Saturday, July 25, 2009

Tangannya terbakar Kerana Beri Ibu Minum

Seorang gadis datang menemui Rasulullah dengan tangan kanannya disorokkan ke dalam poket bajunya. Dari raut wajahnya, anak gadis ini sedang menanggung kesakitan yang amat sangat. Lalu Rasulullah menegurnya.


"Wahai anakku, kenapa wajahmu menampakkan kamu sedang kesakitan dan apa yang kamu sorokkan di tanganmu?"

Lalu gadis malang ini pun menceritakan hal yang berlaku padanya :- "Ya, Rasulullah, sesungguhnya aku adalah anak yatim piatu. Malam tadi aku telah bermimpi dan mimpiku itu telah membuatkan aku menanggung kesakitan ini." Balas gadis tadi.

"Jika tidak jadi keberatan, ceritakanlah mimpimu itu wahai anakku." Rasulullah mula tertarik dengan penjelasan gadis tersebut."Aku bermimpi berjumpa ibuku di dalam neraka. Keadaannya amat menyedihkan. Ibuku meminta diberikan air kerana dia amat dahaga kerana kepanasan api neraka itu hingga peluh tidak sempat keluar kerana kekeringan sekelip mata." Gadis itu berhenti seketika menahan sebak. "Kemudian ku lihat di tangan kirinya ada seketul keju dan di tangan kanannya ada sehelai tuala kecil.

Beliau mengibas-ngibaskan kedua-dua benda tersebut untuk menghalang api dari membakar tubuhnya. Lantas aku bertanya ibuku, kenapa dia menerima balasan sebegitu rupa sedangkan ketika hidupnya ibuku adalah seorang hamba yang patuh dengan ajaran Islam dan isteri yang taat kepada suaminya?
Lalu ibuku memberitahu bahawa ketika hidupnya dia amat bakhil. Hanya dua benda itu sahaja iaitu seketul keju dan sehelai tuala kecil pernah disedekahkan kepada fakir. Yang lainnya hanya untuk bermuka-muka dan menunjukkan kelebihan hartanya sahaja.


Lalu aku terus mencari ayahku. Rupanya beliau berada di syurga dan sedang menjamu penghuni syurga dengan makanan yang lazat dan minuman dari telaga nabi. Ayahku memang amat terkenal kerana sikapnya yang dermawan dan kuat beramal. Lalu aku bertanya kepada ayahku. "Wahai ayah, ibu sedang kehausan dan menaggung azab di neraka. Tidakkah ayah ingin membantu ibu sedangkan di dunia ku lihat ibu amat mentaatimu dan menurut perintah agama.

Lalu dijawab oleh ayahnya. Sesungguhnya beliau dan semua penghuni syurga telah dilarang oleh Allah dari memberi walau setitik air kepada isterinya kerana itu adalah pembalasan untuk kebakhilan yang dilakukan ketika di dunia.

Oleh kerana kasihan melihat azab yang diterima oleh ibuku, aku lantas menceduk sedikit air mengguna tapak tangan kananku lalu dibawa ke neraka.

Belum sempat air tersebut mencecah bibir ibuku, api neraka telah menyambar tanganku sehingga melecur. Seketika itu juga aku tersedar dan mendapati tapak tanganku melecur teruk.

Itulah sebabnya aku datang berjumpa engkau ya Rasulullah. Panjang lebar gadis itu bercerita sambil airmatanya tidak henti-henti mengalir di pipi.

Rasulullah kemudian meletakkan tongkatnya ke tapak tangan gadis tersebut lalu menadah tangan, berdoa memohon petunjuk dari Allah. Jika sekiranya mimpi gadis tersebut adalah benar maka disembuhkanlah agar menjadi iktibar kepada beliau dan semua umat Islam. Lalu berkat kebesaranNya tangan gadis tersebut sembuh.

Rasulullah lantas berkata, "Wahai anakku, pulanglah....Banyakkan bersedekah dan berzikir dan pahalanya kau berikan kepada ibumu. Mudah- mudahan segala dosanya terampun. INSYALLAH"

"WAR-WARKANLAH KPD SELURUH UMAT MUHAMMAD UNTUK SECEBIS PEDOMAN AGAR TIDAK MENGAMAL SIKAP KEBAKHILAN TERHADAP SESAMA MANUSIA...........SEBARKANLAH.

Friday, July 24, 2009

YB Nga Kor Ming

Mula-mula menonton ceramah Pakatan Rakyat negeri Perak, Seperti aku pernah tengok lelaki Cina Ketua Pemuda DAP Perak Ini. Tapi Di mana Yea?? Rasanya macam aku kenal sangat.

Pada pilihanraya Parlimen Bukit Gantang, lelaki Cina ni buat hal. Halnya menjadi bualan ramai termasuk mufti Perak. Nga Kor Ming Membaca ayat Al-Quran dalam ucapannya. Semakin mesteri lelaki Cina ini. Aku dapat mengesahkan bilamana aku membuka egroup kawan-kawan UM aku dulu. Sah lelaki Cina ini adalah rakan seasrama denganku di Kolej Kediaman Ketiga, Universiti Malaya. Roomatenya saudara Wan Daud. Sekarang dengar khabarnya jadi doktor pakar di Kuala Lumpur.

