Monday, August 31, 2009

Pondan Anak Jin

Bukan niat penulis untuk melukakan hati mana-mana pihak. Apa lagi dalam suasana melayari keberkatan dan rahmat Ramadhan. Namun demikian, dalam keadaan mencari punca dan masa depan golongan yang mengkufuri anugerah Allah ini, penulis terpanggil untuk berkongsi masalah dan pandangan bersama pembaca sekelian.

Dengan kadar kaum lelaki yang saiznya makin mengecil yang memberi petanda bahawa kiamat semakin dekat. Namun masih ada lelaki yang tidak sanggup atau merelakan dirinya menjadi seorang lelaki. Mereka sanggup menjadi pondan, mak Nyah bahkan sanggup menukar jantina melalui pembedahan. Rata-rata alasan yang berikan dengan menyalahkan takdir yang menentukan segalanya. Kekadang mereka cuba mengemukan teori sains yang kononnya lebihan kromoson Y atau X. Tidak kurang juga yang meletakkan keinginan ibubapa untuk memiliki anak perempuan tetapi mendapat anak lelaki. Mungkin benar telahan itu. Akan tetapi Islam mengajar kepada kita persiapan-persiapan menurut Islam dalam langkah-langkah untuk melahirkan anak soleh itu bermula daripada memilih pasangan. Adab-adab bersetubuh dan persoalan halal haram turut diberi penekanan.

Doa penghindar syaitan adalah suatu amalan yang teramat penting. Ini kerana Rasulullah mengingatkan kepada kita, yang maksudnya :

"Apabila seseorang suami menyetubuhi perempuannya dan dia tidak menyebut nama Allah, maka mereka akan didatangi syaitan dan bersetubuh bersamanya.".

Apa lagi, bila mendatangi isterinya yang di dalam keadaan haid boleh mengundang anak yang dilahirkan nanti menjadi pondan sebagaimana disebut oleh Ibnu Abbas r.a

اذا أتى الرجل امراته وهى حائض سبقه الشيطان اليها فحملت فجاءب بالمخنث فالمخنثون أولاد الجن
Riwayat Al-Hafiz Ibn Jarir

Maksudnya :
Apabila seorang suami menyetubuhi isterinya di dalam keadaan haid, ia didahului oleh syaitan. Apabila perempuanj itu hamil, ia akan mengandungkan khunsa (pondan). Kaum pondan itu adalah anak-anak jin

Ibnu Taimiyyah menguatkan pendapat ini dengan katanya: "Terkadang manusia dan jin bernikah dan melahirkan anak dan ini sesuatu yang telah maklum".- Sumber : Majmu' Al-Fatawa 19/39

Sunday, August 30, 2009

Perkasakan Pakatan Sabah: UBN Sebenarnya Rapuh

KOTA KINABALU, 29 OGOS : Pakatan Rakyat Sabah perlu diperkasakan secara segera jika mahu memerintah negara pada pilihanraya ke 13 nanti. Ketakutan kepada kekuatan UBN hanya hantu yang menghantui pemikiran rakyat Malaysia sekian lama yang menyebabkan UBN dapat memerintah sehingga 50 tahun lebih. Sedangkan pada hakikatnya UBN adalah pemerintahan yang rapuh yang boleh ditumbangkan dengan kekuatan dan kesatuan Pakatan Rakyat dengan mengenepikan kepentingan etnik atau agenda-agenda yang bersifat logistik. Demikian tegas YB Ust Muhammad Husin, Ahli Parlimen Pasir Puteh, Kelantan dalam majlis Ceramah Ramadhan di Idaman Villa, Kota Kinabalu.

Ceramah selepas solat teraweh itu turut menampilkan Datuk Halik Zaman, YB Nasir Zakaria (Ahli Parlimen Padang Terap) dan Sdr Ansori Abdullah. Turut Hadir, bekas pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Hasbullah Mat Taha.

Yb Ust Muhammad Husin menegaskan tsunami politik yang melanda semenanjung akan dapat ditiupkan di bumi Sabah yang menjadi simpanan tetap UBN dengan syarat Pakatan Rakyat dapat membuang mitos UBN itu terlalu kuat. Kekuatan UBN sebenarnya hanya bergantung kepada kerajaan yang mereka kuasai. Tanpa Kerajaan dan jenteranya, UBN akan berkubur. Buktinya UBN Kelantan, selepas tewas pilihanraya 1990 masih tidak dapat bangkit di Kelantan sehingga ke hari ini.

Pentadbiran yang lemah dan korupsi menyebabkan negara menangung hutang yang besar. Krisis dalaman UBN tidak berkesudahan. Satu demi satu krisis dalaman memecahkan UBN. perpecahan ketara pada tahun 1987 sehingga melahirkan Parti Melayu Semangat 46 dan pengharaman UMNO. UMNO baru cipta Tun Dr Mahathir juga dilambung ombak reformasi selepas pemecatan Anwar Ibrahim pada tahun 1998. Berbagai skandal dan kebejatan politik berlaku dalam pentadbiran UBN termasuk isu berat yang melanda UBN sekarang seperti pemecatan Chua Soi Lek, Isu PKFZ dan penyerta Chua Jung Ming ke dalam parti Keadilan.

Sepatutnya krisis, skandal dan isu besar yang melanda UBN membuka ruang kepada Pakatan Rakyat untuk mengambilalih pemerintahan Malaysia. Syaratnya, Pakatan Rakyat mesti diperkasakan dan meletakkan keyakinan kepada pertolongan Allah SWT. Soal tuduhan liar bahawa PAS ekstrimis Islam, DAP parti chauwanis sudah dapat kita singkirkan melalui kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

Menurut beliau lagi, dengan berbekalkan semangat Ramadhan, kita menyelusuri sirah pembukaan Kota Mekah yang pada logiknya,agak mustahil untuk dikuasai setelah dakwah Nabi 13 tahun di Mekah tidak mendapat sambutan yang mengalakkan. Mudahnya kalau ada pilihanraya Mekah, Rasulullah SAW akan hilang wang pertaruhan. Namun dengan iradah Allah, pembukaan dan penguasaan Kota Mekah berlaku tanpa sebarang pertumpahan darah dalam bulan Ramadhan AlMubarak.

