkan jemaah Islam menyebabkan syariat Islam tidak dapat ditegakkan. Kegagalan menegakkan syariat Islam kerana belot seseorang pemimpin daripada jemaah Islam menyebabkan individu itu akan menanggung dosa rakyat seluruh negeri atau negara. Rakyat juga diletakkan dalam keadaan ketidaktentuandan rasa dikhianati. Ketika itu apalah nilai seorang pemimpin dan seorang isteri?

Kita boleh saksikan di negeri Perak, akibat pecah amanah 3 orang ADUN, seluruh negeri Perak diletakkan dalam keadaan ketidaktentuan. Pemimpin nyamuk seperti ini tidak boleh dibiarkan wujud dalam kepimpinan Islam. Mencegah lebih baik daripada mengubat.

Kecewa!

Kecewa...... Barangkali tidak keterlaluan bagi penulis dan teman-teman yang mengharapkan pasukan Kelantan menjulang Piala Malaysia buat kali pertama. Penulis bukan keseorangan yang meletak harapan tinggi kepada para pemain untuk menjulang Piala Malaysia. Seluruh warga Kelantan mempunyai impian yang sama.Buktinya, Stadium Bukit Jalil hampir dipenuhi penyokong Kelantan. Penyokong Kelantan yang berjumlah 60.000 memberi sokongan padu kepada pasukan Kelantan pada awal bertukar sunyi dan letupan demi letupan berbunyi.

Sebahagian penyokong Kelantan di perantuan yanmg kecewa dengan mutu permainan dan kekalahan pasukan Kelantan.

Pertahanan yang lemah, hantaran yang tidak tepat dan kesilapan demi kesilapan yang dilakukan oleh pemain Kelantan telah mendatangkan kecelakaan kepada pasukan Kelantan setelah tewas kepada negeri Sembilan 3-1. Mungkin sekiranya, rangkaian serangan awal diletakkan di atas bahu Khalid Jamlus dan Che Hisamuddin keadaan akan berubah. Itu hanya andaian penulis yang melihat bola banyak berlegar ditengah padang.

Dalam debaran mengharapkan gol Kelantan tiba, penulis turut berdebar menyaksikan aksi penonton. Bermula dengan lontaran objek di tengah padang, disusuli dengan letupan mercun, ditambah lontaran yang menitiskan darah juru kamera RTM merebak kepada jatuhan kain rentang dan membakarnya. Selain itu, kerusi penonton turut dibakar. Aksi ini sungguh mengecewakan sekalipun menyedari harapan peminat Kelantan amat tinggi.

Pada dasarnya, di atas kertas, Kelantan sudah kalah kerana rekod pertemuan Kelantan-Negeri Sembilan sebelum ini menyebelahi Negeri Sembilan. Selain itu, dari segi pemain, Negeri sembilan memiliki sebahagian besar pemain skuad Kebangsaan dan bekas pemain kebangsaan.Era melinium ini juga menyaksikan Negeri Sembila sudah 2 kali ke perlawanan Akhir. Kalah kepada perak dan Perlis. Berbanding dengan Kelantan yang menuju ke perlawanan akhir setelah 39 tahun. Namun media telah memberi harapan tinggi kepada pasukan Kelantan untuk menjulang Piala Malaysia buat kali pertama.

Apapun syabas dan tahniah. Masa masih ada. Ada hikmah disebalik semua ketentuan ini. Kepada peminat Kelantan, hati-hati dalam perjalanan semoga anda sekelian selamat pulang bertemu sanak keluarga dan memulakan tugas.

Friday, November 6, 2009

Setahun Berblog

Genap setahun berblog. Suatu masa yang cukup bererti dalam melayari liku-liku hidup. Rakaman peristiwa dan analisis isu telah menjadi penulis agak sibuk dan lebih prihatin terhadap apa yang berlaku disekitar penulis. Hasrat dan cita-cita untuk menjadi daie dan mata rantai perjuangan agama dan kebenaran sedikit sebanyak dapat dicapai melalui ruang ini.

Kita diajar untuk hidup dengan memberi munafaat kepada orang lain dan turut prihatin terhadap apa yang berlaku disekitar kita supaya kita dapat membantu atau paling tidak merasa insaf dengan apa yang Allah telah takdirkan kepada kita. Sabda Rasulullah :

خير الناس أنفعهم للناس

Maksudnya: Sebaik-baik manusia, ialah manusia yang memberi munafaat kepada orang lain.