Tak silap aku Nga di tingkat 1 aku di tingkat 3. Pernah juga dia ke bilik aku kerana roomate aku juga cina Lim Kak Chye dari fakulti Sains. Aku memang tidak pernah ke bilik Nga. Memang aku tidak biasa bergaul dengan masyarakat Cina. Maklumlah, dilahirkan dan dibesarkan dalam masyarakat 100% Melayu. Apa lagi di first floor itu majoriti Cina dan pelajar persediaan ke Jepun (program RPKJ). Kami hanya selalu jumpa di Dewan Makan asrama.

Apapun selamat berjuang YB Nga Kor Ming. Sama seperti TOk Guru Nik Aziz harapkan kepada Yb Nga, itu jugalah harapan saya buiat Yb Nga Kor Ming

Wednesday, July 22, 2009

Tsunami Di Lahad Datu

Takut juga bila diberitahu oleh Penceramah bahawa hari ini dijangkakan oleh berita-berita internet bahawa pada jam 2.00 akan berlaku tsunami di Jepun dan Lahad Datu termasuk dalam lingkaran Tsunami tersebut. Seingat penulis, penulis pun pernah terbaca ramalan ini. Kami doakan semoga segalanya selamat.

Namun demikian, ketika En Jubrine sedang menjawab soalan-soalan berkaitan disiplin di sekolah sambil menanti tibanya Ketua Sektor, beberapa orang peserta berteriak... Tuan..... ada gegaran. Ya... gegaran. Kami merasakan seperti berada di atas kereta bergoyang. Peristiwa itu berlaku pada jam 10.8 minit. Ku melihat tepat pada jam. Ianya berlaku dalam masa seminit je. Hati sudah bimbang. Teringat betul ke apa yang sebut dalam berita internet. Alamatnya aruahlah kami 180 orang peserta kursus itu. Alhamdulillah.. selamat juga kami. Sekadar itu sahaja gegaran. Tidak pasti gegaran Tsunami atau gegaran biasa. Pastinya bergegar dan kami takut. Sedikit stress.

Gegaran kedua berlaku sebelum kedatangan perasmi penutup. Tetapi gegaran ini hanya berkitar diperut-perut kami. Hilang serta merta rasa takut tadi kecuali beberapa orang yang agak stress. Hanya peserta kursus sahaja merasai dan mengenali gegaran itu. Terima kasih atas segalanya. Selamat menjalankan "In house Traning."

Tuesday, July 21, 2009

Kursus pengurusan Stress

Sedikit kelam kabut bila dipanggil secara kecemasan untuk menghadiri kursus. Namun menyedari ini sebagai amanah dan juga demi perkembangan kerjaya,penulis gagahkan diri untuk hadir.

Ea.. memang tidak rugi. Hari ini penulis mendapat banyak imput untuk mengurus stress disamping sempat memuhasabah diri melalui borang-borang yang disediakan. Jarang kita memuhasabah diri. Pagi tadi,penulis diberi borang untuk memuhasabah diri, persekitaran,tempat kerja dan jalan menangani stress dengan bimbingan fasilitator.

Turut mengejutkan penulis, bilamana ada modul menangani strees dengan menari dan semua peserta disuruh menari untuk menghilangkan stress.Terus jadi stress. Manalah pernah menari. Nasib baik kopiah telah ditanggalkan,bila dengar desus-desus mungkin peserta diajar menari. Nasib baik. Jika tidak buruk betul........ ikut jugalah gerakkan kaki dan tangan sekadarnya, sebagai tanda memberi kerjasama. Semoga penulis tidak terlebih dalam menghormati peraturan kursus.

Dalam bab begini, seorang penceramah menyebut bahawa, kita orang dewasa ini sering mengalami stress kerana kita terlalu banyak terikat dengan peraturan dan tanggungjawab.Lihat kanak-kanak, mereka dapat lakukan sesuatu perkara dengan gembira kerana mereka tidak terlalu terikat dengan peraturan. Jadi hari ini, kita jadilah kanak-kanak sekejap. Namun penulis tetap sedar pesanan hukama': Hasanatul abrar wasiatul muqarabin. Walaupun malu dan tidak layak untuk mengaku diri sebagai muqarabin.

Kursus yang melinbatkan penolong kanan HEM,Guru Disiplin dan Warden Asrama ini bakal berakhir besok. Sesi lain akan memulakan sesi baru keesokkan harinya. Mudahan dengan pergaulan bau ini mendapatkan munafaat kepada penulis.

Laporan Dari Grace Hotel,LahadDatu. 10.45 malam

Sunday, July 12, 2009

Muhammad Al Fatih: Tarbiyyah Qiadi

Hari ini, 546 tahun yang silam, Muhammad bin Murad melukir satu sejarah dengan menawan kota yang sangat kuat pertahanannya - Konstantinapol.

Tulisan ini cuba melihat bagaimana seorang pemimpin seperti Muhamad Murad yang kemudiannya diberikan gelaran Muhammad Al Fatih, telah berjaya dilahirkan. Adakah di sana satu metod tertentu untuk mencetak pemimpin seperti beliau dan bagaimanakah cara untuk berbuat demikian.