Thursday, August 27, 2009

Takziah Sdr Abdul Razak Jamil

Dalam menghadapi badai perjuangan, kita seringkali jatuh dan bangun. Jatuh dan bangun ini kadangkala datang kerana kelemahan dan kedhaifan yang ada pada diri kita. Namun demikian, kita juga tidak dapat lari dari takdir, qada' dan qadar Allah yang telah ditetapkan kepada kita. Itu jugalah yang dilalui oleh Sdr Abdul Razak Jamil, peguam dan Ketua Pemuda KEADILAN Sabah atas kepulangan bondanya pada 26 Ogos lalu di kampung Batu 7, Bukit Garam.

Allahyarhamah Bonda Abdul Razak adalah seorang ibu yang tabah dan cukup hebat dalam pendidikan anak-anaknya. Beliau pernah dianugerahkan Tokoh Ibu Mihtali peringkat daerah Kinabatangan kerana kejayaan dan ketekunan Allahyarhamah mendidik dan mengasuh anak-anaknya sehingga anak-anaknya menjadi orang-orang ternama diperingkat negeri dan daerah.

Kehilangan bondanya diharapkan tidak melemahkan semangat sdr Abdul Razak untuk terus berjuang dan berkerja untuk membantu dan meninggikan syiar Islam dan keadilan sejagat. Ketokohan sdr Abdul Razak yang diwarisi dari ayahndanya Tuan Hj Jamil Adari sentiasa ditagih ummah.

Marilah kita sama-sama menyedekahkan Al-Fatihah untuk Allahyarhamah Bonda Abdul Razak semoga rohnya ditempatkan dikalangan solehin dan aamilin. Al-Fatihah

Semoga Ramadhan Al-Mubarak ini memberi erti yang cukup bermakna untuk mereka yang telah meninggal dan mereka yang hidup. Bersama kita imarahkan madrasah Ramadhan kali ini.

Wednesday, August 26, 2009

Al-Fatihah Untuk Permata Negara : Prof Datuk Dr Ismail Salleh

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Senator Prof Datuk Dr Ismail Salleh telah meninggal dunia dalam penerbangan di Singapura.

Beliau merupakan Senator dari kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) dan cacat penglihatan pertama yang dilantik.

Arwah yang merupakan bapa kepada enam orang anak, pernah menyandang tugas selaku Ketua Pegawai Eksekutif Twintech Holdings dan Naib Canselor Universiti Kolej Antarabangsa Teknologi Twintech.

Beliau dilahirkan di Pasir Mas Kelantan pada 1947 dan pernah mendapat pelbagai anugerah atas kecemerlangannya di bidang pengajian antaranya anugerah Guiness Book of Record sebagai orang cacat penglihatan pertama di dunia mendapat Doktor Falsafah.

Beliau pernah melanjutkan pelajaran di University Illinois pada 1973 dan memulakan tugasnya sebagai pensyarah Jabatan Ekonomi Analisa Universiti Kebangsaan Malaysia sekembalinya ke tanahair.

Jenazah beliau akan dikebumikan petang ini di Kajang.

Tuesday, August 25, 2009

Takziah dan Tahniah Suaidah Ruhiyyah atas Kembalinya Ayahnda Tercinta

Kami agak terlewat mendapat berita kepulangan ayahnda Ukhti Suaidah Ruhiyyah ke rahmatullah. Itupun mendapat panggilan daripada cikgu Anuar Ali yang mendapat maklumat daripada blog kekanda ukhti Suaidah, ukhti Atirah Al-Jundi , http://www.aljundiathirah.blogspot.com/ . Allahyarham diberitakan meninggal pada
pada 17 Ogos 2009, Isnin, Jam 4.05 Petang di Pulau Pinang.

Penulis dan sahabat-sahabat di Kinabatangan mengucapkan takziah kepada Ukhti Suaidah Ruhiyyah dan keluarga di atas kepulangan Ayahndanya. Kami doakan semoga Roh ayahnda dikasihi ditempatkan dikalangan para mujahidin dan solehin. sekalian sedia maklum, allahyarham sepanjang hayatnya adalah seorang yang tegas dan berdedikasi. Itulah sebabnya Allahyarham berjaya mendidik anak-anaknya menjadi pemimpin dan pejuang yang berani sekalipun anak-anak perempuannya. Tengoklah Ukhti Atirah Al-Jundi (puteri demonstrasi- maaf kalau gelaran ini tidak disenangi di hati), apa kurangnya ukhti Suaidah dan Angahnya. Kami turut bersedih di atas ujian dan kepulangan ayahnda kalian.

Penulis dan sahabat-sahabat juga berasa bangga kerana Allahyarham di ambil oleh Allah di medan jihad. Apa lagi di bulan Ramadhan. Itu tanda kemuliaan yang Allah kurniakan kepada pejuang-pejuangnya. Kami juga berharap, Allah mengembalikan kami di medan jihad seperti Ayahnda kalian. Semoga Ukhti Suaidah dan keluarga terus mengibarkan bendera perjuangan Islam.

Jenazah Almarhum Ayahanda tiba di Masjid Kubang Semang serentak dengan berkumandangnya azan maghrib...

Kelihatan YB. Dr Mohd. Hatta Ramli (Yang Turut Berkesempatan Menziarahi Kami Di Bilik Mandi Jenazah, Hospital Seberang Jaya, SPU, Pulau Pinang)...Pimpinan PAS Yang Tiba Awal..

Jenazah Almarhum Ayahanda Diturunkan Masuk Ke Liang Lahad Serentak Berkumandangnya Azan Isyak


Kepada para sahabat, marilah sama-sama kita menyedekahkan bacaan Al-Fatihah kepada ruh Allahyarham ayahnda ukhti Suaidah dan keluarganya.... Al-Fatihah

Monday, August 24, 2009

Memburu Gula

Masih cerita sama. Pagi tadi dapat panggilan telefon keluarga di kampung, bertanya khabar. antara isunya tetap sama. GULA HABIS. Hari ini penulis mencuba nasib mencari gula di bandar Sandakan.

Alhamdulillah, ketika penulis sedang memilih barangan keperluan harian untuk bulan ini, gula datang berlonggok-longgok. Rezeki, sah rezeki... itu anggapanku. Maklumlah kempunan dah lama. Bila bertanya kepada kaunter, seandai boleh dibeli sedozen atau sebungkusan gula itu? Penjual menghadkan pembeli hanya layak membeli 2 kilo sahaja untuk seorang. Aku sedikit kecewa tetapi masih ada harapan. Aku bercadang untuk ke kedai lain. Dapatkan 2 atau 4 kilo lagi. Biar berbaloi aku keluar bandar hampir 80 kilometer perjalanan. Lagipun ini untuk persiapan raya terus.

