Friday, April 17, 2009

Bila Dia Tunduk, Kita Meniti

Bila dia tunduk Kita meniti... itulah ungkapan yang disebut oleh Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat bila mana beliau berjaya berhujah dengan seorang wartawan krisitian berkaitan keyakinan Kelantan untuk ditadbir dengan Islam. Pihak bukan Islam dan puak sekular tidak yakin Islam boleh memerintah dan mentadbir dengan baik. Mereka lebih meyakini teori demokrasi yang diasaskan oleh barat dan mereka yang anti Islam. Apa tidaknya, kita berguru dengan Inggeris yang telah menjajah kita beratus tahun. Para pentadbir dan pemimpin politik kita lulusan Universiiti daripada United Kingdom dan Amerika. Itulah kiblat kita selama ini. Perdana Menteripun hampir semua lepasan universiti Barat kecuali Mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi dari Universiti Malaya.

Berbalik kita kepada isu dakwah dan Islam yang dijadikan panduan dalam mentadbir urusan kehidupan manusia. Sekarang ini ketelusan politik Islam semakin diterima ramai oleh bukan islam yang selama ini begitu takut dengan Islam dan mereka yang berpegang dengan Islam. mereka menganggap pengamal Islam adalah pelampau dan pengganas sehingga timbul dasar Islam hadari bagi mengurangkan perasaan fobia masyarakat bukan Islam terhadap Islam. Akan tetapi Islam hadari akhirnya lenyap dengan lenyapnya Tun Abdullah Badawi dari kerusi keramat Perdana Menteri. Muncul kini One Malaysia.

Isu bukan Islam membaca Ayat Quran dengan sebutan yang tidak jelas menjadi isu hangat pada pilihanraya kecil Bukit Gantang sememangnya mengutungkan Islam untuk terus melebarkan dakwahnya kepada bukan Islam. Mereka yang jahil dan munafik sahaja menganggap perbuatan itu kurang ajar dan menghina Islam. Mereka masih terikat dengan slogan Melayu Itu Islam, dan Islam itu Melayu. Slogan inilah yang menyekat Islam dari terus berkembang sekalipun kita Islam melayu ini telah memerintah lebih 50 tahun. bahkan makin ramai Melayu yang murtad.

Islam adalah milik semua kaum dan apa darjat sekalipun. Islam bukan milik ekslusif bangsa atau kelompok tertentu seperti agama dan bangsa Yahudi. Malah Islam diperintahkan untuk disebarkan kerana ianya rahmat sekelian alam. Islam boleh disebarkan melalui kekuasaan yang kita ada, melalui perbahasan, perbincangan dan apa jua bentuk medium dakwah yang tidak bertentangan dengan syarak harus digunakan untuk menyebarkan dakwah.

Peristiwa Nga itu telah dimunafaatkan oleh Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat untuk menyebarkan keindahan Islam. Inilah pemimpin yang bijak dan menggunakan segenap ruang dan peluang untuk Islam. Dalam keadaan begini, saya teringat ucapan Allahyarham Yb Abdul Malik Chua, bekas ADUN kuamut, Kinabatangan dalam menasihati kami sebagai pendakwah suatu ketika dulu.
1. Pendakwah hendaklah merangkul bukan memukul (UMNO pukul Nga yang baca ayat Quran)
2. Pendakwah hendaklah mendidik bukan mengherdik
3. Pendakwah hendaklah membantu bukan menghantui
4. Pendakwah hendaklah menerang bukan menyerang (sekarang pendakwah diserang)
5. Mad'u hendaklah disayang bukan digayang
6. Islam mesti diperkasa bukan diperkosa (Islam hadari ????)

Kita perhatikan kebijaksanaan Tuan Guru Nik Aziz memunafaatkan peluang (Bila dia tunduk, kita meniti)

Surat Tok Guru Nik Abd Aziz Nik Mat Kepada YB Nga Kor Ming ADUN Pantai Remis Perak

13 Rabiul Akhir 1430

9 April 2009

YB Encik Nga Kor Ming
EXCO Kerajaan Negeri Perak
Pejabat EXCO Negeri Perak
30000 Ipoh
PERAK DARUL RIDZUAN.

Menemui YB Encik Nga dengan ucapan salam sejahtera


Yang Berhormat,

Alhamdulillah, dengan izin Allah, saya telah mengikuti isu di sekitar percubaan YB untuk mengenali Islam melalui pembacaan Ayat-Ayat Al-Quran dengan tekun. Saya juga terharu mendengar keluhan YB yang berbunyi “saya berasa amat kesal apabila masyarakat Tionghua yang cuba mengenali Islam dan Al-Quran melalui kitab berkenaan, tiba-tiba dihalang.”

Saya boleh memahami dan menyelami perasaan kecewa yang sedang melanda hati YB. Mudah-mudahan dengan sikap “tidak mesra Umno” dan pemimpin-pemimpin Umno tentang kecenderungan masyarakat Tionghua dan India yang sihat ini, ia akan meningkatkan lagi kesedaran Non-Islam untuk lebih mengkaji, mendalami dan mengadakan forum serta wacana mengenai Islam dengan cara yang lebih meluas.

Saya mempunyai sebuah impian. Dalam tempoh tidak berapa lama lagi mudah-mudahan akan muncul lebih ramai orang dari kalangan masyarakat Tionghua, India, Siam, Bajau dan Kadazan yang tampil menjadi Qari, Ustaz, Khatib dan Imam di seluruh negara. Kalau Jenghiz Khan yang mengetuai tentera Moghul menyerang dan memusnahkan hampir seluruh Kerajaan dan tamadun Islam di Kota Baghdad, tetapi sempat ditebus semula keagungan Islam melalui cucunya yang bernama Aurangzeb yang menegakkan empayar Islam di India kemudiannya. Maka saya mempunyai keyakinan yang kuat bahawa Islam akan kembali gemilang di negara kita melalui kaedah dan insiden yang hampir sama. Mudah-mudahan YB lah orangnya yang akan meletakkan batu asas pertama ke arah menyusun batu bata yang kukuh ini untuk terus bertumpang tindih.

Mari kita bina asas ini dengan mengatur langkah-langkah permulaan melalui seminar, muzakarah, muqabalah, dialog dan wacana. Tajuk-tajuk seperti “dimana tak kenanya Islam” atau “apa mesej al-Quran kepada orang bukan Islam” bolehlah difikirkan. Anggota panel boleh terdiri daripada tokoh-tokoh PAS, Umno, DAP, PKR dan pemimpin-pemimpin NGO, pensyarah serta pendakwah bebas. Ia boleh dijadikan sesi kuliah bersiri yang boleh dianjurkan di PWTC, di masjid-masjid, surau-surau, kuil-kuil dewan-dewan perhimpunan, di universiti-universiti, baik di IPTS atau IPTA.

Sekali lagi saya mengucapkan syukur kepada Allah S.W.T di atas kekuatan dan keberanian yang ada pada YB. Terus tekun dan beristiqamahlah dalam mengharungi ujian-ujian ini. Insya Allah saya seakan-akan sedang melihat sekerdip lilin yang bercahaya di hujung sana. Marilah kita sama-sama ke sana.


* MEMBANGUN BERSAMA ISLAM *


(TUAN GURU DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT)
Menteri Besar Kelantan
Merangkap
Mursyidul Am PAS

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008