Peribadi dan kepimpinan Muhammad Al Fatih menunjukkan beliau mempunyai ciri berikut;

a. Asuhan dan disiplin Islam yang kuat.
b. Mempunyai matlamat hidup yang ingin dijayakan
c. Kehendak yang kuat
d. Sabar dan ketahanan ruhani yang kuat
e. Pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk misinya, atau mendapatkan bantuan pakar dalam bidang masing-masing bagi tujuan melengkapkan skil berkenaan
f. Ibadah dan pergantungan yang kuat dengan Pencipta

Sebelum isu ini dikupas lebih lanjut, kita tinjau dulu bentuk pertahanan Kota Konstantinapole itu sendiri yang sangat menakjubkan;

Kota ini berbentuk tiga segi. Dua bahagian kota menghadap laut iaitu Selat Bosporus dan Laut Marmara. Bahagian daratan dilingkungi oleh sebuah benteng yang sangat kukuh;

a. Bahagian luar kota dilingkungi oleh sebuah parit besar. Dalamnya 10 meter dan lebarnya 60 meter.
b. Ada dua tembok iaitu tembok luar dan tembok dalam. Tembok luar sahaja setinggi 25 kaki dan setebal 10 meter.
c. Tembok dalam pula setinggi 40 kaki tinggi dan 15 meter tebel.
d. Terdapat menara kawalan sepanjang tembok dalam dengan ketinggian 60 meter!
e. Terdapat 400 battalion tentera terlatih mengawal tembok ini sepanjang masa.

Dengan kedudukan pertahanan seperti itu, hampir mustahil untuk tembok ini dicerobohi.

Di bahagian laut pula, terdapat rintangan rantai besi yang kuat di letakkan di Selat Bosporus yang digunakan untuk menghalang kapal-kapal melepasinya.

Konstantinapole telah menjadi ibu kota Empayar Bizantin untuk berkurun-kurun dan dikenali sebagai kota yang paling makmur dan terkaya di Eropah. Ia terletak di pertemuan antara Asia dan Eropah dan Laut Mediterranean dan Laut Hitam. Justeru, ia sangat strategik baik dari segi perdagangan mahupun geo politik.

Sejak Rasulullah s.a.w mengungkapkan bahawa nanti Kota penting ini akhirnya akan jatuh di tangan seorang pemerentah yang terbaik, memimpin tentera yang terbaik sepanjang zaman, telah banyak percubaan dibuat untuk menawan kota ini, namun tidak berjaya. Sahabat seperti Abu Ayub Al Ansari juga telah berusaha dan mereka telah mengepung kota ini selama tujuh tahun, tetapi masih gagal.

Hanya 800 tahun selepas sabda Nabi yang Mulia itu, sabda yang menakjubkan ini menjadi kenyataan. Sultan Muhammad bin Murad yang kemudian lebih masyhur dengan gelaran Sultan Muhammad Al Fatih telah memulakan pengepungan ke atas Konstantinapole pada hari Khamis, 5 April 1453 dan berjaya membuka kota ini pada 29 Mei 1453, hari tulisan ini dipostkan.

Sungguhpun pengepungan ini berlangsung selama hampir dua bulan sahaja, program penaklukan ini telah berjalan lama!

Ia bermula apabila bapa Sultan Muhammad Al Fatih, Sultan Murad memilih guru-guru yang terpilih untuk mendidik anak raja ini, yang waktu itu, se orang anak yang nakal.

Sejak berumur sembilan tahun, Sultan Muhammad telah mengalami pendidikan disiplin yang ketat. Rasa bebas dan nakal sebagai anak raja yang masih kecil mula berakhir apabila bapa baginda memberikan kebebasan kepada guru-guru beliau untuk membentuk dan mendidik Muhammad.

Rotan turut digunakan oleh gurunya untuk mendisiplinkan anak ini. Dalam satu kejadian, Muhammad telah sengaja dirotan dengan teruknya tanpa sebarang kesalahan yang dilakukan oleh beliau. Tujuan guru beliau berbuat demikian ialah untuk membentuk perasaan belas kasihan dan sikap adil dan saksama dalam jiwa bakal Sultan ini. Supaya nanti baginda dapat mengambil keputusan berpaksikan keadilan dan memahami perasaan orang-orang yang tidak diperlakukan dengan adil!

Sultan Muhammad dibimbing untuk menghafal Al Qur'an. Dilatih untuk sembahyang malam. Dibentuk menjadi wara' dan zuhud. Diasuh mencintai ilmu dan ulama'. Mempunyai budi pekerti yang baik dan perasaan yang halus. Keunggulan pendidikan keruhanian Sultan Muhammad ternyata apabila baginda akan dilantik menggantikan bapanya secara rasmi sebagai pemerentah Kesultanan Uthmaniah, beliau menangis teresak-esak. Gurunya lah yang telah mengarahkan beliau menerima tanggungjawab itu atas hujjah bahawa se orang berkaliber seperti beliau wajib memikul amanah ummah dan itu jihad dan ibadah yang lebih besar.

Pendidikan Sultan Muhammad di istana baginda hampir komprehensif. Sebagai bakal raja dalam persekitaran Eropah dan pusat perdagangan dan diplomatik, baginda dapat berbahasa lebih dari lima bahasa. Sudah tentu baginda fasih dalam bahasa Arab.

Baginda juga diajar matapelajaran sejarah, geografi dan astronomi. Pakar ketenteraan juga diundang untuk memberikan pendedahan ketenteraan kepada beliau.

Lama sebelum program pembebasan Konstantinapole dimulakan, Muhammad Al Fateh telah berbincang dengan pakar sejarah dan ketenteraan mengenai sebab-sebab kegagalan ekpedisi penawanan Konstantinapole sebelum ini. Apa rahsia kekuatan pertahanan kota itu dianalisa. Bagaimanakah caranya untuk mengatasi halangan-halangan itu juga dibincangkan.

