Wednesday, December 20, 2023

WANITA PILIHAN HATI

 عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ لِأَرْبَعٍ لِمَالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَجَمَالِهَا وَلِدِينِهَا فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ

Daripada Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Wanita itu dinikahi kerana empat perkara iaitu kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah kerana agamanya, nescaya kamu akan beruntung dan bernasib baik." (HR Bukhari No: 4700) Status Hadis Sahih

sekadar gambar hiasan


Pengajaran:

1.  Perkahwinan adalah ibadah yang digalakkan bagi yang berkemampuan bagi menyalurkan naluri seks yang halal serta dibenarkan oleh syarak untuk mencari keredhaan Allah.


2.  Wanita ideal yang dipilih menjadi isteri sebaiknya memiliki empat ciri berikut:


a.  Harta

b.  Keturunan (termasuk keturunan yang ramai)

c.  Kecantikan

d.  Agama 


3.  Pemilihan wanita yang berdasarkan kepada harta, keturunan dan kecantikan semata-mata tidak digalakkan oleh Islam. Pemilihan ini tidak dapat menjamin sepenuhnya kebahagiaan rumahtangga serta pendidikan anak-anak yang bakal dilahirkan.


5.  Pemilihan jodoh sama ada bagi lelaki mahupun wanita hendaklah mengutamakan kepada mereka yang beragama dan beramal dengan kehendak agama (soleh dan solehah). Selepas aspek beragama, barulah dilihat aspek harta, keturunan dan kecantikan.


6.  Memilih pasangan yang beragama sebagai keutamaan dan pra syarat akan melahirkan kehidupan yang Sakinah mawaddah warahmah serta menjadikan hidupnya sentiasa kaya dengan akhlak, rohani dan jasmani serta beruntung di dunia dan akhirat


Rasulullah SAW juga mengingatkan kita:

لاَ تَزَوَّجُوا النِّسَاءَ لِحُسْنِهِنَّ فَعَسَى حُسْنُهُنَّ أَنْ يُرْدِيَهُنَّ وَلاَ تَزَوَّجُوهُنَّ لأَمْوَالِهِنَّ فَعَسَى أَمْوَالُهُنَّ أَنْ تُطْغِيَهُنَّ وَلَكِنْ تَزَوَّجُوهُنَّ عَلَى الدِّينِ وَلأَمَةٌ خَرْمَاءُ سَوْدَاءُ ذَاتُ دِينٍ أَفْضَلُ


Janganlah kalian menikahi para wanita semata-mata kerana kecantikan mereka, kerana kecantikannya mungkin akan merosakkan mereka (kerana tertipu dan sombong dengan kecantikan). Jangan juga menikahi para wanita kerana harta mereka kerana berkemungkinan harta akan menyebabkan mereka jatuh dalam maksiat dan kejahatan. Akan tetapi, hendaklah kalian berkahwin dengan perempuan atas dasar agama. Seorang hamba perempuan yang sumbing pada mulut dan telinga tetapi mengamalkan ajaran Islam dengan sempurna lebih baik (daripada perempuan yang merdeka yang membelakangi perintah agamanya. (HR Ibn Majah No: 185).


Thursday, October 12, 2023

SEJARAH PEMBUKAAN KAMPUNG LEGEH

    Sejarah pembukaan Kampung Legeh perlu ditulis dan dicatat sebagai ingatan dan juga untuk mengetahui asal usul penduduk Kampung Legeh yang dimomokkan sebagai orang ulu ataupun orang darat. Adakah benar, penduduk kampung Legeh ini terdiri daripada orang ulu?


Kampung Legeh yang kedudukannya ke dalam 5 kilometer daripada Ayer Lanas sebenarnya lebih awal 2 tahun dibuka daripada Ayer Lanas yang dibuka pada tahun 1957. Kalau Ayer lanas dibuka oleh kerajaan melalui Rancangan Tanah, Kampung Legeh dibuka oleh peneroka yang terdiri daripada mereka dari Kedai Lalat, Kusial, Bukit Marak, Kg Berih dan juga Batu 30 Machang. 


Peneroka awal Kampung Legeh seramai 27 orang yang diketuai oleh tiga saudara dari Kedai Lalat iaitu Raja Ahmad Bin Raja Abdullah (Ayah Mad), Raja Husin Bin Raja Abdullah (Ayah Sin) dan Raja Ismail bin Raja Abdullah (Tok Ku Weil). Selain mereka , turut bersama ialah Haji Nik Mud dan Hj Nik Jid. Ayah Mad dilantik sebagai pengulu pertama kampung Legeh.


Selain mereka daripada Kedai Lalat, Hj Tok Kob dan Megat Chik (Ayahnda Allahyarham Megat Hassan) dari Kusial, Tanah Merah juga turut serta. Allahyarham Megat Hassan menjadi petani yang berjaya di kampung Legeh meninggalkan warisnya yang gagah bertahan seperti Megat Mi dan Megat Mahmud. Hj Mat Yeh (Ayahnda Hj Nasir Mat Yeh yang kini bermaustautin di Tanah Merah) dari Bukit Marak, Bachok turut menjadi tenaga penting dalam pembukaan kampung Legeh dan Sungai Satan.


Sementara itu, Pak Nik Lid (nenda Pak Teh Beri) dan Pak Ngah Man ( Seman Ibrahim) dari kampung Berih, Bachok juga turut menyumbang kepada pertumbuhan kampung ini. Pak Ngah Man telah meninggalkan waris yang ramai di kampung Legeh dan Air Chanal.