Allah Ya Rabbi... rupa-rupanya kedai itu diserbu. Berpusu-pusu orang masuk membeli gula sehingga penulis terkebelakang. Apa tidaknya, penulis sibuk bawa bersama barang-barang lain untuk dibayar. Orang lain masuk untuk beli gula je. Lagipun ramai kalangan mereka main pakai redah je.. .. Aku lemas. Hampir 2 jam terkurung disitu. Ku tengok gula masih banyak tetapi kenapa mereka berebut-rebut?

Selepas dapat keluar dari kedai tersebut, penulis menuju ke kedai hardware. Dalam jam 12.00 kembali memburu gula. Kedai demi kedai yang kupergi. Gula Habis. Dapat lagi 2 kilo disebuah kedai. Itupun bising juru jual, bertanya antara mereka dari mana gula ini keluar? Siapa bawa keluar? Patutlah, mula penulis masuk terdengar orang bercakap-cakap gula sudah habis.

Penulis tidak putus asa. Berjalan lagi ke kedai lain dengan harapan kes macam tadi berulang. Tidak lagi bertanya di kaunter. Terus ke tempat letak gula. Bila tiada di tempat letak gula, barulah bertanya. Tiada memang tiada. Habis................. dah banyak kedai yang dicari.... tiada, habis. Dah banyak duit bayar parking. Ada satu kedai bagitahu... kalau mahu gula datang jam 10.00 esok. Yea... benar barangkali. Hari ni dapat gula kerana penulis berada dalam kedai jam 10.00 pagi. Pelik.... bimbang....pasar raya gergasi (Giant) pun boleh tiada gula.

Penulis lewat tiba di rumah, berbuka dekat jam 7.00. Ini gara-gara singgah Giant. Diperkena oleh budak-budak jual okiqawa. Buang masa. Macamanalah Giant boleh bagi sewa kat syarikat yang banyak pekenakan orang macam tu berada dalam kawasannya? Ramai sudah orang yang kena.Gambar beberapa kawan-kawanku dipergunakan untuk mempromosi barang-barang mereka melalui kad Duta dan sebagainya. Kesian mereka. Mereka tidak tahu bahawa nama dan gambar mereka diperalatkan. Mereka bukan duta produk. Mereka mangsa kelembutan hati dan Keluruhan budi bahasa.

Bulan Ramadhan bukan niat ingin mengkritik tetapi membela. Kiranya perlu untuk mencela mereka yang tercela, yang mengambil kesempatan di atas kejujuran dan kelemahan orang lain. Semoga Allah mengampunkan dosa dan kecelaan hamba.

Sunday, August 23, 2009

Ramadhan Tanpa Gula

Sejak akhir-akhir ini, seperti menjadi kemestian Ramadhan tanpa gula. Apa betul penggunaan gula berlebihan oleh masyarakat 1 Malaysia sehingga gula habis di pasaran. Kerajaan telah memberi jaminan bahawa bekalan gula mencukupi tetapi kenapa para peniaga gagal membekalkan gula kepada pengguna?

Pasaraya menghadkan 2 kilo gula untuk setiap pembeli, itupun gula biasanya diletakkan di kaunter bagi memudahkan kawalan gula. Di kedai-kedai runcit lagi teruk, GULA HABIS ditulis di meja kaunter. Penulis sudah hampir seminggu terputus bekalan gula. Puas mencari di kedai runcit sekitar, tidak ada, sudah habis dan akan sampai. Bila?

Bukan persoalan tidak ada gula sikit dah bising. Akan tetapi kita cuba merungkai persoalan kenapa menjelang Ramadhan dan perayaan Islam, gula habis? Mungkinkah agenda peniaga untuk menaikkan harga gula atau satu sabotaj kepada umat Islam? Barangkali mungkin umat Islam menggunakan gula berlebihan pada bulan Ramadhan? Kalau ini benar, sikap ini perlu perbaiki kerana bakal mendatangkan penyakit kepada umat Islam yang berpuasa dan semestinya bertentangan dengan hikmah berpuasa untuk menjaga dan memulihkan kesihatan. Sunat berbuka dengan makanan manis itu lebih menjurus kepada memakan kurma. Itulah sunnah nabi.

Persoalan-persoalan ini penulis lontarkan untuk difikir bersama dan diambil tindakan bersama untuk kemaslahatan ummah.

Friday, August 21, 2009

Selamat datang Ramadhan Al-Mubarak dan Ijtima' UKP UM

Alhamdulillah, kita panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana masih diberi peluang untuk menghirup udara dan nafas Ramadhan buat ke sekian kalinya. Pastinya kehadiran Ramadhan ini lebih mencabar tuntutan imam. Apa lagi dalam keadaan usia yang semakin meningkat, uban turut menghuni kepala, bebanan taklif sentiasa bertambah. Persoalan iman masih diperingkat dasar. Semoga Allah mengampuni dosa-dosa lalu, dan memberkati sedikit kebaikan yang dilakukan sekiranya ada. Muflis iman, sia-sialah hidup.

Malu rasanya untuk berdoakan kepada Allah supaya dimatikan dalam perjuangan, mati dalam iman, hatta mati dalam Islam. Terasa terlalu jauh dan kerdil disisi Allah SWT. Sikap bertangguh untuk melaksana kebajikan, keutamaan menggunakan harta untuk dunia,payah untuk bangun malam, leka dengan solat berjemaah antara belenggu yang menyelembungi seketul mudghah yang bersarang. Ya Allah.... berilah kekuatan kepada hambaMU

Jadikanlah Ramadhan kali ini, medan memperbaiki hati, menyuci jiwa, merawat iman untuk hambaMu ini Ya Allah.... Berilah kekuatan untuk hambaMu Ya Allah.

Selain itu dikesempatan ini:
UKP Sabah akan menganjur Ijtima' bersama tetamu Ust Nasir Zakaria dan Ust Muhammad Husein

Tarikh: 29 Ogos 2009
Tempat: Surau Taman Austral, Kepayan KK
Masa: 4 hingga 9 malam

Sila hubungi Ustaz Mutadho 0192683648 dan cikgu azrul 0195369890

Kepada ahli UKP yang berada di Sabah, sila lapor diri kepada ustaz Mutadho dan cikgu Azrul.

