Kisah dan watak dalam perang pertama Islam,Perang Badar sewajarnya menjadi panduan utama kita dalam meniti membina peradaban ummah khususnya dalam meletakkan diri kita dalam posisi penegak kebenaran. Watak, strategi, keluhuran budi, ketaatan kepimpinan,kebijaksanaan manusia acuan Rasulullah sangat menepati ciri-ciri unggul penegak kebenaran. Begitu juga, sikap tamak, angkuh, gopoh, buta hati, dendam dan banyak beralasan dalam menerima kebenaran dan beramal dijelmakan melalui watak tarbiyyah Abu Jahal.
Sekadar gambar hiasan |
Mus'ab bin Umair anak kesayangan ibu umpamanya meninggalkan segala kemewahan hidup dan hidup dagang di Madinah semata-mata menjadi duta Rasulullah. Abdul Rahman bin Auf, jutawan tersohor berhijrah meninggalkan segalanya dan terpaksa bergantung ihsan saudara Ansornya untuk mendapat modal perniagaannya. Begitu juga Abu Ubaidah Al-Jarrah, seorang anak yang amat disayangi bapanya. Dididik sebagai usahawan yang berjaya tetapi patuh dengan perintah hijrah menyebabkan bapanya Abdullah kecewa yang amat sangat dan bertekad membunuh Abu Ubaidah di dalam peperangan Badar. Sekalipun di dalam peperangan tersebut, Abdullah terbunuh di tangan anaknya Abu Ubaidah...
Saudara,
Terasa terlalu kerdil pengorbanan kita dalam menghayun perjuangan , yang kita dakwa menegakkan agama Allah. Sungguh agung pengorbanan generasi zaman Rasulullah. Tiada apa yang lebih bernilai bagi mereka kecuali redha Allah dan perhatian Rasullullah.
وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَشْرِى نَفْسَهُ ابْتِغَآءَ مَرْضَاتِ اللهِ
“Dan antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah”.Jauh dibandingan dengan diri kita yang sering memberi pelbagai alasan untuk mengelak diri daripada turun di medan juang sekalipun kita telah memahami tuntutan untuk berjuang dan berkorban demi agama Allah yang tercinta. Kita yang percaya dengan ganjaran pahala bagi mereka yang melaksanakan amar maaruf dan nahi mungkar.Alasan ini direkacipta secara terancang ataupun spontan, asalkan terlepas daripada ajakan kawan seperjuangan ataupun untuk terus dilihat relevan. Sekalipun kita menyedari alasan kita tidak layak untuk dipertimbangkan.
Kekadang kita menyalahkan anak atau isteri kita yang menyebabkan kita terhalang untuk melaksanakan kerja Islam. Anak tidak sihat, anak tidak boleh diurus oleh orang lain, anak masih kecil, kena atur anak untuk itu dan ini. Isteri pula takut, isteri mengandung, isteri tunggu masa untuk melahirkan walaupun baru mengandung 3 bulan dan bermacam lagi. Itu tidak termasuk dengan halangan keluarga tidak benarkan, ada kenduri tahlil, kenduri kahwin, kena jaga rumah, jaga kebun dan bermacam alasan sekalipun kekadang ada wajarnya.
Alasan yang remeh temeh ini dibimbangkan akan menutup terus pintu hati kita untuk melakukan kebajikan dan kita termasuk daripada kalangan orang-orang yang rugi di dunia dan juga di akhirat. Kita yang telah dijelaskan tujuan kejadian kita sepatutnya merenungi Firman Allah:
كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَاْمُرُوْنَ بِالْمَعْرُوْفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ
"Kamu adalah umat terbaik dilahirkan untuk manusia, menyuruh yang makruf dan menegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah"