Friday, December 2, 2016

PERAKAN MALAYSIA SAMBUT USIA 10 TAHUN


Persatuan Anak Kelantan Perantuan Malaysia (PERAKAN MALAYSIA) bakal menyambut 10 tahun usia penubuhannya secara rasmi pada disember ini. Majlis Sambutan 10 tahun PERAKAN MALAYSIA  sebagai  NGO kebajikan anak- anak Kelantan ini akan disambut pada 03 Disember ini. Ianya akan melibatkan 450 perwakilan daripada 45 cawangan PERAKAN MALAYSIA di seluruh Negara bertempat  di Kelantan Trade Centre , Kota Bharu , Kelantan.
Persidangan ILMUAN PERAKAN MALAYSIA


Majlis  yang akan dirasmikan oleh Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Haji Daud, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta kerajaan Negeri Kelantan akan turut dihadiri oleh pimpinan Kerajaan negeri Kelantan, Dato’ Mufti dan timbalannya , Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) , wakil-wakil rakyat dan beberapa orang ketua jabatan Kerajaan Kelantan.

Ir Hamdzah Abdul Rahman, Presiden PERAKAN MALAYSIA   ketika dihubungi berharap majlis ini menjadi medan untuk menghargai pengorbanan para pemimpin PERAKAN MALAYSIA  terdahulu disamping menzahirkan satu symbol semangat kerjasama dan ikatan kekeluargaan yang utuh sehingga terbinanya PERAKAN MALAYSIA   di setiap negeri di Malaysia. Hamdzah juga mensasarkan Majlis ini dapat mempertemukan perwakilan PERAKAN MALAYSIA dari seluruh negara dengan pimpinan Kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat di dalam satu majlis yang istimewa.

HJ MAT ARIFIN ISMAIL,

Menurut Pengarah Sambutan Program, Mat Arifin Ismail (gambar) yang juga Bendahari Agong PERAKAN MALAYSIA, sambutan ini bertujuan untuk mengimbau kembali sejarah pengkisahan penubuhan PERAKAN MALAYSIA agar menjadi teladan dan pengkayaan (enrichment) pengalaman untuk generasi baru. Selain  itu, Mat Arifin juga berharap program seumpama ini dapat menzahirkan satu hubungan mantap antara PERAKAN MALAYSIA  dengan Kerajaan Negeri Kelantan sehinggalah segala pengorbanan PERAKAN MALAYSIA  dihargai dengan pengiktirafan sebagai Duta Kerajaan Kelantan dan NGO Kebajikan di luar Kelantan


PERAKAN MALAYSIA  secara tidak rasminya telah ditubuhkan pada tahun 1993 tetapi didaftarkan pada tahun 2006 telah mengalami perubahan struktur organisasi yang cepat demi untuk menyesuaikan dengan keperluan serta perubahan semasa yang mendesak. Bermula dengan penubuhan 3 cawangan di Sabah, PERAKAN MALAYSIA  terus mendapat sambutan di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dengan pelbagai aktiviti untuk mengukuh semangat kerjasama dan persaudaraan berteraskan moto SETIA, SEPAKAT SOKMO sehingga menjulang nama PERAKAN MALAYSIA   sebagai NGO anak Kelantan perantau yang unik serta menjadi contoh dan bualan masyarakat.

Pada majlis ini juga akan diadakan penyampaian anugerah khas kepada mereka yang banyak berbakti kepada pembangunan anak-anak Kelantan perantau dan juga bekas-bekas pimpinan PERAKAN MALAYSIA  . Para perwakilan dan pemerhati juga berpeluang untuk membeli T shirt Sambutan 10 Tahun PERAKAN MALAYSIA  yang akan dijual  pada majlis tersebut.

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008