Thursday, April 21, 2011

Hadiah MTQ 2012, Kinabatangan Meningkat

ADUN Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman telah mengumumkan bahawa pada tahun hadapan hadiah Tilawah dan Nasyid akan lebih lumayan berbanding sekarang demi memartabatkan syiar Islam.


Saddi yang merasmi dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang Festival Nasyid, Kompang, Marhaban dan Tadarus Al-Quran peringkat daerah Kinabatangan telah membuat pengumuman itu sebaik turun daripada pentas dan mengambil mikrofon daripada pengerusi majlis untuk membuat pengumuman itu.


”Majlis agama mesti diperjuangkan demi memartabatkan syiar Islam. Kalau bukan kita siapa lagi? Pada tahun hadapan, saya dengan kerjasama JHEAINS akan menawarkan hadiah yang lebih lumayan untuk menarik minat masyarakat menyertai majlis agama,” kata Saddi yang diapit oleh dua orang Penolong Pegawai Daerah Kinabatangan.


”Pada tahun hadapan, hadiah Qari dan qariah akan dinaikan kepada RM1,000 bagi johan, RM750 untuk naib Johan dan ketiga RM500. Manakala bagi nasyid pula, hadiah johan adalah RM500,? jelas Saddi yang seperti kurang puas hati dengan jumlah hadiah di dalam sampul yang disampaikannya di atas pentas sehingga pengumuman beliau disambut dengan tepukan gemuruh para hadirin.


Rata-rata hadirin yang ditemui berpuas hati dan bangga dengan pengumuman yang dibuat oleh Saddi dan mereka berharap sambutan festival keagamaan ini lebih meriah pada tahun hadapan.


Namun demikian, ada juga kalangan hadirin yang meletakkan kebimbangan dengan janji itu.


”Cakap orang politik ini bukan boleh dipercayai 100%. Dia cakap hari ini, esok dia kata lupa. Majlis agama terus bernafas dalam lumpur,” ujar seorang hadirin yang tidak mahu dikenali.


Festival tersebut telah menobatkan pasukan Muawiyah dari Hospital Kinabatangan sebagai juara nasyid dan Razman Asmat sebagai johan Qari.

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008