Friday, November 4, 2011

BUMI TELUPID TIDAK TERIMA ISLAM?


KE MANA?...Rumah kata pergi, tetapi kubur belum kata mari. Lalu di mana mahu disemadikan jenazah ini jika bumi Telupid tidak menerimanya?
Oleh : FAIZAL OKADAU
PENGHUJUNG hidup yang menyusahkan. Mungkin itulah ungkapan yang sinonim dengan penduduk Islam Pekan Telupid yang tidak mempunyai tanah perkuburan untuk mengkebumikan mayat ahli keluarga mereka yang meninggal dunia.
Setiap kali berlakunya kematian, waris keluarga arwah terpaksa mencari tanah perkuburan masing-masing, terutama bagi mereka yang tidak mempunyai tanah sendiri. Malah ada di kalangan mereka terpaksa membawa mayat keluarga mereka ke Pamol untuk disemadikan.
Senario ini menyebabkan kerapkali berlaku kelewatan mengkebumikan jenazah sekalipun mereka menyedari anjuran Islam supaya menyegerakan pengkebumian jenazah orang Islam.
Lebih memilu dan memalukan, ada kalangan orang Islam terpaksa mengharapkan belas ehsan bukan Islam untuk mengebumikan mayat di tanah mereka dengan membayar sogit kepada tuan tanah.
Seorang penduduk, Mustary Mustamin telah melahirkan rasa kecewa dengan sikap pihak yang bertanggungjawab khususnya semua Wakil Rakyat (Adun dan Ahli Parlimen) di Telupid kerana membiarkan umat Islam tanpa tanah perkuburan.
“Kita rasa sedih berganda bila ada kematian kepada ahli keluarga. Kami tidak tahu kepada siapa hendak mengadu setelah begitu lama umat Islam Telupid tanpa tanah perkuburan,” kata Mustary dengan nada kesal.
“Apa pun, saya berterima kasih kepada penduduk bukan Islam di Telupid yang kerap membantu kami dengan mengizinkan mayat umat Islam dikebumikan di tanah mereka, tetapi sampai bila kami terpaksa menagih ehsan mereka?” tambah Mustary lagi.
Umat Islam adalah penduduk minoriti di Pekan Telupid, tetapi mereka tetap berharap mereka diberi hak untuk penghujung hidup mereka sesuai dengan Islam sebagai agama rasmi Malaysia.
Justeru itu, Wahid dari Kg Gambaron menaruh harapan agar pihak berwajib segera menyediakan tanah perkuburan umat Islam sekalipun umat Islam masih minoriti di Pekan Telupid.
Beliau membandingkan Telupid dengan daerah bersebelahannya, Kinabatangan yang menyediakan tanah Perkuburan Islam dan Kristian di Kg Sinar Jaya sekalipun bukan Islam di Kinabatangan adalah minoriti.
sumber : sabahkini.net

Anak Legeh Di Perantauan | Template by - Abdul Munir - 2008