Blog juga menjadikan penulis lebih rajin memutalaah buku-buku untuk mencari bahan tulisan dan menjawab isu-isu yang diutarakan ataupun berlaku sekitar. Selain itu, kerajinan untuk melakukan aktiviti turut teransang demi untuk mendapatkan bahan.

Namun demikian, penulis sedar dan insaf, kekadang apa yang tulis tidak disenangi oleh mereka tertentu. Sekiranya itu, kesilapan penulis, jutaan kemaafan dipohon dan insyaallah akan diperbaiki. Akan tetapi, jika disitu ada kebenaran, sama-samalah kita kutip kebenaran itu untuk dijadikan bekalan hidup kita. Semoga Allah meredhai usaha kita yang sedikit ini.

Capaian pembaca 6,992, masih terlalu kerdil dan masih bersifat local. Sekalipun kekadang beberapa tulisan penulis telah disiarkan dalam sabahkini, Tkodaily, Sabahdaily dan beberapa web dan blog lain. Penulis mesti memuhasabah kelemahan dan kekurangan tulisan supaya tulisan ini lebih berkesan dan mutunya dapat memberi munafaat kepada Islam dan kerja dakwah.

Mampukah Sejarah Terukir

Malam ini pasukan Kelantan akan turun bertarung di Stadium Bukit Jalil untuk mencipta sejarah baru dalam kancah Bola Sepak Piala Malaysia dan Kelantan sendiri. Pasukan Red Warriors akan turun menentang pasukan yang telah dikalahkan dalam separuh Akhir Piala FA, tahun ini, Negeri Sembilan.

Pasukan Negeri Sembilan dilihat lebih mantap kerana mempunyai pemain-pemain yang ternama dan lebih berpengalaman seperti Hairudin Omar, Rizal Zambery, Idris Karim, kembar zakuan dan Shukur Adam serta bakat-bakat muda yang boleh diharapkan. Apatah lagi mereka belum pernah kalah dalam perlawanan piala Malaysia. Pasukan Kelantan dilihat lebih bersemangat untuk mencipta sejarah untuk peminat-peminat negeri Kelantan.

Kejayaan Kelantan ke perlawanan Akhir piala Malaysia bagaikan hadiah besar kepada peminat-peminat bolasepak Kelantan. Hampir 60,000 warga Kelantan akan membanjiri Stadium Bukit Jalil. Mereka sanggup menghabiskan duit dan mengambil cuti untuk memberi sokongan moral kepada pasukan Kelantan yang kali ke 2 mara ke perlawanan akhir sejak diperkenalkan piala Malaysia dan Piala Malaya.

Sokongan ini bukan hanya daripada rakyat Kelantan, bahkan Kerajaan Negeri Kelantan yang turun berbangga dengan pancapaian ini. Cuti hari Ahad 7 November telah diberikan bagi melegakan perjalanan penyokong-penyokong Kelantan pulang daripada memberi sokongan kepada Pasukan kelantan di Stadium Bukit Jalil. Selain itu, hadiah 300,000 telah dijanjikan untuk para pemain dan pegawai KAFA menunaikan umrah sebagai tanda kesyukuran kepada Allah. Skrin besar akan turut dipaparkan oleh Exco belia untuk memberi kemudahan kepada penyokong yang tidak berpeluang ke Stadium Bukit Jalil menyaksikan pasukan mereka beraksi di peringkat final Piala Malaysia. Tajaan tiket oleh ADUN dan individu-individu turut menyemarakan sokongan.

Segalanya bagaikan sudah bersama Red Warriors ini. Cuma tergalas di bahu pemain untuk merealisasikan harapan peminat dan rakyat kelantan untuk pertama kalinya membawa pulang Piala Malaysia ke negeri Kelantan. nama-nama pemain dan pegawai KAFA sekarang akan dikenang dalam lipatan sejarah Kelantan kerana jasa ini. Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz telah menyatakan kesediaannya untuk menjadikan tahun 2010 sebagai tahun bolasepak Kelantan. Sentimen Politik yang selalu menjadi pertikaian antara Tuan Guru dan Datuk Anuar Musa telah dibuang jauh-jauh demi memartabatkan mutu Bolasepak Kelantan dan kejayaan Pasukan Kelantan.

