Friday, July 30, 2010

PAS Komited Pejuang Pendidikan Islam

Pendidikan Islam menjadi agenda penting PAS sesuai dengan PAS sebagai gerakan dakwah dan juga parti politik yang berjuang atas landasan Islam demi menegakkan ketuanan Islam di muka bumi Allah ini. Usaha untuk melahirkan generasi Rabbani yang dimulakan PAS semenjak anak-anak itu masih diperingkat awal kanak-kanak. PASTI menjadi bukti kesungguhan PAS dalam merealisasikan cita-cita Islam ini. Demikian penegasan Sdr Lahirul Latigu, Ketua Dewan Pemuda PAS Sabah, ketika merasmikan Majlis Ihtifal PASTI Zon Sandakan.

"Aktivis-aktivis PAS telah membangun dan mengurus PASTI dengan menggunakan wang saku sendiri yang bermula dengan kosong. Bahkan ada antara aktivis PAS mengorbankan gaji bulanan atau pendapatan harian mereka untuk menampung pembayar elaun guru dan keperluan PASTI. Manakala guru PASTI pula berkhidmat dengan ikhlas untuk melakukan kebajikan sekalipun imbalan yang diterima tidak seberapa".Jelas lahirul lagi.

Beliau turut mengingatkan ibubapa yang hadir tentang bahayanya masa depan anak-anak yang tidak dididik dengan asuhan agama dalam menghadapi era globalisasi dan juga kemajuan internet. Bahayanya bukan setakat merosakkan akhlak bahkan sehingga memesongkan aqidah umat.

Lahirul turut melahirkan kekesalan terhadap langkah Kerajaan yang menaikkan harga minyak dan keperluan asas lain kerana ianya akan menyebabkan peningkatan kos yang bakal ditanggung rakyat termasuk kos pendidikan. Sehubungan dengan itu, beliau menyeru ibubapa yang hadir supaya bangkit bersama Pakatan Rakyat untuk mendapat pendidikan percuma diperingkat rendah, menengah dan pengajian Tinggi. Janji ini telah diputuskan dalam konvensyen Pakatan Rakyat sebelum ini.

Majlis Ihtifal PASTI Zon Sandakan kali ini mendapat sambutan meriah dari wakil-wakil 14 buah PASTI zon Sandakan. Pidato, sajak, bercerita kisah Al-Quran, nasyid, azan subuh, hafazan dan khutbah antara acara yang dipertandingkan.

Turut hadir ke majlis tersebut, timbalan beliau, Ust Zaidi Mustapa dan Ketua Pemuda PAS Sandakan, Ust Kamarudeen Wahab.

Saturday, July 17, 2010

Naik Harga Barang :Hadiah Untuk Pengundi Sabah

Kesetiaan yang tidak berbelah bagi pengundi Sabah kepada Barisan Nasional dalam pilihanraya ke 12 yang lalu, kini sudah boleh menuai hasilnya. Kenaikan harga minyak, gas dan gula dalam keadaan kesempitan hidup rakyat amatlah tidak munasabah. Namun demikian, inilah hadiah yang pasti akan diberikan Barisan Nasional kepada rakyat khususnya pengundi Sabah. Demikian luahan Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Hj Hamzah Abdullah yang nyata kecewa dengan berita malang ini.

Hj Hamzah Abdullah [gambar]

Rakyat Sabah adalah mereka yang paling merasai kepayahan, kesan kenaikan harga barang asas seperti minyak, gas dan gula. Faktor geografi yang luas, berbukit, bergunung, struktur jalanraya yang yang teruk menjadikan kenaikan yang ditentukan hanya lima sen akan menjadi lebih daripada itu, terhadap semua barang asas. Apa lagi, masih ramai rakyat Sabah yang menggunakan minyak botol yang diperolehi daripada penjaja-penjaja kecil. Pastinya, rakyat pendalaman Sabah akan mengalami kesusahan berganda.


" Siapa dari kalangan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional yang boleh menjamin dan memastikan harga minyak, gula dan keperluan asas lain tidak dinaikkan lebih daripada kenaikan yang ditetapkan? malah setiap kali berlaku kenaikan, peniaga biasanya akan menaikan lebih daripada itu, khususnya dikawasan pendalaman Sabah. Sejaumana kemampuan pemantuan daripada Kementerian Hal Ehwal Pengguna?". Soal Hj Hamzah lagi.

Beliau mengesa, rakyat Sabah mestilah bersedia untuk menghukum UMNO dan Barisan Nasional. Selama ini, Sabah menjadi benteng BN yang paling kuat di Malaysia setelah kubunya, Johor turut ditembusi Pakatan Rakyat. Sepatutnya, rakyat Sabah yang majoritinya di pendalaman dan menghadapi kepayahan hidup didahulukan.

Kelmarin, Datuk Seri Najib berkata, kenaikan harga minyak, gas dan gula adalah satu penyelarasan subsidi. Ianya merupakan satu langkah berani yang diambil kerajaan bagi meletakkan ekonomi Malaysia di landasan kukuh pada masa depan.

Namun demikian, kenyataan ini disanggah oleh Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang beranggapan tindakan itu sedikit pun tidak membantu menyelesaikan masalah defisit negara, malah ia makin meningkat.

“Bagi tahun 2008, di kemuncak kenaikan harga minyak, defisit negara melonjak kepada 4.8 peratus berbanding 3.2 peratus bagi tahun sebelum itu.


“Keadaan ini berlaku kerana kerajaan tidak berdisiplin dan tidak ada iltizam politik untuk menyalurkan penjimatan dari pemotongan subsidi ke sektor-sektor yang benar-benar memerlukan, sedangkan pembaziran dan kerugian terus berlaku,” tegasnya.


Sebab itulah, kata Anwar, beliau telah menegaskan berkali-kali bahawa ubat yang paling mujarab untuk memulihkan ekonomi negara adalah reformasi ekonomi yang menyeluruh, bukannya tertumpu kepada golongan lemah semata-mata.

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008