Thursday, November 21, 2019

HADIS RASULULLAH SEBAGAI QUDWAH

1. Apakah nabi diutuskan kepada umat manusia sahaja?


Daripada Abu Soleh RA, beliau berkata: "Adalah Nabi SAW (pada suatu hari) menyeru para sahabat: "Wahai sekalian manusia! (Ketahuilah) Bahawa sesungguhnya daku ini adalah rahmat yang dihadiahkan (oleh Allah SWT kepada seluruh alam)." (Hadith riwayat Ad-Darimi, No: 15, Al-Hakim dalam Al-Mustadrak, No: 98, beliau berkata: " Hadith ini adalah sahih dengan mengikuti syarat-syarat yang telah digariskan oleh Imam al-Bukhari & Muslim.

Matan Hadith:

عَنْ أَبِي صَالِحٍ قَالَ: كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُنَادِيهِمْ: يَا أَيُّهَا النَّاسُإِنَّمَا أَنَا رَحْمَةٌ مُهْدَاةٌ.
]التخريجسنن الدارمي المقدمة باب كيف كان أول شأن النبي صلى الله عليه وسلم ، حديث رقم 15 ، عن أبي صالح رضي الله عنه[
Pengajaran Hadith :
  1. Allah SWT telah mengutuskan Nabi Muhammad SAW sebagai pembawa rahmat ke seluruh alam sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Anbiya', ayat 107. Alam bermaksud seluruh makhluk ciptaan Allah SWT. Dinamakan sebagai Alam kerana ia adalah alamat atau tanda kewujudan, keagungan dan kekuasaan Allah SWT, Tuhan Sekalian Alam.

  1. Rahmat adalah kasih sayang. Nabi SAW diutuskan semata-mata untuk membawa risalah ketauhidan, iaitu dengan mengeluarkan manusia daripada lembah penghambaan sesama manusia kepada semata-mata menyembah Allah SWT, Tuhan Yang Esa. Risalah tauhid ini disampaikan dengan penuh rahmat melalui jalan dakwah iaitu mengajak manusia beriman kepada Allah SWT. Tatkala manusia itu beriman maka alam pun akan mendapat manfaat diatas keimanan tersebut. Itulah rahmat dan hadiah yang besar daripada Allah SWT kepada seluruh alam.

  1. Rahmat yang dibawa oleh Nabi SAW mengatasi segala pemikiran dan sempadan berpandukan wahyu dan hidayah Allah SWT, bukan mengikut hawa nafsu dan logik akal. Hanya dengan wahyu dan petunjuk Allah SWT sahajalah yang akan membawa manusia kepada jalan kebenaran dan kejayaan. Oleh itu, setiap Muslim hendaklah beramal dengan sunnah sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Nabi SAW, para sahabat baginda dan para salafusoleh yang telah mendapat petunjuk daripada Allah SWT
2. Hukum melakukan perkara yang tidak dilakukan oleh Rasulullah


Daripada Anas RA, beliau berkata: “Tidak ada orang yang lebih dicintai oleh para sahabat selain daripada Rasulullah SAW. Jika mereka melihat baginda (datang), mereka tidak akan bangun kerana mereka tahu bahawa baginda membenci perbuatan tersebut.” (Hadith riwayat at-Tirmizi, No.2754 dan Ahmad, No. 11895, 13132, berkata at-Tirmizi: “Hadith ini hasan sahih gharib.”)

Matan Hadith:

عَنْ أَنَسٍ قَالَلَمْ يَكُنْ شَخْصٌ أَحَبَّ إِلَيْهِمْ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَوَكَانُوا إِذَا رَأَوْهُ لَمْ يَقُومُوا لِمَا يَعْلَمُونَ مِنْ كَرَاهِيَتِهِ لِذَلِكَ .قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ غَرِيبٌ مِنْ هَذَا الْوَجْهِ
]التخريجسنن الترمذي كتاب الأدب باب ما جاء في كراهية قيام الرجل للرجل حديث رقم 2754 , عن أنس بن مالك رضي الله عنه.[
Pengajaran Hadith :
  1. Para sahabat RA adalah ikutan terbaik dalam mencintai dan menyanjungi Nabi SAW. Mereka merupakan teladan yang terbaik dalam mengenal dan beramal dengan sunnah baginda SAW. Para sahabat RA akan mempraktikkan semua amalan yang disukai oleh Nabi SAW dan meninggalkan semua amalan yang dibenci oleh baginda SAW walaupun amalan tersebut bercanggah dengan kesukaan atau kebencian mereka

  1. Sebagai seorang pemimpin, Nabi SAW telah menunjukkan suri teladan yang terbaik. Contohnya, para sahabat RA meninggalkan perbuatan berdiri untuk menghormati baginda SAW kerana mereka mengetahui bahawa baginda SAW membenci perbuatan tersebut. Jika baginda tidak membenci perbuatan tersebut pasti mereka akan berdiri untuk baginda. Perlu difahami bahawa baginda SAW membenci perbuatan tersebut kerana sifat tawadhu‘ baginda, bukan kerana perbuatan tersebut haram. Menurut Imam An-Nawawi di dalam kitabnya 'Syarah Sahih Muslim' (6/313): “Dianjurkan memuliakan seseorang yang memiliki kelebihan dan menyambut mereka dengan cara berdiri ketika mereka tiba. Inilah yang dijadikan hujah oleh jumhur ulama untuk menyatakan sunat berdiri bagi memuliakan seseorang. Al-Qadhi berkata: “Ia bukanlah termasuk dalam kategori berdiri yang ditegah, tetapi tegahan adalah ditujukan kepada mereka yang mengarahkan orang lain berdiri untuknya sedangkan dia dalam keadaan duduk dan keadaan berdiri itu sepanjang masa dia duduk." Saya (An Nawawi) berpendapat, bangun berdiri untuk menyambut kedatangan seorang yang memiliki kelebihan adalah mustahab (sunat). Bahkan anjuran tersebut turut dinyatakan dalam beberapa hadith, manakala larangan mengenainya tidak dinyatakan dengan jelas."

  1. Justeru, kita tidak boleh memahami maksud hadith daripada zahirnya sahaja atau hanya daripada satu hadith untuk beramal atau meninggalkan sesuatu perkara bahkan setiap Muslim hendaklah meneladani serta menerima tunjuk ajar para ulama yang muktabar kerana mereka lebih banyak memahami hadith sama ada ianya sunnah ataupun tidak, dan apakah hukum disebaliknya

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008