Sunday, April 24, 2011

Takaful Ikhlas kutip RM1 juta


WAN MOHD. FADZLULLAH (kanan) bersalaman dengan Abdul Rahim selepas memeterai memorandum persefahaman antara Takaful Ikhlas dengan Koperasi MBI di tapak MSAM 2011 di Stadium Indera Mulia, Ipoh semalam.


IPOH – Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. (Takaful Ikhlas) berjaya mengutip lebih RM1 juta nilai sumbangan pelanggan baru sepanjang empat hari penganjuran Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2011 yang berlangsung sejak Rabu lalu.


Naib Presiden Eksekutifnya, Wan Mohd. Fadzlullah Wan Abdullah berkata, pihaknya menyasarkan untuk mencapai jualan sekurang-kurangnya RM4 juta sepanjang penganjuran MSAM.


“Berdasarkan sambutan menggalakkan dan kehadiran pengunjung yang semakin ramai, kami yakin dapat mencapai sasaran itu dalam tempoh tiga hari terakhir ini.


“Antara produk yang mendapat permintaan ialah Takaful Simpanan Ikhlas iaitu pelan berbentuk pelaburan yang menyediakan dana simpanan, memberi pulangan ke atas pelaburan dan menawarkan perlindungan kepada peserta,” katanya kepada pemberita selepas memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara Takaful Ikhlas dengan Koperasi Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini semalam.


Beliau telah mewakili Takaful Ikhlas manakala Koperasi MBI diwakili Timbalan Yang Dipertuanya, Datuk Abdul Rahim Md. Ariff.


Wan Mohd. Fadzlullah berkata, selain berperanan sebagai Rakan Agama dalam penganjuran MSAM 2011, Takaful Ikhlas juga menganjurkan pelbagai program sokongan lain seperti pertandingan mengeja jawi dengan kerjasama Utusan Melayu (M) Bhd.

Thursday, April 21, 2011

Hadiah MTQ 2012, Kinabatangan Meningkat

ADUN Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman telah mengumumkan bahawa pada tahun hadapan hadiah Tilawah dan Nasyid akan lebih lumayan berbanding sekarang demi memartabatkan syiar Islam.


Saddi yang merasmi dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang Festival Nasyid, Kompang, Marhaban dan Tadarus Al-Quran peringkat daerah Kinabatangan telah membuat pengumuman itu sebaik turun daripada pentas dan mengambil mikrofon daripada pengerusi majlis untuk membuat pengumuman itu.


”Majlis agama mesti diperjuangkan demi memartabatkan syiar Islam. Kalau bukan kita siapa lagi? Pada tahun hadapan, saya dengan kerjasama JHEAINS akan menawarkan hadiah yang lebih lumayan untuk menarik minat masyarakat menyertai majlis agama,” kata Saddi yang diapit oleh dua orang Penolong Pegawai Daerah Kinabatangan.


”Pada tahun hadapan, hadiah Qari dan qariah akan dinaikan kepada RM1,000 bagi johan, RM750 untuk naib Johan dan ketiga RM500. Manakala bagi nasyid pula, hadiah johan adalah RM500,? jelas Saddi yang seperti kurang puas hati dengan jumlah hadiah di dalam sampul yang disampaikannya di atas pentas sehingga pengumuman beliau disambut dengan tepukan gemuruh para hadirin.


Rata-rata hadirin yang ditemui berpuas hati dan bangga dengan pengumuman yang dibuat oleh Saddi dan mereka berharap sambutan festival keagamaan ini lebih meriah pada tahun hadapan.


Namun demikian, ada juga kalangan hadirin yang meletakkan kebimbangan dengan janji itu.


”Cakap orang politik ini bukan boleh dipercayai 100%. Dia cakap hari ini, esok dia kata lupa. Majlis agama terus bernafas dalam lumpur,” ujar seorang hadirin yang tidak mahu dikenali.