Dari perbincangan itu, antara lain mereka mengenal pasti hal berikut;

a. Dinding tembok itu terlalu tebal dan pada waktu itu belum ada teknologi yang boleh meruntuhkannya. Sultan Muhammad telah mengarahkan dicari satu teknologi yang boleh meruntuhkan tembok itu.

Tentera baginda akhirnya berjaya mencipta meriam yang paling canggih dengan bantuan seorang pakar senjata bangsa Hungary yang telah diculik dari kurungan dalam penjara Konstantinapol dengan mengorek lubang bawah tanah yang dalam dan panjang!.

Berat setiap meriam ciptaan baru ini ialah 700 pauns! Ia perlu ditarik oleh 100 ekor kuda dan seratus orang tentera. Bila diletupkan, bunyinya boleh didengar sejauh 13 batu! Setiap tembakannya akan menyebabkan tembok yang kuat berlubang seluas enam kaki. Nah! Benteng besar itu sekarang telah menemui ruasnya.

b. Rantai besi yang kuat yang dirintangi menghalang laluan kapal. Ia menghalang bantuan dan pergerakan melalui laut.

Sultan Muhammad telah mencipta satu plan luar biasa mengatasi halangan ini. Ia adalah antara rekod sejarah yang menakjubkan dari segi kreativiti dan kekuatan keinginan seorang pemimpin. Baginda mengarahkan pembinaan kapal di daratan. Dibuat pada sebelah malam supaya tidak disedari oleh musuh. Mesti disiapkan dalam masa yang singkat. Kapal ini diluncurkan dari daratan sejauh 5km ke lautan dengan meletakkannya tergelunsur di atas batang-batang kayu yang telah diatur dan telah diminyakkan untuk melicinkan perjalanan kapal-kapal itu.

Pada masa yang telah ditetapkan, kapal-kapal ini dilancarkan dari daratan dan muncul di depan Kota Konstantinapole sebelah lautan dengan melepasi rantai besi yang telah terpasang! Ia memeranjatkan tentera musuh. 400 kapal musuh terbakar dan serangan dari lautan berjalan serentak dengan pengepungan sebelah daratan.

c. Lazimnya bila tentera sampai di pantai menghadap Kota ini, mereka terdedah kepada serangan musuh kerana kawasan yang terbuka dan jika sekiranya satu benteng pertahanan mengelakkan serangan hendak dibina, ia memakan masa selama setahun.

Sultan Muhammad telah mengarahkan benteng pertahanan menghadap tembok kota Konstantinapole itu dibina dalam masa tiga bulan dengan menggunakan segala teknik pembinaan semasa yang canggih. Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Konstantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu.Ia memang berjaya disiapkan seperti direncanakan.

Dari mana kekuatan keinginan seorang pemimpin ini diperolehi oleh Sultan Muhammad? Gurunya bukan sekadar menyuntikkan kekuatan ruhani kepada bakal Sultan in, tetapi juga telah menyuntik sikap terbuka terhadap teknik dan teknologi baru yang diperlukan untuk misi mereka. Mereka juga menyuntik sikap berminda strategik dan kreatif.

Sultan Muhammad dapat menganalisa dengan tepat permasaalahan dan mencari jalan penyelesaian terhadap setiap permasalahan itu secara praktikal sebelum melancarkan misinya.

Tetapi yang paling penting, sejak kecil lagi guru-guru baginda telah membentuk minda baginda untuk merasakan dirinya lah yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w sebagai raja terbaik yang memimpin tentera terbaik yang akan dapat membebaskan Konstantinbapole. Sasaran, visi dan misi yang jelas, yang disuntikkan ke dalam minda banginda ternyata berkesan. Dari kecil, Sultan Muhammad mengimpikan bagindalah pembebas itu!

Baginda bergerak selari dengan impian ini. Akhirnya, ia adalah sebiuah kenyataan.

Dari sudut kepimpinan, bapa baginda seorang yang berpandangan jauh. Sejak umur 14 tahun, Muhammad telah diminta menguruskan empayar dengan alasan, bapanya ingin menumpukan kepada ibadah. Namun, dalam dua keadaan kritikal, bapa baginda pulang semula untuk memimpin Kerajaan Uthmaniah. Selepas ancaman kritikal itu diatasi, Muhammad diberikan peluang untuk menguruskan semula empayar yang sedang berkembang itu. Melalui pendedahan berbentuk bimbingan ini, Muhammad terlatih menjadi pemimpin yang berkualiti. Ditambah, sepanjang hayat baginda, guru-guru baginda yang menjadi rujukan keruhanian dan kebijaksanaan, sentiasa bersama baginda. Hatta, ketika pengepungan kota itu berlangsung, gurunya mengimamkan solat hajat semua tentera Sultan Muhammad.

Melihat 150,000 tentera Islam berbaris rapi untuk bersolat di luar kota itu, cukup untuk menakutkan musuh yang sedang berkawal dalam kota!

Pada hari pembukaan Kota Kontantinapole yang bersejarah itu, Sultan Muhammad bersujud syukur. Sepanjang kempen, baginda tidak putus-putus mengarahkan tenteranya bertakbir dan melaungkan slogan-slogan bersemangat, termasuk motivasi berasaskan hadis Nabi bahawa Konstantinapole akan dibebaskan oleh tentera yang terbaik dan merekalah tentera terbaik yang dijanjikan oleh Nabi itu.

Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan di dalam Kota Konstantinapole yang baru sahaja dibebaskan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam solat Jumaat yang pertama itu. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya berdiri dan diikuti pertanyaan: “Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!”. Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.
Pertanyaan seterusnya, “Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!”. Sebahagian daripada tenteranya duduk.
Kemudian Baginda bertitah, “Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!”. Kali ini semuanya duduk, kecuali Sbaginda sendiri sahaja yang tetap berdiri! Subhaanallah! Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh. Tepatlah janji Rasulullah s.a.w dan kota ini kemudian bertukar nama kepada Instanbul.

Sekarang, marilah kita mengenali secara ringkas guru-guru yang berjasa besar membentuk Sultan Muhammad.

Pertama, Ahmad 'ibn Ismail Al-Kori:
Guru istimewa ini menunjukkan role model kepada Sultan Muhammad. Seorang yang wara', tidak menyembah Sultan sama seperti orang lain memberikan tunduk hormat, memanggil nama Sultan dan kerabat mereka dengan nama mereka masing-masing tanpa sebarang panggilan gelaran, Bersalaman dengan mereka tanpa mencium tangan mereka.
Sepanjang Ramadhan, Sultan Muhammad menghadhiri kelas mentafsir ayat-ayat Al Qur'an yang diadakan di istana baginda selepas solat zuhur, dengan guru-guru yang bersilih ganti.

Ahmad ibn Ismail lah yang mengajarkan Al Qur'an, hukum-hukum agama dan kepatuhan padanya. Ia juga membentuk rasa taqwa dalam jiwa Sultan Muhammad dengan berbagai cara, termasuk nasihat-nasihat yang berkaitan dengan tugas pemerentah.

Kedua ialah Sheikh Muhammad bin Hamzah al-Rrouhy, lebih dikenali sebagai Ba'q Shamsuddin. Beliau meninggalkan kesan yang sangat mendalam terhadap keperibadian Sultan Muhammad. Beliau telah menginspirasikan Sultan MUhammad meningkatn aktiviti dakwah dan keislaman di bawah Empayar Othmaniah sebagai satu cara memperkuatkan empayar tersebut.

Beliaulah yang paling giat meyakinkan Sultan Muhammad bahawa beliau adalah raja terpilih seperti yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w dalam sabdanya itu. Selain mengajarkan teras-teras ilmu Islam, Shamsuddin juga bertanggungjawab mengajar sains, matematik, sejarah, strategi perang, astronomi dan lain-lain. Beliaulah yang telah merotan Muhammad di masa kecil tanpa sebab. Beliaulah yang mententeramkan Sultan Muhammad yang menangis kerana enggan menjadi raja. Beliaulah yang telah ditanya oleh Sultan Muhammad samada beliau boleh bersara selepas lama memerentah kerana ingin menumpukan kepada ibadah tetapi dijawab, ibadah sebagai Sultan yang adil adalah lebih berharga lagi. Shamsuddin meletakkan insipirasi dalam dada Sultan, memberikan baginda tujuan dan misi pemerentahan yang jelas dan bersama baginda sehingga cita-cita itu tercapai. Kerana itu lah, beliau dikenali sebagai Penakluk Ruhani Konstantinapole. Guru yang merancang lahirnya seorang pemimpin dan terukirnya sebuah sejarah. Insan pada sisi lain Sultan Muhammad Al Fatih.

Sumber : Blog Dato Husam Musa

Saturday, July 11, 2009

Manik Urai : Manik Sudah Menjadi Emas

Pagi tadi saya menerima panggilan dari seorang sahabat pengundi Manik Urai. Bila saya bertanya khabar tentang Manik Urai, dia mengeluh. Politik semakin kotor katanya. Cara mendapat kuasa sudah diluar normal. Matlamat sudah menghalalkan cara. Rasuah politik sudah menjadi-jadi. Bukan lagi projek mee segera yang biasa terjadi dalam setiap pilihanraya tetapi habuan wang (pitih) juga turut mengotori pilihanraya kecil Manik Urai yang akan berlangsung pada 14 Julai ini

Masyarakat dikejutkan dengan nilai sewa rumah di Manik Urai yang melonjak sehingga RM5000.00 sebulan. Perkara yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Penyewa sanggup membayar sewa sedemikian rupa. Permintaan terlalu tinggi. Ini membuka ruang untuk penduduk Manik Urai sanggup mengosongkan rumahnya dan tinggal di rumah keluarga yang lain demi merebut peluang emas ini. Ini mungkin rezeki penduduk Manik Urai yang bukan sekali datang. Semestinya peluang ini mesti dimunafaatkan sepenuhnya. Cuma, ada beberapa perkara pelik kepada penyewa rumah ini. Darimana datangnya duit yang begitu banyak untuk menyewa rumah semahal ini dengan banyak? Bukan sebuah dua rumah yang disewa, banyak…. Mungkin duit parti. Kalau duit parti, semestinya rumah itu akan didiami oleh petugas-petugas parti yang ramai jumlahnya atau bertukar ganti orangnya kecuali yang tetap. Anehnya, ada rumah yang disewa itu dihuni oleh beberapa orang individu sahaja. Banyak betul duit mereka. Harapnya bukan duit rakyat yang digunakan.

Kejadian malam tadi mencemarkan lagi sistem pilihanraya negara. Dianggarkan 26 orang pengundi pro PAS dari kampung Budi dan Lata Rek di bawa ke suatu tempat dan dihadiahkan wang untuk mengundi mereka. Pengundi tegar kedua-dua parti bertanding tidak diusik. Kalimah “Minta tolong sekali ni je”.Habuan bernilai RM300 hingga RM500. Jumlah itu mengikut jantina. Ia diserahkan dalam bentuk sampul. Penyerahannya dilakukan dengan teratur. Cepat dan terancang. Ianya diatur oleh orang yang tidak dikenali. Bahkan turut kelihatan seorang ahli parlimen yang tidak berparti.