Selain mereka yang berasal dari Kota Bharu, Bachok dan Tanah Merah, orang Machang pun tidak ketinggalan turut serta menjadi peneroka dan petani yang menjadikan kampung Legeh sebagai kawasan subur yang menyumbang hasil makanan dan pertanian untuk dipasarkan ke kawasan hilir. Raja Sulaiman dari Batu 30, Machang sepatutnya dibanggakan oleh para warisnya kerana kegigihan, ketekunan dan kesabaran sehingga menjadi salah seorang insan yang membuka kampung Legeh dan memakmurkannya dengan pertanian.


Selepas itu, mereka daripada Kg Kerus Pasir Putih, Pak Su Mad (bapa Allahyarham Ust Ibrahim Fikri Mamat) dan Wan Setapa (WakPo) turut datang. Dalam kalangan 27 orang itu termasuk juga Pak Teh Sof ( Jusoh bin Awang)- ayah Pak Su Che Noh,(baru sahaja meninggal September 2023)


Gabungan pelbagai kampung dan daerah ini telah memunafaatkan kesuburan tanah Legeh yang dikelilingi bukit. Rezeki daripada hasil pertanian khususnya penanaman padi di bendang Legeh semakin mudah dipasarkan bila berlakunya pembukaan Rancangan Tanah Ayer Lanas yang melibatkan 400 orang peneroka awal.



Kampung Legeh makin bertambah penduduknya apabila orang Kg Jubakar, Tumpat yang menjadi mangsa hakisan tanah menjadi laut seramai lebih 20 orang di hantar oleh kerajaan negeri ke kampung Legeh. Penempatan awal mereka di atas bukit di sebelah masjid (tapak Rumah Allahyarham Awang Isa sekarang). Mereka dikumpulkan di rumah panjang sehingga mereka membuka Legeh Baru (alik nnaik).


Penduduk Legeh terus berkembang apabila keluarga dan sahabat handai mereka dihilir khususnya dari kampung asal peneroka awal dan Jukabar turut datang untuk membuka tanah dan menetap di sini. Tidak kurang juga ada di kalangan anak-anak generasi awal kembali ke kampung asal mereka dan meninggalkan tanah yang diterokai oleh ayahnda mereka.


Mudahnya hari bila ada sahabat kita menyebut mereka mempunyai keluarga di kampung Legeh, kita boleh merujuk dari mana asal mereka dan boleh menentukan sama ada waris mereka itu tinggal di kampung Legeh (peneroka asal) dan Alik Nnaik (orang Tumpat).


Catatan : Zaidi Mustafa hasil temuramah dengan Imam Ayah Soh ( Raja Yusof Raja Ismail)

Wednesday, May 10, 2023

DARI MANA REZEKI KITA?

Setiap manusia yang telah dijadikan oleh Allah telah ditetapkan rezekinya. Sebagai orang yang beriman kepada Allah, kita mesti meyakini kenyataan ini. Cuma, kita disuruh berusaha untuk mencari di mana rezeki kita itu berada. al- Quran mengajar kepada kita bahawa 8 tempat kedudukan rezeki yang telah Allah tetapkan kepada kita. kedudukan itu,

1. Rezeki yang telah dijamin. 

‎وَمَا مِن دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ إِلَّا عَلَى اللَّهِ رِزْقُهَا وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا وَمُسْتَوْدَعَهَا كُلٌّ فِي كِتَابٍ مُّبِينٍ 

“Tidak ada satu makhluk melatapun yang bergerak di atas bumi ini yang tidak dijamin ALLAH rezekinya.”

(Surah Hud : ayat 6). 


2.  Rezeki kerana usaha. 

‎وَأَن لَّيْسَ لِلْإِنسَانِ إِلَّا مَا سَعَى 

“Tidaklah manusia mendapatkan apa-apa kecuali apa yang dikerjakannya.”

(Surah An-Najm : ayat 39). 

3. Rezeki kerana bersyukur. 

‎لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ 

“Sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu.”

(Surah Ibrahim : ayat 7). 


4. Rezeki tak Terduga. 

‎وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا( ) وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ 

“Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan menjadikan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya.”

(Surah At-Thalaq : ayat  2-3). 


5. Rezeki kerana istighfar. 

‎فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا ( ) يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا 

“Beristighfarlah kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, pasti Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan memperbanyak harta.”

(Surah Nuh : ayat 10-11). 


6. Rezeki kerana menikah. 

‎وَأَنكِحُوا الْأَيَامَىٰ مِنكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَائِكُمْ إِن يَكُونُوا فُقَرَاءَ يُغْنِهِمُ اللَّهُ مِن فَضْلِهِ 

“Dan nikahkanlah orang-orang yang masih membujang di antara kamu, dan juga orang-orang yang layak dari hamba sahayamu baik laki-laki dan perempuan. Jika mereka miskin, maka Allah akan memberikan ke- cukupan kepada mereka dengan kurnia-Nya.”

(Surah An-Nur : ayat 32). 


7. Rezeki kerana Anak. 

‎وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ خَشْيَةَ إِمْلَاقٍ نَّحْنُ نَرْزُقُهُمْ وَإِيَّاكُمْ 

“Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut miskin. Kamilah yang akan menanggung rezeki mereka dan juga (rezeki) bagimu.”

(Surah Al-Israa’ : ayat 31). 


8. Rezeki kerana sedekah 



‎مَّن ذَا الَّذِي يُقْرِضُ اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا فَيُضَاعِفَهُ لَهُ أَضْعَافًا كَثِيرَةً 

“Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada Allah, pinjaman yang baik (infak & sedekah), maka Allah akan melipat gandakan pembayaran kepadanya dengan lipatan yang banyak.”

(Surah Al-Baqarah : ayat 245).

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008