Festival tersebut telah menobatkan pasukan Muawiyah dari Hospital Kinabatangan sebagai juara nasyid dan Razman Asmat sebagai johan Qari.

Wednesday, April 20, 2011

Masjid Al-Ghafar Bantu Mangsa Kebakaran

Masjid tidak hanya dijadikan sebagai tempat untuk mendirikan sembahyang sahaja tetapi mesti lebih daripada itu. Ini sesuai dengan peranan masjid yang telah dijanakan oleh baginda Rasulullah yang menjadikan masjid sebagai tapak membina ummah melalui tautan ukhwah dan dakwah.

Menyedari akan hakikah ini, masjid Al-Ghafar Batu 8 Bukit Garam, telah menggunakan kutipan sekali jumaatnya untuk menghulurkan sumbangan sebagai tanda simpati dan meringankan beban sepasang suami isteri warga emas di Batu 5, Bukit Garam. Rumah mereka hangus dijilap api hanya dalam masa 7 minit sahaja.

Rombongan masjid Al-Ghafar diketuai oleh pengerusinya En Ahmad Amrin berserta empat orang ahlijawatankuasa termasuk pengerusi Biro Kebajikannya telah menziarahi keluarga tersebut dan melihat sisa-sisa arang di tapak rumah yang telah hangus.

Kehadiran ahlijawatankuasa masjid ini amat dialu-alukan oleh keluarga mangsa. Menurut salah seorang menantu mangsa, kehadiran dan ziarahi sebegini memperlihatkan rasa tanggungjawab masyarakat terhadap mereka yang ditimpa musibah. Beliau secara peribadi rasa terharu dan berterima kasih di atas ziarah dan sumbangan kepada mertuanya.

Beliau juga mengharapkan, masjid-masjid lain dapat mencontohi keprihatinan masjid Al-Ghafar yang turun dan mengambil tahu kepayahan masyarakat. Ini kerana, usaha sebegini bakal mendekatkan masyarakat dengan masjid dan masjid tidak hanya berfungsi sebagai tempat penyembahan sahaja.

Setakat ziarah jawatankuasa masjid, mangsa yang masih menumpang dirumah menantunya, hanya mendapat beberapa sumbangan kecil daripada badan kebajikan Kinabatangan dan orang perseorangan.

Menurut En Ahmad Amrin, pengerusi masjid Al-Ghafar, beliau berharap masjid Al-Ghafar dapat terus turun dan mengenali masyarakat terutama masyarakat sekitar. Masih ramai mereka yang terainaya dan kepayahan yang tidak mendapat perhatian dan bimbingan. Fungsi masjid mesti diperkasakan semula. Jemaah masjid mesti ditambahkan setiap hari.

" Sampai bilalah jemaah masjid yang tua-tua ini akan bertahan? Apa lagi masjid semakin sunyi apabila ustaz-ustaz yang kebanyakkan dari Semenanjung pulang bercuti.Sesuatu di luar kebiasaan mesti dilakukan" Keluh Ahmad yang bimbang tentang kehadiaran jemaah masjid.

Selain itu, Ahmad Amrin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penderma yang telah memudahkan pihak masjid Al-Ghafar melaksanakan aktiviti dakwah dan juga pengurusan serta pembangunan masjid.

Ahmad, Ust Baitulmakmur, Ust Fairul dan Abd Sani mendengar dengan sebak
Pengerusi Biro kebajikan, Abdul Sani menyampaikan sumbangan bagi pihak masjid Al-Ghafar

Keratan akbar yang melapor kebakaran tersebut. Ringkas dan tidak jelas. Itu jugakah yang berlaku kepada keprihatinan pemimpin masyarakat kepada mangsa
rumah yang menyimpan 1001 kenangan .. kini hanya menjadi taburan arang

Monday, April 11, 2011

Politik Kotor Barah Membunuh

Politik jijik UMNO Barisan Nasional dalam mengekalkan kuasa bakal menjadi barah yang boleh menyingkirkan UMNO Bn daripada tampuk kekuasaan. Kesanggupan pemimpin UMNO BN menggunakan kaedah matlamat menghalalkan cara telah mengkucar kacirkan politik tanahair.