Mengepung dan mengumpan pengundi selepas jam 12.00 malam adalah strategi biasa parti politik sekalipun masa berkempen tamat selepas jam 12.00 malam. Pengundi dilengah-lengahkan sehingga tengah malam samaada dengan dengan mengajak minum di kedai kopi atau sebagainya. Tindakan ini bertujuan supaya tindakan jahat mereka tidak disedari oleh orang ramai terutama parti lawan.

Mungkin ini hanya debu-debu kotor yang berterbangan ke udara di Manik Urai. Masih banyak debu-debu kotor yang melekat di kaki-kaki dan dibadan ahli politik yang tamak dan gila kuasa. Mungkin kita lupa bahawa kuasa adalah suatu amanah Allah yang mesti dilaksanakan sebaik mungkin. Kenapa kita berebut sampai melanggar tatacara mendapatkan kuasa? Lupakah kepada hari akhirat? Bukan setakat kuasa akan dipersoalkan oleh Allah, cara dapat kuasa juga akan turut dipersoalkan.

Kaedah Usul Fiqh menyebut “tidak akan sempurna perkara yang wajib kecuali dengan menyempurnakan perkara yang wajib”. Tidak akan sempurna sesuatu kuasa kecuali dengan kuasa itu di dapati melalui cara yang menurut syariat. Kalau rosak cara dapat kuasa, maka rosaklah kekuasaan nanti. Rasuah adalah perosak kuasa. Kalau hari ini sanggup menghulurkan rasuah, tidak mustahil bila mereka berkuasa mereka akan menerima rasuah.

Sambutan Hari Guru Kinabatangan Meriah

Buat pertama kalinya Pejabat Pelajaran Daerah Kinabatangan (PPD) yang berdiri sendiri dan telah berjaya mengadakan Sambutan Hari Guru Peringkat daerah. Sambutan yang diadakan di SMK Bukit Garam II itu telah dirasmikan oleh Pengarah Pelajaran Sabah Datuk Normah Gagoh.

Program sambutan yang bermula jam 12.00 tengahari dimulakan dengan makan tengahari. Antara pengisian program termasuklah persembahan multimedia dari pelajar-pelajar SMK Bukit Garam, tarian dari SK Kota Kinabatangan dan majlis penganugerahan serta penghargaan kepada guru-guru dan pihak sekolah.

SMK Bukit Garam dan Sk Singgah Manis dinobatkan sebagai pengurus Pusat Sumber Terbaik. Selain itu En Sabril Ludin(Gambar), Guru besar SK Kota Kinabatangan dianugerahkan sebagai Guru besar terbaik(Master Of The Year) untuk Tahun ini. Penghargaan kepada guru yang komitmen di Pendalaman turut diperkenalkan dengan penerima pertamanya cikgu Jaafar Suar, Guru Besar SK Balat, Kinabatangan.

Apa yang mengharukan penulis dan sahabat-sahabat penulis, bila mana pihak penganjur telah menghargai jasa yang disumbangan oleh dua orang warga guru yang telah menemui Allah pada tahun lepas iaitu Allahyarham Cikgu Jasman Jimran dan Cikgu Saifuluddin@ Muhamadiah Manjun. Kedua-dua sahabat ini telah meninggal dunia pada tahun lepas. Sememangnya khidmat dua orang guru ini terlalu banyak dan senang berkira. Sebut sahaja pembangunan sukan di Kinabatangan, sememangnya tidak terlepas dari nama Allahyarham Cikgu Jasman Jimran. Begitu juga dengan Allahyarham cikgu Saifuluddin. Semoga roh mereka dicucuri rahmat.

Tahniah diucapkan kepada pengerusi PIBG SMK Bukit Garam Puan Sarmiah Mislong dan Bekas penolong kanan SK Ladang Bode Kretam, Ust Darul Hj Kamit yang telah dianugerahkan sebagai Tokoh Guru Daerah untuk tahun ini. Bekas Guru besar SK Paris I, Allahyarham En Mardanie turut mendapat anugerah ini.

Thursday, July 9, 2009

Buta Al-Quran: Apa Yang Patut Dilakukan???

Dalam kekalutan kita membicarakan PPSMI yang akan dibubarkan pada tahun 2012 dan keutamaan serta kepentingan Bahasa Inggeris terhadap pembangunan masyarakat Malaysia,kita tidak patut lupa kepada masa depan pendidikan Al-Quran.

Pendidikan Al-Quran berkait rapat dengan pendidikan tradisi yang dipertahankan hingga ke hari ini.bahkan melalui pendidikan Al-Quranlah, budaya keagamaan berkembang subur dalam masyarakat. Budaya menghormati orang yang berilmu, mereka yang lebih tua malah kesediaan ibubapa menundukkan egonya kepada seseorang guru Quran kerana mahukan anak mereka di didik dan diajar Al-Quran. Lantaran itu juga, suatu ketika dahulu, Guru-guru Al-Quran mendapat kedudukan yang tinggi dalam masyarakat.Mereka berupaya mempengaruhi keputusan ibubapa dalam bab mendidik anak.Natijahnya, masyarakat hidup rukun damai dan nilai keagamaan sebati dengan budaya dan adat masyarakat.

