KOTA KINABALU :Kemenangan Rakyat dalam menghadapi kebobrakan politik semakin hampir. Ini dapat dilihat melalui keputusan pilihanraya-pilihanraya kecil dan sambutan rakyat terhadap program-program anjuran Pakatan rakyat. Justeru itu, wasilah kemenangan mesti diperkasakan sebagai persediaan memikul tanggungjawab ummah. Wasilah ini pastinya dengan menjadikan pemuda dakwah sebagai Ansorullah. Demikian tegas Ust Nasaruddin Hassan Tantowi ketika merasmikan Konvensyen Pemuda PAS Sabah di Kota Kinabalu.
PAS sebagai harakatul Tarbiyyah, harakatul dakwah dan juga harakatul siasah memerlukan pemuda atau pendokong yang sahih aqidahnya, fikrah yang lengkap dan sahsiah yang soleh. Pakej ini penting dalam memastikan pemuda pendokong jemaah terdiri daripada mereka yang sedia turun ke medan jihad dengan bersedia mengorbankan segala kepentingan dunia seterusnya mampu memikul amanah pemerintahan dengan lunas-lunas Islam yang adil dan saksama.
Kita tidak mahu, pentadbiran Pakatan Rakyat suatu ketika nanti dipenuhi oleh mereka yang berkepentingan, yang dikitar dan dijenamakan semula daripada parti politik yang sudah busuk. Kita mahukan pemimpin yang baru, pemimpin yang segar dan tumbuh melalui tarbiyyah supaya hak rakyat dapat dipulangkan dan ditadbir urus dengan sebaik mungkin.
Beliau mengariskan mengariskan dua nadi penting dalam pemerkasaan wasilah Tarbiyyah yang melibatkan aktiviti tradisi dan juga aktiviti penemuan baru. Aktiviti tradisi seperti usrah, liqa', muqayyam, rehlah, tamrin, khitabbah dan berbagai lagi program tarbiyyah mesti diberi keutamaan dalam membina ahli, kerana disinilah terletaknya kekuatan dalam membina Ansorullah.
Dalam konvesyen tersebut, Ust Nasaruddin turut mendapat beberapa maklum balas daripada pemuda PAS Sabah, melalui sesi soal jawab. Saudara Kamaruzzaman Mohamed, Setiausaha Dewan Pemuda PAS dan Hisyamuddin Sulaiman, Ketua penerangan PAS Sabah dan Lahirul Latigu, Ketua Dewan Pemuda PAS Sabah turut hadir dalam majlis tersebut.