Kepada peminat dan penyokong Kelantan,

Contohilah sikap pemimpin kita yang boleh berkompromi untuk kemajuan dan maruah negeri. jauhilah daripada membawa bendera parti, membakar mercun, mengeluarkan kata-kata kesat dan anasir-anasir buruk. Banyakkan doa supaya segalanya berjalan lancar dan berkesudahan dengan harmoni sesuai dengan semangat kesukanan. Orang Kelantan terkenal dengan budi pekerti dan wara'nya. Buktikan saudara.... selamat berjuang dan selamat maju jaya.

Thursday, November 5, 2009

Ketulenan Aqidah Dinding Perkauman

Genghis Khan pernah mengungkap bahawa " Orang-orang Monggol hanya dapat dikalahkan oleh orang Monggul juga".

Kebuasan Tartar Monggol tiada tara bandingannya. Mereka berperang untuk kemegahan, harta dan wanita. Kejahatan dan kebuasan ini menyebabkan mereka menjadikan Islam sebagai pemangsanya. Satu demi satu wilayah kekuasaan Abbasiyyah menjadi ratahan mereka. Akhirnya mereka berjaya meruntuhkan Kerajaan Abbasiyyah yang telah memerintah selama 500 tahun dan membunuh khalifah terakhir Kerajaan Abbasiyyah.

Namun demikian kemaraan mereka disekat oleh bangsa mereka sendiri yang telah memeluk Islam. Berke Khan sepupu kepada Hulagu Khan menjadi ancaman yang cukup besar kepada kebuasan nafsu serakah Monggol. Berke Khan dan Baibar yang telah bergabung dengan pemerintah Mamalik, Saifuddin Qutuz dan bekas ketua perang Abbasiyyah, Rukunuddin Al-Daudar telah menyekat dan menewaskan tentera Hulagu Khan di Ain Jalut.

Kekalahan Hulagu Khan ini merupakan titik tolak kepada kemuraman kemaraan tentera-tentera Monggol. Cubaan membalas dendam Hulagu Khan juga berjaya disekat Berke Khan. Tentera Monggol pimpinan Hulagu Khan tewas sekali lagi di Kaukasus.

Malah sebelum Berke Khan bertindak membantu tentera Islam, baginda telah mengirim ulama kepada Mongke Khan (Pemerintah Mongol selepas kematian anak Genghis Khan, Tolui). Tujuan utusan tersebut adalah untuk memberi amaran tentang bahayanya sekiranya Hulagu Khan menakluk pemerintah Islam di Timur Tengah.

" kami sudah menganut ajaran Islam. Sekiranya saudara kami diperangi , kami akan membantu saudara seagama kami. Bagi mengelak berlaku perang saudara sesama kita, maka jangan memerangi orang Islam."

Utusan ini menyebabkan Mongke Khan, abang kepada Hulagu Khan menangguhkan usaha untuk menakluk wilayah Islam.

Keingkaran dan kerakusan Hulagu Khan yang menyerang dan meragut kententeraman wilayah-wilayah dan umat Islam menyebabkan Berke Khan bertindak terjun ke medan perang. Berhadapan sepupunya Hulagu Khan. Tiada lagi soal kekeluargaan dan kebanggan bangsa Monggol. Persetan semangat dan maruah anak cucu Genghis Khan. Saudara seagama, jauh lebih penting daripada saudara sepupu dan berbangsa yang sama. Persaudaraan Islam membawa ke akhirat. Berke Khan telah membuktikan ketulenan Aqidah pemisah Perkauman.

Tindakan Berke Khan mempertahankan Islam dan mengalahkan Hulagu Khan beberapa kali telah mematahkan semangat dan mengecewakan Hulagu Khan untuk memerangi Islam sehingga dia mengambil keputusan berkubu di Azerbaijan dan melupakan peperangan sekalipun didesak olah anak Abaqa dan isterinya Dokuz Khatun yang beragama Kristian. Ketakutannya juga membuatkan Hulagu Khan berwasiat supaya mayatnya disemadikan di tengah Tasik Urmia.