Budaya dan pendidikan Al-Quran sekarang agak kurang mendapat tempat dalam diri anak-anak kerana pendedahan pelajaran yang semakin banyak dan berkembang. Kalau zaman penulis zaman 80 -an, penulis dipaksa belajar mengaji di surau berdekatan 3 kali sehari iaitu selepas subuh, selepas zohor (balik je sekolah pergi mengaji) dan selepas maghrib. Bukan rajin sangat tetapi dipaksa oleh ibubapa. Sekarang 3 kali seminggu. Itu pun jika tidak sibuk. Ibubapa bukan memaksa sangat kerana kasihan dengan anak-anak. Takut dia letih. Apa lagi selepas tamat waktu P & P, murid dilibatkan dengan aktiviti ko-kurikulum. Petang , sukan pulak, untuk kecergasan fizikal. Malam tuisyen bahasa Inggeris, matematik dan sains. Bimbang tidak lulus tiga matapelajaran pencorak masa depan.

Pendidikan Al-Quran tidak penting sangat. UPSR, mana ada subjek Pendidikan Islam untuk peperiksaan. Bahkan ustaz pun membantu mengajar matematik atau sains untuk kelas tambahan supaya kelulusan UPSR sekolah meningkat. PMR dan SPM, ada Pendidikan Islam tetapi tidak sangat mempengaruhi nilai sijil. STPM, mana ada pendidikan Islam. Hanya Tamadun Islam yang bersifat sejarah. Tidak pandai Al-Quran tidak menjejaskan sangat keputusan peperiksaan mereka.

Maka hari ini kita melihat, rata-rata pelajar Islam yang tidak pandai membaca Al-Quran. Sedangkan dalam masa yang sama tumbuh berbagai kaedah pembelajaran Al-Quran dengan cepat dan mudah. Tidak cukup dengan kaedah Iqra yang disokong Kementerian Pelajaran Malaysia, muncul kaedah Al-Hira' (membaca Al-Quran dalam masa 24 jam), Hattawiyyah, Al-Baghdadi dan bermacam lagi. Sambutannya tetap dingin. Bila ditanya mengapa tidak mengaji, berbagai alasan remeh yang diberikan.

Mudahnya, bila tidak pandai mengaji, maka dia tidak pandai untuk membaca ayat-ayat dan doa-doa solat. Bila tidak pandai kewajipan tersebut, jalan keluarnya, dia tidak sembahyang. Apa yang patut kita lakukan. Terlepaskah dosa kita? Dosa sebagai ibubapa kepada anak-anak, dosa sebagai guru-guru kepada murid-murid, dosa pemimpin masyarakat kepada anggota masyarakat, dosa jiran kepada tetangganya, dosa pemimpin kepada rakyatnya. Sedangkan Allah memerintahkan kita dalam surah At-Tahrim Ayat 6 supaya kita bertanggungjawab atau menyelamatkan mereka dibawah jagaan kita daripada bakaran api neraka. Adakah dengan meninggalkan solat dan doa-doa ibadat dapat melepaskan kita daripada dipertanggungjawabkan? Apa yang patut dilakukan?

Kita berbangga dengan bahasa Inggeris yang cekap, Matematik dan sains yang bijak. Ke mana kesudahannya. Adalah kita wirid dengan menggunakan formula matematik dan sains. Atau mungkin terlepas azab kubur kerana keputusan yang cemerlang atau pakar dalam kajian berteraskan bahasa Inggeris? Penulis akui kepentingan Bahasa Inggeris, matematik dan sains. Akan tetapi janganlah kita mementingan fesyen rambut yang hebat, jam berjenama,kasut ala artis, kereta gaya kerabat diRaja tetapi ianya tidak memakai seluar dan baju (bogel). Ya... meninggalkan pendidikan Al-Quran yang Fardu Ain dan menumpukan kepada ilmu-ilmu alat yang tidak jelas niatnya sepertilah orang berbogel tetapi bersolek.

Hasil dapatan penulis, majoriti asrama sekolah tidak menyediakan guru Al-Quran. Sedangkan penghuni asrama adalah terdiri daripada pelajar yang berumur 12 hingga 17 tahun yang biasanya belum habis Al-Quran diperingkat sekolah rendah. Bahkan ada yang baru Iqra' 3. Bila tidak ada kelas mengaji di asrama, mereka tidak meneruskan pengajian dan berterusan sehinggalah mereka tamat sekolah. Apa yang patut Dilakukan? Ustaz pergi mengajar mengajilah di asrama..., semudah itukah? Sekolah bukan dangar untuk tunggu durian runtuh. Danggar pun kalau duduk sebarang boleh menimbulkan kemarahan tuan punya dangar....

Kita syukur adanya program j-Qaf yang banyak membantu memulihkan Al-Quran dikalangan pelajar. Kita berterima kasih kepada hasil peninggalan Tun Abdullah Ahmad Badawi [semoga Allah memberkati usaha dan program ini]. Namun demikian,ianya jauh daripada mencukupi. Masih terlalu banyak mereka yang tercicir. Apa lagi negeri Sabah yang dipenuhi dengan ladang-ladang sawit dan kawasan pendalaman.Untungnya kiranya kita dapat program makmal atau pusat pemulihan Al-Quran sepertimana bakal tersedianya makmal Bahasa Inggeris. Syukurnya kalau syarat lulus peperiksaan seperti wajib lulusnya Bahasa Inggeris, matematik dan sains. Bertuahnya kiranya guru Al-Quran mendapat imbuhan 15% sepertimana dapatnya guru-guru PPSMI. Mungkin, hari ini, semuanya ini adalah impian tetapi manalah tahu suatu hari nanti, ianya menjadi kenyataan. Apa yang patut dilakukan?