Wednesday, August 19, 2009

Zakat Fitrah Sabah RM6.60

Bagi mereka yang difardukan zakat fitrah dan juga mereka yang ingin membayar fidyah puasa, Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) mengumumkan kadar Zakat Fitrah bagi tahun ini (1430 Hijrah) ialah RM6.60 sen ke atas setiap orang Islam yang bermastautin di negeri ini.

Pengerusinya, Datuk Syed Abas Syed Ali yang mengisytiharkan kadar zakat itu berkata, kadar zakat fitrah yang ditetapkan itu adalah berasaskan sukatan 1 gantang Bahgad atau 2.7 kilogram) beras yang dimakan oleh majoriti penduduk di negeri ini.


Tahun lalu kadar zakat fitrah di negeri ini ialah RM7.70 sen setiap seorang Islam yang bermastautin di Sabah.

“Pada tahun ini, Muis telah melantik 35 Amil dan 2,000 Wakil Amil di seluruh negeri ini untuk menyelaras dan mengutip Zakat Fitrah sepanjang bulan Ramadan,” katanya pada sidang media pengisytiharan kadar Zakat Fitrah dan taklimat Zakat Fitrah oleh Pusat Zakat Sabah (PZS)di sini, kelmarin.


Syed Abas berkata, mereka yang dilantik sebagai Amil dan Wakil Amil Zakat Fitrah terdiri daripada Pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains), penjawat awam, Imam-Imam Kariah, ketua-ketua kampung, pemimpin masyarakat dan orang perseorangan yang memiliki sifat amanah serta berbudi pekerti mulia.


Menurutnya, kesemua mereka akan dibekalkan kad kuasa bagi mengelakkan masyarakat Islam mengeluarkan fitrah kepada orang-orang yang tidak bertanggungjawab dan tidak mempunyai tauliah.


Terdahulu itu, Syed Abas berkata, pada tahun lalu, Muis telah berjaya memungut zakat keseluruhannya berjumlah RM23.8 juta, iaitu meningkat RM6.3 juta berbanding tahun 2007 yang hanya berjumlah RM17.5 juta.


Pada tahun lalu Muis berjaya memungut Zakat Fitrah berjumlah RM 7.4 juta dan Zakat Harta RM16.4 juta, jumlah itu merupakan yang tertinggi pernah direkodkan oleh Muis sejak ia ditubuhkan pada tahun 1972.


“Jumlah pembayar Zakat Fitrah tahun lalu ialah seramai 958,325 orang iaitu menurun 18,296 pembayar atau (1.88 peratus) berbanding tahun 2007 iaitu berjumlah 976,621 orang,” katanya.


Beliau juga berkata, jumlah agihan Zakat dan Fitrah mengikut Asnaf tahun lalu ialah RM19,3 juta dengan jumlah penerima keseluruhan ialah seramai 25,135 orang, iaitu 1,513 orang Asnaf Fakir, Asnaf Miskin (22,715 orang) dan Asnaf Mualaf (907 orang).


Syeda Abas juga berkata, sepanjang bulan Ramadan tahun ini, Muis telah memperuntukkan sebanyak RM5.5 juta untuk diagih-agihkan kepada Asnah Fakir, Miskin dan Mualaf bagi menggembirakan hati para penerima dan sebagai persediaan mereka menyambut 1 Syawal.


Sementara itu, pada majlis yang sama Public Islamic Bank Berhad turut menyampaikan penyerahan zakat perniagaan kepada Muis. -NST

Friday, August 14, 2009

Rancang Perbelanjaan Elak Hutang

Sejak akhir-akhir ini, ramai kita dapati kawan-kawan kita, kadang-kadang kita sendiri bermasalah dari segi kewangan. Ya... masalah kewangan adalah perkara biasa, cumanya yang menjadi persoalan bagi kita, kenapa pendapatan kita yang ribuan pada setiap bulan tetapi hutang juga mencecah ribuan ringgit juga. Hutang sememangnya memberi bebanan dalam kehidupan kita dan menjatuhkan maruah seseorang. Semuanya berpunca daripada salah urus kewangan. Justeru itu, beberapa tips yang terima daripada email kawan penulis:

1. Menerima gaji sepatutnya dan berbelanja kurang daripada pendapatan

Peraturan asas ini nampak mudah tetapi hakikatnya sukar untuk dilaksanakan. Anda perlu tahu sama ada anda menerima gaji yang sepatutnya berbanding kepakaran, keupayaan, produktiviti dan tugas yang dipertanggungjawabk an kepada anda. Menerima gaji rendah daripada yang sepatutnya, walaupun RM1,000 setahun akan memberi kesan yang besar dalam jangka panjang. Tidak kira berapa gaji anda, janga sesekali berbelanja melebihi pendapatan. Adalah lebih mudah untuk menyekat perbelanjaan daripada memperoleh pendapatan lebih. Berjimat walaupun sedikit boleh memberi kesan yang besar pada tabungan.

2. Rancang dan patuhi jadual perbelanjaan (bajet)

Rancang perbelanjaan anda. Anda tidak akan mampu berbelanja dan menyimpan pada masa yang sama tanpa perancangan kewangan yang betul. Anda perlu bajet walaupun pendapatan anda adalah beberapa ribu atau beratus ribu setahun.

3. Lunaskan hutang kad kredit secepat mungkin.

Berterus- terusan mempunyai hutang kad kredit adalah satu kesilapan paling besar. Memang terlalu mudah untuk menggunakan kad kredit tetapi amat payah untuk melunaskan hutang dan akhirnya anda akan terus dibeban hutang yang … BESAR! Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan Datuk Dr Hilmi Yahaya – Tahun 2004 - 1,397 pemegang kad kredit di isytihar muflis, 1,152 dalam 2003 dan 1,117 dalam 2002. Angka setiap tahun kian meningkat. Terdapat 150,000 bankrap setakat Februari 2005 .

4. Mencarum dalam pelan persaraan

Jika syarikat anda menyediakan pelan persaraan, jangan lepaskan peluang untuk mencarum. Jika tiada, pertimbangkan pelan atau skim lain yang disediakan untuk pekerja. Buka akaun dengan KWSP hari ini jika anda masih berbuat demikian.

5. Menabung

Pastikan anda menyimpan sekurang-kurangnya 5 peratus ke 10 peratus daripada gaji sebelum menyelesaikan segala bil. Cara paling baik, buat potongan secara automatik untuk akaun berbeza.

6. Melabur

Pastikan anda membuat pelaburan – jika masih ada wang lebih selepas mencarum untuk skim pesaraan atau skim simpanan pekerja dan menabung dalam akaun simpanan dan saham amanah .

