Saturday, October 15, 2011

Sertai PAS kerana Tidak Sanggup Terus Di Tindas

KINABATANGAN : Seramai 27 orang penduduk kampong Sungai Koyah, DUN Sukau menyertai PAS kerana tidak sanggup terus ditindas dan dirampas hak mereka. Mereka menyerahkan borang menyertai PAS kepada Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Hj Hamzah Abdullah.

upacara penyerahan Borang kepada Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah

“ Tanah yang kami tebang hutan, kami tanam pokok dan kami menetap di sini tiba-tiba dikatakan ini hak orang lain, hak taukeh Cina. Bahkan kami dianggap penceroboh sedangkan kami masuk dengan kebenaran JKK dan bekas YB Datuk Zaki Gusmiah” luah Udin Yunos yang mengetuai kumpulan tersebut.


“ Dulu .. Datuk Zaki bilang (kata), siapa buka tanah, dia tanam dan dia tinggal, maka dialah punya. Tetapi setelah tanah yang kami usahakan dengan kudrat dan airmata kami mendatangkan hasil, macammana dia menjadi hak orang lain, sedang kami juga selalu berurusan di pejabat tanah”. Jelas seorang daripada rakannya.


Tanah yang dibuka pada tahun 1987 dan telah ditanam sawit sejak 1991 dan telah mendatangkan hasil itu kini dikatakan menjadi milik sebuah syarikat Cina dan mereka dipaksa keluar daripada tanah tersebut . Malah menurut mereka, pada tahun 2001, 13 buah rumah mereka telah diruntuhkan dan kayunya diangkut keluar merupakan sejarah hitam dalam kehidupan penduduk Sungai Koyah ini. Tidak cukup dengan itu, ada beberapa kebun sawit yang mereka usahakan dan telah mendatangkan hasil telah dipunggah hasilnya oleh syarikat Cina tersebut.


“ Kerajaan selalu sebut mau basmi kemiskinan, tapi kalau rumah yang kami duduk pun di roboh sedangkan kalangan kami ini mempunyai anak-anak yang masih belajar dan anak yatim, macam mana mau basmi kemiskinan” soal Udin dengan wajah kesal.


Hj Hamzah dalam ucapannya menyeru penduduk sg Koyah bangkit menentang kezaliman UMNO dan Barisan Nasional yang ditunjangi oleh pemimpin yang mengutamakan kekayaan peribadi dan membiarkan rakyat bawahan terus ditindas.

“ Dalam kepayahan tuan-tuan ,mempertahankan hak, mana pemimpin Barisan Nasional? Berapa kali ADUN Sukau datang untuk membantu tuan-tuan, sedang sudah puluhan tahun, tuan-tuan bergelut dengan kezaliman ini? Soal Hj Hamzah.


“ Umat Islam jangan jadi dayus dan membiarkan diri kita diperhambakan untuk pemimpin Barisan Nasional hidup mewah dalam genangan air mata rakyat bawahan. Kita yakin penyertaan dan keazaman tuan-tuan ke dalam Parti Islam SeMalaysia (PAS), akan membuka mata pemimpin BN . Jelas Hj Hamzah.


Hj Hamzah yang diiringi Yang Dipertua PAS Kinabatangan dan Setiausaha Pemuda PAS Sandakan, Mustaman Mustin turut menyakini dokongan ini akan melonjakkan PAS untuk lebih gagah menentang BN di DUN Sukau pada pilihanraya Umum ke 13 nanti.

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008