Sikap mengutamakan saudara seagama dan membelakangkan semangat kebangsaan berjaya menyelamat dan membina ummah. Kita contohi Berke Khan yang bersedia melupakan keagungan datuknya Genghis Khan demi menyelamatkan Islam. Cuba kita bayangkan, apa akan terjadi kepada umat Islam pada ketika itu dan sekarang jika Berke Khan mengambil sikap setia bersama bangsanya dan sama-sama memerangi Islam? Justeru itu, perjuangan sempit perkauman merugikan agama, bangsa dan negara.

Tuesday, November 3, 2009

Akhir Piala Malaysia : Cuti Umum Langkah Bijak

Tindakan Kerajaan Negeri Kelantan mengisytiharkan cuti pada Ahad ini 8 November bersempena perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia antara pasukan Kelantan menentang Negeri Sembilan disifatkan sebagai langkah bijak dan prihatin.

Cuti pada Ahad 8 November lebih bermakna kepada peminat bolasepak Kelantan jika dibandingan dengan imbuhan kemenangan kepada para pemain sepertimana dilakukan oleh Pasukan Negeri Sembilan. Kemenangan dan kejayaan pasukan Kelantan layak ke perlawanan Akhir buat pertama kali setelah 39 tahun layak dikongsi bersama antara pemain dan penyokong bolasepak Kelantan. Tanpa sokongan padu peminat Kelantan siapalah pemain dan pasukan Kelantan. Sumbangan penyokong Kelantan amat besar terhadap kebangkitan pasukan Kelantan pada musim ini.

Lebih 50,000 penyokongan Kelantan dijangkakan akan membanjiri Stadium Bukit Jalil sabtu ini untuk memberi sokongan kepada pasukan kesayangan mereka, Kelantan. Perjalanan yang jauh ditambahkan dengan bebanan kerja keesokkan harinya, pasti membebankan dan membahayakan perjalanan. Apalah gunanya Piala Malaysia sekiranya bakal ada anak yang menjadi yatim, isteri menjadi janda, ibubapa kehilangan anak? Mereka mesti diberi kelapangan masa untuk mengatur pemanduan dengan selamat dan dapat melaksanakan kerja dengan sempurna pada hari seterusnya.

Inilah kebijaksanaan kepimpinan Ulama yang berjiwa insan dan prihatin masyarakat. Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan lebih melihat kepada maslahah ammah berbanding membanjiri kelompok kecil pemain yang pasti dinobatkan sebagai wira dengan habuan keduniaan. Pemain Kelantan bermain untuk mengangkat maruah negeri Kelantan melalui bolasepak. Itu sudah menjadi tanggungjawab mereka sebagai pemain bolasepak bukan untuk mencari habuan kekayaan.

Kalau pemain memerah keringat untuk mencari kemenangan, penyokong juga memerah keringat dan kewangan untuk menyokong pasukan. Maka tidak wajarlah keselamatan dan nyawa dipertaruhkan semata-mata untuk memberi sokongan kepada pasukan negeri. Cuti Umum hari Ahad adalah wajar dan langkah keselamatan dalam menjaga kebajikan rakyat.

Pejuang Bangsa ?? ? : Respon Sdr Rosli

Saudara Pengarang,

Bangsa adalah ketetapan Allah kepada setiap manusia. Ketetapan ini bukan bermaksud Allah melebihkan mana-mana bangsa di atas dunia ini. Antara makhluk, Allah lebih manusia kerana manusia memikul tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi. Tugas khalifah ini memakmurkan bumi dengan menegakkan syariat Islam dan mententeramkan dunia dengan Islam. Sebab itu Allah menegaskan manusia adalah sebaik-baik kejadian. Tidak pula disebutkan bangsa mana yang terbaik di dalam Al-Quran. Malah Bani Isreail yang paling ramai nabi dari kalangan mereka , dilaknat oleh Allah, lantaran keingkaran dan kekaguman mereka kepada bangsa mereka.

Saya berterima kasih kepada saudara Rosli Alin yang telah memberi komen kepada berita yang saya tulis berkaitan pejuang bangsa pengkhianat , telah disiarkan oleh Sabahkini. Pertembungan kefahaman dan respon Saudara Rosli Alpin sebenarnya baik untuk perkembangan ilmu dan percambahan idea walaupun saya bukanlah orang yang terbaik untuk membincangkannya secara ilmiah. Namun dengan sekadar ilmu yang ada, saya yakin, kita dapat berkongsi untuk mencari kebenaran ilmu Allah SWT.