7. Tingkatkan caruman skim kemudahan untuk pekerja

Tambah nilai caruman anda pada skim kemudahan yang disediakan untuk pekerja seperti KWSP. Ia akan membantu anda mengurangkan pembayaran cukai dan membataskan perbelanjaan yang tidak perlu.

8. Semak liputan insurans

Ramai orang membeli insurans dengan bayaran premium yang tinggi tanpa terlebih dulu menyelidik sama ada ia perlu atau tidak. Pastikan anda mempunyai insurans secukupnya tetapi pada masa yang sama tidak membebankan kedudukan kewangan. Boleh hubungi saya 019-5850151 untuk dapatkan nasihat dan insuran yang terselamat daripada gharar, riba dan judi

9. Kemas kini wasiat

Lindungi orang yang disayangi. Pastikan anda membuat wasiat tidak kira berapa sedikit pun harta anda. Kira-kira 90 peratus warga Malaysia tidak mempunyai wasiat. Masalah besar ialah tahap pemikiran yang beranggapan jika tulis wasiat hari ini, esok akan mati. Sebab itu masih ramai yang tidak membuat wasiat.

10. Simpan rekod kewangan dengan baik

Jika anda tidak menyimpan semua rekod perbelanjaan, anda mungkin terlepas pandang untuk mendapatkan pengecualian cukai untuk perbelanjaan tertentu. Contoh yang baik adalah resit untuk pembelian buku-buku dimana pemotongan cukai dibenarkan.

Wednesday, August 12, 2009

"Pergi Tak Kembali" Ust Asri Sudah Jadi Kenyataan

Penyanyi, penulis Lirik dan pendakwah seni terkenal, Ust Asri Ibrahim telah kembali ke rahmatullah pada jam 11.15 pagi tadi.

Pemergian beliau sungguh mengejutkan dan merupakan kehilangan yang besar kepada negara khususnya kepada bidang dakwah Islam melalui seni. Ust Asri Ibrahim yang terkenal dengan suaranya yang merdu dan begitu kreatif dalam penulisan lirik dakwah yang mengusik jiwa. Lirik-lirik yang ditulis beliau banyak berkisar dengan dakwah Islam.

Lagunya "Pergi Tak Kembali" cukup mengingatkan kita tentang kematian dan bekalan yang perlu kita persiapkan. Kita hayati kembai seni lagunya untuk mengingatkan kematian kita pula.

Al-Fatihah untuk roh beliau semoga rohnya tergolong bersama para mujahidin dan solehin

Tuesday, August 11, 2009

Kisah Cinta Zulaikha Dan Yusuf a.s.

"Akibat konsprirasi saudara-saudara nabi Yusuf a.s , di negeri Kanaan , baginda terjual di negeri Mesir.

Maka Allah berfirman , maksudnya:

Dan (setelah Yusuf dijualkan di negeri Mesir) berkatalah orang yang membeli Yusuf kepada isterinya: Berilah dia layanan yang sebaik-baiknya; semoga ia berguna kepada kita, atau kita jadikan anak. Dan demikianlah caranya kami berikan kedudukan Yusuf di bumi (Mesir untuk dihormati dan disayangi), dan untuk Kami mengajarnya sebahagian dari ilmu menta’bir mimpi. Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkan-Nya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (Yusuf 21)

Ahli-ahli tafsir sepakat
mengatakan orang yang membeli Yusuf a.s. adalah al-Aziz seorang pegawai tinggi atau Wazir kerajaan Mesir dan isterinya adalah Zulaikha , yang diharap menjadi ibu angkat kepada Yusuf a.s.


Siapakah Zulaikha ?

Maulana Abdullah Yusuf Ali didalam Terjemahan al Quran memetik tulisan karya sastra Zulaikha dan Yusuf oleh Jami r.h ( 817 H – 898 H ), Zulaikha adalah seorang puteri raja sebuah kerajaan di barat (Maghrib) negeri Mesir. Beliau seorang puteri yang cantik menarik. Beliau bermimpi bertemu seorang pemuda yang menarik rupa parasnya dengan peribadi yang amanah dan mulia. Zulaikha pun jatuh hati padanya. Kemudian beliau bermimpi lagi bertemu dengannya tetapi tidak tahu namanya. Kali berikutnya beliau bermimpi lagi , lelaki tersebut memperkenalkannya sebagai Wazir kerajaan Mesir.

Kecintaan dan kasih sayang Zulaikha kepada pemuda tersebut terus berputik menjadi rindu dan rawan sehingga beliau menolak semua pinangan putera raja yang lain. Setelah bapanya mengetahui isihati puterinya, bapanya pun mengatur risikan ke negeri Mesir sehingga mengasilkan majlis pernikahan dengan Wazir negri Mesir.

Memandang Wazir tersebut atau al Aziz bagi kali pertama, hancur luluh dan kecewalah hati Zulaikha. Hatinya hampa dan amat terkejut, bukan wajah tersebut yang beliau temui di dalam mimpi dahulu. Bagaimanapun ada suara ghaib berbisik padanya : “ Benar , ini bukan pujaan hati kamu. Tetapi hasrat kamu kepada kekasih kamu yang sebenarnya akan tercapai melaluinya. Janganlah kamu takut kepadanya . Mutiara kehormatan engkau sebagai perawan selamat bersama-sama dengannya”.

Perlu diingat sejarah Mesir menyebut , Wazir diraja Mesir tersebut adalah seorang kasi, yang dikehendaki berkhidmat sepenuh masa kepada baginda raja. Oleh yang demikian Zulaikha terus bertekat untuk terus taat kepada suaminya kerana ia percaya ia selamat bersamnya.

Demikian masa berlalu, sehingga suatu hari al-Aziz membawa pulang Yusuf a.s. yang dibelinya di pasar. Sekali lagi Zulaikha terkejut besar, itulah Yusuf a.s yang dikenalinya didalam mimpi . Tampan, segak, menarik dan menawan. Betullah sabda nabi yang diriwayatkan oleh Hammad dari Tsabit bin Anas bahawa Rasullah bersabda maksudnya :

Yusuf dan ibunya telah diberi oleh Allah separuh kecantikan dunia.