“ UMNO BN telah menjadikan akhbar dan TV milik kerajaan sebagai agen pembawa fitnah dan mengaibkan musuh politik, memanupilasi agensi Kerajaan dan menaikkan harga barang demi keselesaan mereka untuk hidup mewah di puncak kuasa”. Kata Hj Hamzah Abdullah.


Hj Hamzah merujuk keangkuhan presiden Mesir , Hosni Mubarak yang sentiasa menang besar dalan siri-siri pilihanraya yang mereka adakan. Akan tetapi keangkuhan Hosni Mubarak akhirnya menyembah bumi lantaran kebangkitan rakyat yang sudah tidak tahan dan juak dengan sikap penyelewengan dan ketidaktelusan pilihanraya.


“ Najib jangan kata Malaysia tidak akan jadi seperti Mesir dan Negara Asia Barat, masyarakat Malaysia sudah jauh berubah terutamanya masyarakat Melayu. Melayu di zaman kesultanan Melayu adalah bangsa yang terlalu taat dan sanggup mengorbankan diri demi pemimpin, tetapi sekarang mereka sudah menilai mana intan dan mana kacanya”. Tambah Hj Hamzah.


UMNO BN semakin angkuh sejak mereka memenangi beberapa siri pilihanraya kecil sejak akhir-akhir ini dan mendabik dada bahawa pengundi sudah menerima kembali parti mereka. Lantaran itu, dengan berani dan sombongnya harga minyak dinaikkan pada setiap kali pilihanraya kecil. Pilihanraya kecil Batu Sapi dan DUN Galas sehinggalah PRK Dun Sarawak, harga minyak dinaikkan. Mereka sengaja untuk menguji kesabaran rakyat kepada mereka.


“ Kita cukup yakin, tipu daya politik UMNO BN akan berakhir juga suatu hari nanti. Cuma masa dan ketika sahaja yang menentukannya. Rakyat sudah mula membuka mata dan terlalu muak dengan politik lucah terlampau BN” kata Hj Hamzah. Selain itu beliau amat berharap pengundi Sarawak dapat menunjukkan pintu taubat buat UMNO BN dan Taib Mahmud di atas perahan hasil bumi Sarawak untuk kemewahan mereka dan kroni selama ini.

Sunday, April 3, 2011

Hospital Tawau Juara MTQ

Hospital dan Jabatan Kesihatan Tawau berjaya mengekalkan kejuaraan dalam acara Majlis Tadarus Al-Quran (MTQ) peringkat Zon Pantai Timur yang melibatkan daerah Beluran, Lahad datu, Kunak, Semporna, Sandakan, Kinabatangan dan Tawau dengan memenangi acara Hafazan, Bercerita, Pidato dan Tilawah.

Program yang dikendalikan oleh Persatuan Kakitangan Perubatan (PERKIPS) ini telah dirasmikan oleh Tuan Hj Mohd Zamri Baharudin, Naib Yang Dipertua PERKIPS, JKN Sabah di dewan Sr Lamag, Kinabatangan.

Program yang berlangsung selama dua hari ini diisi dengan seminar 1 Malaysia 1 Ummah yang dikendalikan oleh Ust Mohd Zaidi Mustafa telah diadakan pada malam sebelum perasmian.
Hari kedua dipenuhi dengan acara-acara Majlis Tadarus Al-Quran dan festival Nasyid.


[Peserta paling menyerlah][Gambar]

Dr Syed Sharizman selaku pengerusi penganjur dan pengarah Hospital Kinabatangan cukup berpuashati dengan kerjasama dan kejayaan program yang julung kalinya diadakan di Kinabatangan. Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyumbang kepada kecapaian majlis tersebut.