Sunday, July 5, 2009

Sotong Pasar Ikan Sandakan

Sudah dua kali hajat saya untuk menikmati ketupat sotong tergendala. Bukan senang juga nak dapat sotong yang besar dan sesuai untuk dibuat ketupat sotong kecuali sekali sekala ketika berkunjung ke pasar ikan Sandakan. Pasar Ikan Sandakan mempunyai bermacam jenis ikan yang agak segar dan boleh dikatakan lebih murah jika dibandingkan dengan tempat-tempat lain. Cuma kita perlu berhati-hati dan bersifat tegas dengan penjual-penjual ikan disini.


Pengalaman peribadi saya cukup untuk membuktikan bahawa cara jual beli mereka boleh menyusahkan kita.

Pengalaman Pertama: Sotong
Pasar ikan yang kadang-kadang basah dan keriuhan pejualnya sedikit sebanyak menyebabkan fikiran kita untuk membuat pilihan dengan baik terganggu. Adakalanya mereka menyusun ikan dan sotong yang besar dan segar dihadapan dan dibawahnya adalah ikan atau sotong yang kecil-kecil. Bila kita minta ikan atau sotong tersebut mereka akan kaut daripada bawah yang terdiri dari yang kecil-kecil dengan jumlah yang banyak. Maksudnya lebih dari permintaan kita. Selepas itu, mereka akan mengeluarkan yang besar-besar itu dengan alasan lebih kilo yang kita minta. Ini dapat memastikan sotong yang besar yang menjadi umpan itu dapat diselamatkan. Kita hanya dapat yang kecil-kecil sahaja. Ini taktik penjual yang menyebabkan 2 kali saya kempunan untuk makan ketupat sotong.

Pengalaman Kedua : Bahai Untuk Budak
Pernah suatu ketika, bilamana saya membeli ikan dan dibayar, bahai ikan saya diserahkan kepada budak-budak yang menjual bahai (plastik). Saya terkejut kerana pelik ikan saya diberikan kepada mereka. Bila saya bertanya, mereka minta saya bayar plastik budak itu. Sedekah paksa.

Pengalaman ketiga : Baru Tanya Sudah Siap
Ini juga taktik yang glamour di Pasar Ikan Sandakan. Kita baru mahu 'survey' harga ikan dengan bertanya harganya. Penjual terus memasukkan ikan-ikan yang kita tunjuk untuk tanya itu. Ini menyebabkan saya menjadi serbasalah. Sebab nak 'cover 'malu, ambik jugalah. Tidak dinafikan jika kita menolak, mereka terima juga.

Pengalaman-pengalaman ini sepatutnya tidak berlaku kerana ianya boleh menyebabkan rosaknya jual beli. Selain itu, agak rugilah sepatutnya jual beli yang halal boleh menjadi haram. Apa lagi, inilah gambaran dan perniagaan yang dimiliki oleh bumiputera. Macammana bumiputera ingin maju dalam perniagaan jika sekiranya perniagaan yang kecil dan 'simple' seperti ini sudah dicemari dengan penipuan. Ini belum dilihat dari segi ketelusan penggunaan timbangan

Cadangan kepada pihak Berwajib atau Radio Sandakan:
1. Selalu memantau ketelusan penjualan
2. Menyediakan peti aduan untuk menerima aduan pengguna
3. Penguatkuasaan terhadap "Budak Hanyut" diperkukuhkan demi menjaga keselamatan dan keselesaan penggguna.
4. Tazkirah dan peringatan kepada penjual-penjual supaya jujur dan dapatkan rezeki yang halal dalam perniagaan.

Thursday, July 2, 2009

Mazlan Pindah Kelantan

Berita yang cukup mengejutkan, setelah 3 orang sahabat kita Ust Fadzil Izham, Ust Shukri dan Ust Solahuddin Sidi berpindah meninggalkan bumi bertuah Kinabatangan, Mazlan juruteknik komputer juga mendapat surat pindah. Sdr Mazlan yang baru setahun bertugas di SMK Bukit Garam pulang meninggalkan kami pada pagi ini untuk bertugas dibumi kelahirannya, Kelantan.

Mazlan yang sememangnya terkenal dengan SMSnya sehingga gerai makan di depan rumah sewanya dinamakan warung SMS sempena kecekapan dan ketekunan Mazlan mengurus SMS. Segalanya sudah tinggal kenangan. Setahun bersama cukup bermakna untuk sebuah persahabatan. Semoga persahabatan ini tidak terhenti bilamana mana kaki sdr Mazlan melangkah meninggalkan airpot Sandakan.

Buat saudara Mazlan,
Selamat bertugas di tempat yang baru yang penuh tanggungjawab sebagaimana khidmat saudara di SMK Bukit Garam. Kenanglah kami dalam keriuhan saudara bersama keluarga. Rutin kami menerima kedatangan sahabat dan merasai kehilangan sahabat demi sahabat setelah tiba suratan takdir.

Sementara itu, Kepada sahabat-sahabat yang berminat untuk berkongsi rakaman majlis salam Widak perpisahan dan perpindahan Ust Fadzil Izham, Ust Shukri dan Ust Solahuddin Sidi, boleh download melalui alamat Youtube ini.

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008