Respon kepada soalan pertama saudara Rosli :

Kenapa bangsa yang dikaitkan dengan pengkhianatan kepada Allah?

Soalan yang sebenarnya, Kenapa pejuang bangsa dikaitkan dengan pengkhianat kepada Allah.

Respon:

1. Masyarakat Arab Jahiliah dikategorikan sebagai jahiliah kerana sikap taasub pejuang bangsa yang mendakwa bangsa mereka layak itu dan ini.

2. Antara sebab pengutusan Rasul juga adalah untuk membasmi dan merubah pejuang-pejuang bangsa ini. Antara pejuang-pejuang Bangsa yang terkemuka zaman nabi seperti Abu Lahab, Abu Jahal, Mughirah, Abu Sufian dan ramai lagi. Mereka menentang Rasulullah kerana dianggap ajaran Rasulullah bertentangan dengan ajaran nenek moyang mereka.

3. Halangan perpaduan berhubungkait dengan semangat Asobiyyah (mementingkan puak masing-masing). Asobiyyah ini membuatkan manusia fanatik kepada bangsa masing-masing. Mendakwa bangsa mereka patut mendapat itu dan itulah yang menyebabkan Allah menghina Bani Isreail. Semua bani Isreal, jahat ke? Nabi Musa, Nabi Yaakub, Yusof, Daud dan ramai lagi Rasul dari kalangan mereka. Bangsa Yahudi berulang-ulang kali melakukan cubaan untuk membunuh Rasulullah. Bahkah Buhaira' seorang pendita Yahudi, setelah melihat pada Muhammad itu ada tanda-tanda kerasullan, ketika Abu Talib membawa nabi berniaga di Syam, Beliau memerintahkan kepada Abu Talib segera membawa nabi pulang kerana dibimbangi akan dibunuh orang kaum Yahudi. Pejuang Bangsa Yahudi mendakwa mereka bangsa yang terbaik dan orang yang terbaik (Rasul) mestilah dari kalangan mereka.

4. Rasulullah menafikan seorang pejuang Ansor, Qotzman yang terbunuh di dalam perang sebagai pahlawan neraka. Apakah Rasulullah tidak mahu mengiktiraf sumbangan pahlawan Ansar ini. Beliau telah berjuang mati-matian kerana ingin membela bangsanya bukan agamanya. Saidina Ali pernah membatalkan hasratnya memancung kepala musuhnya, kerana diludah oleh musuh perang. Ini kerana niat Ali berperang sudah berubah. Niat berperang kerana Allah sudah menjadi kerana nafsunya akibat diludah.

5. Seandainya perjuangan berteraskan bangsa yang paling layak adalah pejuang bangsa Yahudi. Mereka bangsa yang mempunyai kehebatan mengatasi bangsa lain. Mereka bangsa yang bijak, kaya,berpengaruh dan disebut di dalam kitab-kitab suci seperti Injil, Taurat dan Al-Quran. Mereka sendiri mempunyai kitab Talmud. Akan tetapi dimana-mana bangsa Yahudi ini bertapak , mereka dihalau dan diperangi. Sehingga sekarang mereka berjuang untuk menguasai semenanjung Arab tetapi masih melalui ranjau yang berapi. Ini kerana Yahudi terlalu kagum dengan bangsa mereka dan meletakkan bangsa lain sebagai bangsa yang hina. Mereka sanggup membunuh kerana menjaga kemuliaan bangsa mereka.

6. Realiti hari ini pun kita melihat, perjuangan yang berteraskan kebangsaan telah memporak perandakan negara. Masing-masing pejuang bangsa cuba membela bangsa mereka. Mereka mahukan bangsa mereka dilebihkan. Persoalannya, bangsa mana mahu hak mereka dikurangkan? Kalau masing-masing mahu lebih dan tidak mahu mengalah.... Apa akan jadi?

