Monday, August 19, 2013

Suara Pendalaman Sabah

Tiada niat tersimpul dihati
Jauh sekali percikan benci
Hanya sekadar minta perhati
Pendalaman Sabah siapa peduli
Rumah Allah sunyi sepi
Ada juga yang sudah Islam berkali- kali
Amalan paganisme masih berakar umbi
Banyak orang rindu araimaiti
Jauh bimbingan untuk usolli
Bukan tidak mahu tetapi tidak reti

Saudara kita, siapa peduli
Kais pagi makan pagi
Hidup dalam onak duri
Dunia luas bagai dibatasi
Dalam mengenalmu Ya Rabbi....
Usahkan kitab besar hendak mereka tadahi
Fardu ain penjaga diri
Turut berkakai mengenal Fatihah pembuka hati

Saudara kita siapa peduli
Mengatur jenazah puas mencari
Biarpun mati hanya sekali
Hidayah didamba tiada pusat mengaji
Kedengaran hanya suara TV
Melalui astro teman sejati

Ayuh teman..kita tunaikan
Tanggungjawab sesama insan
Membantu menerangi yang kegelapan
Supaya terlepas dari soalan
Saudaramu apa yang telah kau lakukan
Kenapa kamu membiarkan
Sedangkan kamu telah kami limpahkan
Rezeki berisi juga kesihatan
Marilah kita melakukan kebajikan
Semoga menjadi bekalan di hari kemudian

Panjang lagi ingin kucoretkan
Namun terhad masa terluang
InsyaALLAH ketemu di masa kemudian
Dengan paparan dakwah bersama Ust Akhwan
Dalam misi dakwah ke Kg Rungus Baru dan Sungai Lokan

 Beli, sembelih dan jamuan untuk penduduk setempat
 Mengajar menebar roti canai dan jamuan yang menjimatkan
 Ceramah sambil menyanyi pendekatan yang menarik untuk mereka
Kambing bakar, menu yang merangsang gerakan

Hasrat Matan Presiden Yang Tertangguh

Musim cuti sekolah dimunafaatkan dengan membantu isteri mengemas rumah dan menyusun semula buku-buku kesayanganku. Aku terjumpa cebisan kertas yang mempunyai catatan ucapan Presiden  ketika mesyuarat agung Perakan Malaysia yang berlangsung di Gombak di zaman Allayarham Cikgu Mohd Radhi mengambilalih kepimpinan Perakan Malaysia daripada En Aripin Mahmod.

Cikgu Mohd Radhi Yusof (Matan Presiden PERAKAN) telah pergi meninggalkan kita dengan jasa yang cukup banyak menubuh dan membangunkan Persatuan Anak- anak Kelantan diperantauan (PERAKAN Malaysia) . Beberapa perkara yang tercatat dalam catatan saya mengenai hasrat beliau untuk menubuhkan sebanyak mungkin cawangan Perakan yang mana beberapa cawangan baru telah ditubuhkan seperti Sibu, Melaka dan Johor Baru.

Beliau berbesar hati untuk membuka cawangan perakan sehingga ke luar negara seperti Jordan, Mesir, Indonesia dan di tempat-tempat yang mempunyai anak Kelantan. Cawangan Perakan yang jauh ini, ada baiknya dibina tempat wakaf untuk anak Kelantan berkumpul dan persinggahan bagi yang bermusafir. Dengan itu, markas Perakan akan menjadi tempat kemasyarakatan dan kebajikan.

TUGAS PERAKAN

Allayarham Cikgu Mohd Radhi menegaskan anak Kelantan adalah duta Kelantan yang mesti membetulkan persepsi yang salah terhadap rakyat Kelantan.

1. Orang Kelantan Pemalas
Musyhi Abdullah dalam tulisan beliau mengkritik beberapa tabiat orang Kelantan yang disifatkan sebagai pemalas dan pengotor. Sikap orang Kelantan dulu-dulu yang membela kambing atau lembu di bawah rumah dan membakar tahi lembu di depan rumah dianggap pengotor dan mengambil mudah.

2. Orang Kelantan Jahat
Orang Kelantan dilihat kasar dalam percakapan dan terlibat di dalam kumpulan- kumpulan 'gedeber' yang berpengkalan di Kuala Lumpur, Johor baru dan bandar-bandar besar.Bahkan ada yang terlibat dengan aktiviti maksiat dan sebagainya. Orang Kelantan tidak mudah mengalah dan sikap kepuakan yang mahukan menang.

Namun disebalik sifat negatif ini, orang Kelantan mempunyai sifat positif yang cukup kuat untuk menjulang negeri Kelantan sebagai negeri Serambi Mekah. Orang kelantan terkenal dalam pelbagai bidang seperti.

1. Orang Kelantan suka mengembara dan sukakan cabaran
Sekalipun ditohmah dengan pelbagai tomohan kerana sikap suka mengembara ini, rakyat Kelantan terbukti terselerak di seluruh Malaysia. Mereka menguasai  di pusat-pusat pengajian, pusat perniagaan dan tempat-tempat strategik. Bukan sekadar itu, seluruh ceruk rantau sekalipun hingga ke pendalaman Sabah dan Sarawak, pasti ada anak Kelantan yang terlibat untuk menjaga negara samaada sebagai guru, tentera,pendakwah, kakitangan kerajaan malah sebagai peniaga.