Hj Abdullah Tahir, pengerusi PERKIPS Kinabatangan dinobatkan sebagai Tokoh PERKIPS pada kali di atas khidmat cemerlang beliau memimpin PERKIPS.

Sementara itu, Hospital Beluran telah muncul sebagai pemenang dalam pertandingan nasyid sekalipun telah diberi saingan sengit oleh Hospital Sandakan dan Semporna.

Barisan Hakim yang mengadili acara
Gaya tersendiri
Pasukan Nasyid Tawau
Kinabatangan yang memberi saingan
Hj Mohd Zamri menyampaikan cenderahati

Friday, April 1, 2011

Peniaga Kecil Tersepit

Sudah menjadi nasib peniaga kecil, yang terpaksa menumpang dan mengharapkan belasan ehsan pemilik bangunan bagi mencari sesuap rezeki untuk meneruskan kehidupan. Persoalannya sampai bila mereka terpaksa menyuap buaya buas di muara sungai?

Inilah keluhan dan rintihan para peniaga kecil Sabah yang rata-rata terpaksa menyewa permis perniagaan yang mahal. Malah ada peniaga terpaksa membayar sewa sehingga RM650 hingga RM1500 untuk menyewa bangunan dengan kadar keluasan 3X6 dan 8 X 6 kaki persegi.

Bukan sekadar itu, peniaga juga didesak untuk membayar tiga hingga lima bulan deposite untuk menyewa lot kedai tersebut. Ini tidak termasuk kos pengubahsuaian kedai tersebut. Malah dalam masa pengubahsuaian itu juga, sewa bulanan kedai turut berjalan.

" Senario yang berlaku di bandar-bandar malah di pekan-pekan seluruh Sabah ini amat membebankan peniaga kecil yang mempunyai modal yang terhad. Kos ini belum lagi termasuk barangan yang hendak mereka niagakan". Terang Hisyamuddin.

Hisyamuddin selaku Ketua Penerangan PAS Sabah mendesak Kementerian atau jabatan yang terbabit supaya menggubal satu enekmen atau akta yang boleh mengawal dan menghadkan kadar sewa supaya para peniaga kecil dapat keluar daripada kesusahan lintah darat yang terus menyedut kudrat mereka.

"Sekiranya fonemena ini dibiarkan, saya bimbang nasib peniaga kecil yang majoritinya adalah bumiputera akan terbatas keupayaan niaga mereka sehingga terpaksa memilih untuk berniaga dikaki-kaki lima bangunan atau pasar-pasar tamu yang bersifat mingguan sahaja". Jelas Hisyamuddin.

" Jika begini keadaan mereka, peniaga kecil yang sebahagiannya meminjam modal daripada Amanah Ikthiar dan TEKUN akan terbeban dengan hutang dan sukar untuk mereka membayar balik pinjaman mereka. Jika ini terjadi, sia-sialah usaha kerajaan untuk membasmi kemiskinan melalui program Amanah Ikthiar dan TEKUN". Tambah Hisyamuddin.

Kadar sewa yang tinggi ini turut menambah jurang ekonomi antara golongan kaya dan golongan miskin. Inilah antara sebab kenapa gaji pekerja di Sabah terlalu murah jika dibandingkan dengan pendapatan yang diperolehi oleh majikan.

Selain itu, kadar sewa yang mahal juga turut menyebabkan barang jualan dinaikkan harga bagi menampung kos sewa bangunan. Pelangganlah yang selalu menjadi mangsa kepada kerakusan golongan bangsawan.

"Tindakan tangkas ini perlu bagi membela golongan yang berpendapatan rendah.Malah, saya cukup optimis, sekiranya Pakatan Rakyat diberi mandat untuk mentadbir negara, perkara yang melibatkan golongan berpendapatan rendah akan diberi keutamaan oleh kita." Kata Hisyamuddin menutup bicaranya.

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008