7. Berapa ramai pemimpin dan pejuang bangsa terpaksa berpura-pura dihadapan bangsa mereka bahawa mereka pejuang bangsa mereka? Akan tetapi, hakikatnya mereka melalui jalan sukar untuk mempertahankan kelebihan bangsa. Apa lagi, andainya pejuang bangsa itu dari kalangan mereka yang jauh dengan bimbingan Allah SWT. Semestinya mereka akan jadi pengkhianat Allah untuk mendapat hak bangsa mereka. Bahkan Allah sanggup dilawan bila hak bangsa mereka tidak diberikan sepertimana yang berlaku kepada Bani Isreail.

8. Tiada suatu kitab Sahih pun milik bangsa tertentu yang menerangkan kelebihan bangsa tertentu dan bangsa lain perlu menghormati hak-hak bangsa ini. Kalau sekadar catatan sejarah yang kerap dimanipulasikan oleh mereka berkepentingan... siapalah yang akan akur dan tunduk taat kepada cebisan catatan itu?

9. Pejuang bangsa adalah didikan penjajah yang telah berjaya melaksanakan dasar pecah dan perintahnya bagi mengekalkan kuasa dan pengaruh mereka di mana-mana tempat tanah jajahan mereka.

10. Realiti di Sabah juga, pejuang bangsa tidak layak memimpin kerana kita mempunyai kepelbagaian bangsa atau suku yang paling banyak di Malaysia.Mengutamakan bangsa atau suku tertentu bagaikan menyuburkan api dalam sekam yang membarah dijiwa-jiwa ummah. Masa dan ketika meletup, tiada ubat, tiada penawar.

11. Allah tidak pernah memuliakan mana-mana bangsa di atas dunia ini sekalipun bangsa Isreail dan bani Quraisy. Ini berdasarkan kepada firmanNya dalam Surah Al-Hujurat; Ayat :13

يا أيها الناس إنا خلقناكم من ذكر وأنثى وجعلناكم شعوبا وقبائل لتعارفوا إن أكرمكم عند الله أتقاكم إن الله عليم خبير.

Rasulullah memperjuangkan persamarataan hak sesama manusia. Apa bangsa sekalipun dia. Pada sisi Allah yang paling mulia adalah mereka yang paling tinggi taqwanya kepada Allah.Sekalipun Rasulullah berbangga dengan bangsa Quraisynya, Rasulullah tidak mengetepikan hak bangsa lain. Bahkan Khulafa' Ar-Rasyidin bermula dengan Bani Tamim, Bani Adi, Bani Umaiyah dan Bani Hasyim.

Tradisi bangsa yang tidak bercanggah dengan syariat dan tidak menindas orang lain bebas dilaksanakankan kerana itu keunikan bangsa.Berbanggalah seadanya kerana kita tidak memilih sendiri bangsa kita. Bangsa ditentukan Allah, hidup kita ditentukan Allah. Kita iktihiar dan berjuang dalam lingkup keharusan dan ketetapan syarak. Ingatlah, As-Syahid Hassan Al-Banna pernah menyebut : Kewajipan yang kita pikul lebih banyak daripada masa yang kita ada". Justeru itu, kenapa kita bazirkan sisa masa ini dengan memperjuangan perkara yang boleh menjurus kita ke neraka Allah? Neraka tempat yang paling layak bagi pengkhinatan kepada Amanah Allah.

Sekadar itu, termampu saya lontarkan hujah dan pandangan bagi mengukuhkan berita yang saya tulis mengenai tazkirah guru saya Ust Ghani Syamsuddin.Bukan untuk berdebat, jauh sekali untuk menegakkan benang basah. Kita sama-sama berusaha mencari kebenaran dan menyebarkan luaskan rahmat Allah dimuka bumi.Yakinlah, tiada sesuatu yang sempurna kecuali Allah SWT. Semoga dapat kita kongsi bersama.

Berkenaan persoalan ke 2, saudara Rosli, InsyaAllah, jika diberi kesempatan, saya akan memberi responnya.Bagaimana pula dengan mereka yang kononnya berjuang menegakkan agama Islam tapi pada masa yang sama berusaha untuk memutuskan tali silaturrahim serta memporak-prandakan bangsanya sendiri bagi tujuan kepentingan dan kesenangan diri dan puak-puak.

Terima kasih Saudara Rosli Anjun atas perbincangan ini.

Anak Legeh Di Perantauan | Template by - Abdul Munir - 2008