Kisah Zulaikha dan Yusuf dirakamkan di dalam Al Quran bermula surah Yusuf ayat 21 sehinggalah Yusuf a.s di penjarakan pada ayat 36 surah yang sama, kerana fitnah kononnya Yusuf a.s mengoda Zulaikha , isteri al-Aziz. Bagaimanapun pada ayat 51 surah yang sama Allah berfirman, maksudnya :

Isteri Al Aziz pun berkata: Sekarang ternyatalah kebenaran, akulah yang memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan sesungguhnya adalah ia dari orang yang benar. ( Yusuf 51 )


Selepas ayat tersebut Al Quran tidak menceritakan kesudahan hubungan Zulaikh dengan Yusuf a.s. Bagaimanapun Ibn Katsir didalam Tafsir Surah Yusuf memetik Muhammad bin Ishak berkata bahawa kedudukan yang diberikan kepada Yusuf a.s oleh raja Mesir adalah kedudukan yang dahulunya dimiliki oleh suami Zulaikha yang telah dipecat. Juga disebut-sebut bahwa Yusuf telah beristrikan Zu­laikha sesudah suaminya meninggal dunia, dan diceritakan bah­wa pada suatu ketika berkatalah Yusuf kepada Zulaikha setelah ia menjadi isterinya,

“Tidakkah keadaan dan hubungan kita se­karang ini lebih baik dari apa yang pernah engkau inginkan?”

Zulaikha menjawab,

“Janganlah engkau menyalahkan aku, hai kekasihku, aku sebagai wanita yang cantik, muda belia bersuamikan seorang pemuda yang berketerampilan dingin, menemui­mu sebagai pemuda yang tampan, gagah perkasa bertubuh indah, apakah salah bila aku jatuh cinta kepadamu dan lupa akan ke­dudukanku sebagai wanita yang bersuami?”


Dikisahkan bahwa Yusuf waktu kahwin dengan Zulaikha, ia menemuinya masih gadis (perawan) dan dari perkahwinan itu memperoleh dua orang putra: Ifraitsim bin Yusuf dan Misya bin Yusuf.

Rujukan :

  1. Maulana Abdullah Yusuf Ali – Terjemahan al Quran Karim
  2. Tafsir Ibnu Katsier – surah Yusuf

Sumber : http://aburedza.wordpress.com/2009/06/25/371/

Saturday, August 8, 2009

Poligami di Martabatkan

Pelik tapi benar. Ianya dilakukan oleh wanita yang beriman dan telah membuktikan poligami boleh menyelesaikan masalah umat. Apa lagi kecelaruan yang melanda masyarakat kini perlu diperbetulkan segera. Barat dan golongan kuffar telah berjaya masuk hingga ke dalam celana umat Islam hari ini. Mereka berusaha meruntuhkan institusi kekeluargaan Islam setelah berjaya merungkai pegangan hidup umat Islam daripada kitab rujukan yang mengemudi dan melonjak keagungan tamadun manusia sebelum ini. serangan pemikiran mereka telah berjaya menyakinkan sebahagian besar umat Islam untuk menolak poligami kerana kononnya akan mengainaya wanita. Bahkan majoriti wanita sanggup menghina suami mereka tidak mampu itu dan ini.

Melihat kepada kesukaran dan cabaran hidup hari ini terlalu mencabar, perkahwinan adalah penyelamat kepada kebejatan sosial yang melanda. Para cendikiawan cuba merumuskan beberapa formula selain poligami untuk menyelesaikan masalah ini. Namun, nampaknya ia tidak menunjukkan perkembangan yang positif. Prof Dr Mahmud Zuhdi Abdul Majid pernah melontarkan pandangan supaya dilaksanakan perkahwinan Misyhar untuk menyelesaikan kes ANDALUSIA dan janda turut mendapat bantahan terutama daripada pertubuhan wanita. Jadi, apa penyelesaiannya?

Kita mesti kembali kepada sistem Islam. Allah lebih mengetahui keperluan hambaNya. Usaha sebegini semestinya ada pro dan kontranya. Tidak mungkin mendapat sokongan 100% kerana iman dan kufur sentiasa menjadi pemisah. Penulis bersetuju sangat dengan Isteri pemimpin kanan Al-Arqam ini. Tahniah Ustazah kerana berusaha memartabatkan syiar islam dan amalan Rasulullah yang selalu dipandang serong ini. Perlu diperbetulkan, sokongan penulis bukan atas dasar nafsu inginturut berpoligami tetapi atas dasar kemaslahatan ummah dan kemurnian hati dalam melihat dan menerima undang-undang Allah dalam menyelesaikan urusan manusia. Di bawah ini penulis pastekan berita dari Harian Metro, semoga mendapat petunjuk

Dibuka kepada pelacur

Oleh NAZARALI SAERIL dan ASMIZAN MOHD SAMIRAN


KELUARGA BESAR... Hatijah (duduk kiri sekali), Noraziah
(duduk dua dari kiri) bersama anak serta
sebahagian cucu hasil poligami.

KUALA LUMPUR: “Kita buka tawaran kepada pelacur. Datanglah ke kelab kami untuk berpoligami. Nasib kamu (pelacur) akan jadi sangat indah (jika berpoligami).

“Jika jadi pelacur, belumpun tua, kamu sudah tiada nilai,” kata Penasihat Kelab Poligami Ikhwan (KPI), Hatijah Aam, 54.

KPI dilancarkan secara rasmi minggu lalu dengan matlamat utama ingin ‘menyuburkan’ amalan poligami di kalangan umat Islam negara ini.

Menurut Hatijah yang juga isteri kedua pengasas ajaran Al-Arqam, Ashaari Muhammad, poligami antara jalan keluar untuk golongan berkenaan kembali ke pangkal jalan dan menjalani kehidupan lebih baik.

Ketika ditemui di pejabat Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB), Bandar Country Homes, Rawang, Selangor, Hatijah berkata, jika sudi berpoligami dan menjadi ahli KPI, golongan pelacur akan diberi bantuan dan dipulihkan.

Menurutnya, pelacur antara sasaran KPI untuk diajak berpoligami kerana ia sebahagian usaha memperbetulkan kepincangan masyarakat dan memperjuangkan poligami yang indah serta halal.

“Kita tiada tujuan apa-apa. Kita kasihan dengan nasib masyarakat kita hari ini, semua orang boleh cerita tetapi apa jalan keluarnya,” kata Hatijah.

Beliau berkata, selain pelacur, dua lagi golongan wanita yang turut dialu-alukan menyertai KPI untuk melaksanakan poligami ialah ibu tunggal dan anak dara lewat usia.