2. Orang Kelantan menerokai perniagaan Melayu di Bandar- bandar besar
kalau disebut  soal bumiputera yang tegar berdikari dalam perniagaan,pasti itulah anak Kelantan. Tidak sah, jika seseorang anak kelantan hidup di sesuatu tempat sekiranya nasi kerabu,ayam percik, laksam, kuih lompat tikam, akok kedut, keropok ikan tidak disuap di mulut orang tempatan. Penguasaan perniagaan orang kelantan dari Gua Musang hingga ke segenting Kera. Dari Lipis, kampung Baru hingga ke Johor baru, Dari Kunching hingga ke Kalabakan.

3. Orang Kelantan tegas beragama
Tok Kenali yang menjadi ikon agama dan ulama di Kelantan disanjung tinggi. Institusi agama, sekolah agama dan pondok - pondok pengajian berkembang subur di kelantan sehingga melahirkan ramai ulama-ulama besar dan menjadi tumpuan rakyat Malaysia dan Asia Tenggara untuk mendapat pendidikan agama. Rakyat Kelantan juga sanggup menolak Kerajaan yang menjanjikan pembangunan dan sangguphidup dalam keadaan yang susah kerena mereka menolak Islam. Islam adalah segalanya untuk orang Kelantan.

4. Orang Kelantan Guru Politik
Kelantan menjadi universiti politik terbuka. Orang Kelantan sanggup menerima orang luar sebagai Ahli parlimen, ADUN bahkan orang Kelantan pernah melantik Allahyarham Dato' Asri Muda, orang Kedah sebagai Menteri Besar. Tanpa mengira,pemimpin dari parti mana, sekiranya pemimpin lemah, korupsi dan dilihat tidak konsisten membela rakyat, mereka akan ditolak rakyat Kelantan. Orang Kelantan tidak taasub kepada pemimpin seperti yang didakwa tetap orang Kelantan cerdik dalam memilih dan melantik pemimpin yang disifatkan pengganti rasul. Rakyat Kelantan tidak bergantung hidup kepada kerajaan. Mereka bebas membuat pilihan dan mengkritik kerajaan sepanjang masa. Parlimen mereka adalah kedai kopi.

5. Orang Kelantan Tegas Berdikari
Sekalipun masih mempunyai mereka yang suka menerima subsidi dan ihsan orang lain tetapi majoriti orang kelantan tegas hidup berdikari. mereka menanam Kelapa bila lahir seseorang anak, memelihara lembu kambing sebagai bekal untuk anak-anak melanjutkan pelajaran. sanggup menjual tanah sekalipun tanah pusaka untuk memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang sepatutnya. Orang Kelantan sanggup bergolak bergadai menghantar anak belajar di Mesir, Indonesia, syria, Jordan dan merata dunia dengan belanja sendiri sekalipun mereka hanya petani, nelayan, tukang jahit,tukang rumah dan sebagainya. Inilah antara faktor, kenapa orang Kelantan memenuhi pusat-pusat pengajian seluruh dunia.

6. Perpaduan Orang Kelantan Model Terbaik
Cina, Siam, India dan Melayu hidup rukun bahagia di kelantan. Mereka bebas mengamalkan agama mereka tanpa gangguan daripada masyarakat Melayu yang menjadi kaum majoriti besar di Kelantan. Orang Siam mempunyai tokong yang terbesar di kampung Jubakar, Kg Beruk dan sebagainya. Cina, Siam dan India fasih cakap melayu dan mahir membaca jawi, bahkan ada yang boleh memberi tazkirah kepada Melayu Islam tentang Islam kerana sekitar mereka dipenuhi hidup beragama orang kelantan. dari segi budaya, ada orang Cina yang lebih pekat berloghat Kelantan dan hidup dengan berpakaian yang lebih Kelantan. Itu tandanya perpaduan bangsa di Kelantan patut dijadikan model

Tugas anak Kelantan dalam membetulkan persepsi ini, harus dipikul bersama. Penulis telah membuat beberapa tambahan terhadap pandangan Allayarham Cikgu Radhi demi mencapai matlamat menjadi duta Kelantan dengan beberapa penjelasan. Dalam kesempatan ini, marilah sama-sama kita menyedekahkan Al fatihah kepada Allahyarham Cikgu Radhi semoga beliau damai di sana dan kerja -kerja yang dilakukan semasa hayat beliau diganjar oleh Allah dengan ganjaran sepatutnya.Hanya Allah yang layak membalasnya.

Semoga coretan ini tidak disalah tafsirkan sebagai bersifat kenegerian. Ku menulis bukan kerana nama,ku menulis kerana sifat kasih dan rasa terhutang budi..

Penulis ialah Setiausaha Perakan Cawangan Sandakan..

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008