KPI kini mempunyai 646 ahli membabitkan 222 suami dan 524 isteri. Ketika ini semua ahli kelab berkenaan adalah anggota GISB.

Menurut Hatijah, KPI turut dibuka kepada masyarakat luar dan beliau mengakui reaksi diterima sangat menggalakkan.

Begitupun, katanya, kelab berkenaan bukan boleh disertai dengan sewenang-wenangnya kerana ada syarat perlu dipatuhi.

“Syarat utama, suami perlu membawa isteri kerana kita tidak buat di belakang isteri (secara rahsia). Wanita semestinya menentang poligami.

“Sebab itu kita akan beri pemahaman berbentuk kursus dan motivasi untuk tempoh tiga bulan sebelum keputusan dibuat tanpa paksaan.

“Yang penting, mereka diberi pemahaman, nanti disiplinnya boleh diikuti dan kerana itu perlu jadi ahli dulu, perlu ikut kursus,” katanya.

Hatijah berkata, satu lagi matlamat penubuhan KPI ialah membantu suami isteri yang bermasalah, terutama dalam usaha melaksanakan poligami.

“Ramai yang ada isteri satu lagi tetapi tidak tahu jalan keluar bagaimana hendak buat isteri pertama terima. Kita beri pemahaman kepada mereka,” katanya.

Hatijah berkata, bagi memastikan tiada yang mengambil kesempatan selain penganiayaan, KPI mempunyai badan pengawasan dan pemantauan.

“Selama ini kami memantau ahli kami. Jika ada yang melakukan perkara tidak betul, kita tentang. Takkan kita hendak biarkan mereka buat perkara tidak betul.

“Kita turut menjaga kebajikan ahli. Contohnya, jika ada ibu kehabisan susu anak, mereka boleh pergi mendapatkannya di kedai milik GISB tanpa bayaran,” katanya sambil memaklumkan, GISB mempunyai 1,000 premis perniagaan di seluruh negara.

Menurut Hatijah, GISB tiada kaitan dengan pergerakan Al-Arqam kerana ia diharamkan dan GISB bermula dari bawah hinggalah kepada apa yang ada sekarang.

“Penubuhan KPI juga bukan bertujuan menambah ahli kami, sebaliknya membantu golongan yang kami sasarkan,” katanya yang tidak menetapkan sasaran untuk jumlah ahli KPI.

Berkaitan tanggapan negatif yang sering dikaitkan dengan poligami, Hatijah berkata, KPI mampu menangkisnya hasil kejayaan ahli GISB melaksanakan poligami, selain dirinya yang berpengalaman bermadu kira-kira 30 tahun.

“Poligami yang kami katakan ini dibuktikan di kalangan kami sendiri, termasuk ahli KPI. Banyak kebaikan sebenarnya yang ada dalam poligami, tetapi ramai yang berprasangka negatif.

“Kerana itu kami jadikan poligami di kalangan kami sebagai bukti. Penubuhan KPI pasti akan mencetuskan kontroversi besar, tetapi kami sudah bersedia dengan jawapan.

“Kami juga sanggup bersemuka dengan sesiapa saja untuk melakukan perbincangan ilmiah,” katanya yang hadir bersama madunya, Noraziah Ibrahim, 51, yang juga isteri ketiga Ashaari serta sebahagian daripada 38 anak serta kira-kira 200 cucu.

Friday, August 7, 2009

Doa Pendekat Jodoh

Jodoh, rezeki dan maut adalah ketentuan Allah yang Azali. Kita berusaha untuk mendapatkan yang terbaik, namun dalamm masa yang sama, kita mesti menyedari hak dan ketentuan Allah. Kita boleh senaraikan ciri-ciri pasangan idaman kita. itu dan ini, begitu dan begini. Kita dekati orang itu dan orang ini, Hakikatnya ketentuan Allah untuk kita, kita mesti menerimanya sepenuh hati. Takdir dan ketentuan Allah itulah yang terbaik. Tidak perlu kita mempertikaikan pasangan kita terutama kekurangan yang dia atau kita miliki. jauh sekali untuk kita berbangga bahawa kita akan mendapat pasangan yang lebih baik sekiranya kita tidak memilih si dia sebagai pasangan kita. Terimalah takdir Allah dan berusahalah untuk mendapat redha Allah dan kebahagian rumahtangga semoga kita mendapat rumah tangga sakinah.

Bagi mereka yang belum ditakdirkan Allah mempunyai pasangan hidup. Islam mengatur cara ke arah menuju pembinaan rumahtangga yang sakinah. Rumahtangga yang diredhai Allah. Pastinya cara urat mengorat boleh membawa kepada kemurkaan Allah dan bertebarnya maksiat. Oleh itu, selain pengaturan tanggungjawab dalam mencari pasangan hidup terhadap anak-anak mereka, doa juga adalah senjata ampuh dalam menyempurnakan hajat berumahtangga.

Datuk Dr Harun Din ada menitipkan doa pendekat jodoh untuk kita semua. Kombinasi doa-doa berikut boleh dibaca:
(1) Surah Al-Fatihah
(2) Doa Mendapat jodoh berikut;
Sekiranya tidak mahir persoalan pertukran Dhamir, sila rujuk kepada mereka yang lebih mengetahui.

Monday, August 3, 2009

Rundingan PAS- UMNO Masih Terbuka

PAS sebagai sebuah parti politik Islam tidak pernah menutup pintu rundingan dengan mana-mana pihak termasuk UMNO. Buktinya presiden PAS telah melontar bola politik untuk dihadamkan oleh semua pihak melalui Kerajaan Perpaduan (Unity Goverment). Malangnya bola politik ini tidak disambut dengan baik oleh UMNO sebaliknya berlaku sepakan betis (chah keting). UMNO hanya bersedia bergabung dengan PAS dan meninggalkan rakan-rakan PAS dalam Pakatan Rakyat. Ini semestinya tidak akan berlaku kerana PAS adalah rakan yang setia dalam pakatan. Begitu juga pengalaman pahit turut dirasai apabila PAS ditendang keluar daripada Barisan Nasional lantaran tuntutan PAS untuk memperkenalkan dasar-dasar yang lebih Islamik.

Kerajaan Perpaduan yang dimaksudkan oleh Yb Tuan Guru Presiden ialah kerajaan yang melibatkan semua parti politik. Semua parti politik ini berperanan sebagai pemerintah dan dapat menyumbang memajukan negara serta mengurangkan pergeseran antara parti politik.

Apabila ditanya dalam sesi dialog di sebuah hotel di Tawau Sabah, berkenaan PAS yang dilihat lebih berminat untuk berkawan dengan DAP (dipelopori oleh multi kaum dan bukan Islam) berbanding dengan UMNO yang majoriti Melayu Islam. Tuan Guru Presiden menjelaskan bahawa sudah tiba masanya kita meninggalkan politik perkauman yang sempit yang akan merugikan semua pihak. Politik perkauman tidak akan menguntungkan Melayu, malah akan menjadi bom jangka yang akan memusnahkan Melayu itu sendiri. Politik perkauman terlalu bahaya untuk diamalkan dan bertentangan dengan Islam. Baginda Nabi SAW juga tidak mengamalkan politik perkauman Arab sekalipun baginda adalah seorang yang amat berbangga dengan keArabannya.

Politik kita mesti menjurus kepada masyarakat majmuk dan Islam mengajar konsep Tahaluf dalam berpolitik. Baginda Nabi Muhammad SAW telah menjalin hubungan politik dengan Yahudi Bani Nadir, Bani Qainuqa dan bani Quraizah yang terkenal khianat mereka. Begitu juga dengan Kristian Najran. Jadi apa salahnya kita berkompromi dalam pakatan longgar dengan mencari titik persamaan bersama DAP untuk membina masyarakat yang Adil dan progresif. Lagipun inilah masanya untuk memperkenalkan politik Islam.

Ketika ditanya tentang keikhlasan DAP dalam menjalinkan kerjasama dengan PAS, beliau menjelaskan, kita tidak berhak menghukum mereka ikhlas atau tidak, kerana kita hanya mampu menghukum yang zahir sahaja. Sebab itulah, Pakatan Rakyat adalah Pakatan yang longgar tetapi kukuh. Sesungguhnya, bersangka baik itu adalah lebih baik bagi orang mukmin.

UMNO sekalipun parti politik Melayu Islam, UMNO adalah ciptaan dan warisan penjajah. Ketika pejuang PAS dalam Hizbul Muslimin berjuang menentang penjajah Inggeris, pemimpin UMNO adalah pegawai-pegawai Inggeris. Pemimpin Hizbul Muslim yang ditangkap dan dipenjarakan, sedangkan pemimpin UMNO bersenang lenang dibawah ketiak Inggeris.

Apalagi politik yang diamalkan UMNO mengetepikan politik dosa pahala. Pemisahan politik dengan agama adalah bukti nyatakan UMNO mengetepikan soal dosa pahala dalam berpolitik. Malah bilamana PAS menekankan soal dosa pahala dalam mengundi umpamanya, mereka mengatakan PAS merasuah pengundi dengan dosa pahala. Lantaran menolak konsep dosa pahala dalam politik, rasuah seakan menjadi makan minum dalam politik UMNO. Mungkinkah kita dapat bergabung dengan parti politik seumpama ini?

Tuan Guru Presiden tidak menolak penyertaan PAS dalam barisan Nasional tahun 1970/74 tidak mendatangkan beberapa perubahan dalam Kerajaan seperti laungan azan di TV dan Radio, penghapusan hidangan arak walaupun sedikit dalam jamuan negara dan sebagainya. PASTInya PAS tidak pernah menutup pintu rundingan untuk kepentingan ummah dan agama.

Doktrin Politik Islam Digeruni Musuh

Hanya Islam yang syumul yang merangkumi doktrin politik Islam sahaja yang digeruni dan dihormati oleh musuh Islam. Demikian ditegaskan oleh Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam sesi dialog bersama warga Tawau, Sabah, kelmarin.

Menurut beliau, seorang orientalis Barat (Belanda) yang belajar di Pasantren Indonesia dengan tujuan untuk menyerang Islam telah membuat kesimpulan hasil penyelidikannya bahawa umat Islam yang tunduk di masjid sahaja tidak berbahaya dan mampu menguggat gerakan misionary dan ideologi-ideologi lain kerana mereka hanya menumpukan kepada islah diri mereka sahaja. Akan tetapi umat Islam yang mempunyai doktrin politik Islam lebih berbahaya dan mengancam ideologi dan pengaruh barat. Ini berikutan politik Islam bakal memerintah dengan adil dan penuh hikmah yang akan menyukarkan sebarang pengaruh lain untuk mempengaruhi umat Islam. Umat Islam akan kuat dan bakal muncul sebagai suatu kuasa politik dunia.


[ Ust Razali Pejuang Tawau dan anak-anak bergambar kenangan dibelakang Tuan Guru Presiden]


Sejarah Islam telah membuktikan, bilamana pemerintah Islam berpegang kepada undang-undang Islam, keadilan akan dapat ditegakkan sekalipun pemimpin Islam tersebut buruk akhlaknya. Beliau mengambil contoh Timberland seorang pemerintah Monggol keturunan Tartar yang pernah menjajah Tamadun Islam seorang peminum arak tetapi tidak pernah meninggalkan solat subuh berjemaah boleh berlaku adil kepada rakyatnya. Begitu juga Sulatan Mesir Malik Zahir Bobes (dari keturunan hamba) yang agak buruk akhlaknya, bilamana negaranya diancam oleh serangan Tartar Monggul, baginda kembali kepada Islam dan berjaya menahan asakan Tartar Monggul yang terkenal ganas dan kuat itu. Natijah ini berlaku selepas beliau melancarkan slogan " selamatkan Islam" kepada rakyatnya.

Berhubung perkara yang sama, apabila menjawab cadangan seorang penyokong Parti Keadilan Rakyat(PKR) supaya dibina lebih banyak sekolah agama di negeri Sabah ini. Menurutnya, apabila sekolah agama banyak dibina, ramai orang belajar dan faham Islam, mereka akan menyokong Islam. Tuan Guru Presiden menyebut: "Di Malaysia ini, Johor adalah negeri yang paling banyak sekolah agama, namun dalam masa yang sama negeri Johorlah negeri yang paling susah Islam untuk menang kerana rakyatnya berpegang kepada nasionalis"(fahaman kebangsaan Melayu). Apa yang penting dalam pendidikan Islam ini ialah pendidikan Islam yang syumul, menyeluruh dan menepati pendidikan yang diajar oleh baginda Nabi SAW. Nabi Muhammad SAW adalah pemimpin agung dan contoh teladan yang terbaik. Baginda seorang pendakwah, ketua keluarga, kepala tentera, baginda juga adalah pemerintah sebuah kerajaan yang berdaulat.

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008